Sunday, August 29, 2010

Dari Hal "USRAH" (1)

~asSyahid Imam Hassan al-Banna~

1. Sesungguhnya Islam memandang sangat mustahak untuk membentuk ikatan-ikatan perpaduan
untuk penganut-penganutnya. Ikatan-ikatan ini dinamakan “Usrah” atau “Keluarga” Dengan terbentuknya apa yang dinamakan “Usrah” atau “Keluarga” seperti itu akan dapatlah dipimpin penganut-penganut Islam tadi ke arah contoh-contoh pujaan yang tinggi, dan dapatlah pula diperkuatkan ikatan-ikatan yang ada pada mereka, bahkan akan dapatlah dipertinggikan mutu “Ukhuwah” atau “Persaudaraan” di antara sesame mereka sendiri; iaitu dengan jalan membawa contoh-contoh pujaan dan persaudaraan itu dan peringkat bualan dan pandangan teori kepada peningkat perbuatan dan amalan. Oleh itu, saudara sendiri juga hendaklah turut memandang berat serta bersedia untuk menjadi batu-bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini; iaitu “Usrah Islamiah” atau “Keluarga Islam”.

2. Rukun ikatan “Usrah” ini tiga perkara yang mana hendaklah saudara memelihara serta
mengambil berat untuk bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan “usrah” tersebut tidaklah semata-mata menjadi suatu beban yang tidak mempunyai sebarang erti. Tiga rukun tersebut ialah:
(1) Berkenalan; (2) Bersefahaman; dan (3) Berseimbangan.

3. Erti Berkenalan: “Berkenalan” di antara satu sama lain ialah rukun yang pertama bagi pengertian “Usrah”; Oleh itu “ta’aruf” saudara-saudara hendaklah berkenal kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada Agama Allah, dan hendaklah saudara-saudara menyedari serta memahami pengertian hakikat “ukhuwah” (persaudaraan) sejati di antara sesama saudara saudara sendiri. Saudara-saudara hendaklah berusaha bersungguh-sungguh supaya jangan ada apa pun juga yang boleh mengerohkan perhubungan “ukhuwah” itu. Ini boleh saudara-saudara lakukan dengan jalan sentiasa menjunjung titah perintah firman-firman Allah dan hadith-hadith Rasul, bahkan dengan jalan menjadikan firman-firman dan hadith-hadith itu perkara perkara yang wajib diutamakan ke atas perkara-perkara yang lainnya.

4. Firman Tuhan:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
ertinya: (orang muslim ialah saudara bagi)

واعتصيموابحبلالله جميعا ولا تفرقوا
ertinya: (dan berpeganglah dengan tali Allah dalam ertikata kasih sayang mereka, dalam semuanya dan janganlah
kamu berpecah-belah)

5. Hadith Nabi:
المؤمن للمؤمن آالبنسان یشدبعضه بعضا
ertinya: (orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana banggunan yang sebahagianna memperkuatkan sebahagian
yang lain)


المسلم اخ اامسلم لا یظلمة ولا بسلمه
ertinya: (orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya)

مثل الؤمنين قي توادّهم ونراحمهم وتعاطفهم آمثل الجسدالواحد
ertinya; (Perbandingan orang-orang mukmin dalam ertikata kasih saying mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam persimpatian mereka adalah laksana badan yang satu)

6. Malangnya, perintah-perintah Tuhan dan arahan-arahan Rasul itu, dalam zaman kebelakangan selepas angkatan pertama dan zaman perkembangan Islam dahulu, telah berubah menjadi hanya cakap-cakap kosong dikalangan orang-orang Islam sendiri dan ianya tidak lebih dan angan-angan sahaja. Tetapi, walaubagaimana, apabila angkatan kita “ikhwan muslimin” muncul maka baharulah saudara-saudara sempat membuktikan erti hakikat “Ta’aa-ruf” atau “Berkenalan” tadi secara amalan, malah saudara-saudara ikhwan kita mencuba berkali-kali melaksanakan dasar “ta’aaruf” itu dikalangan masyarakat kita; saudarasaudara juga membuktikan keazaman yang kuat untuk mencantum semula umat kita dengan berpandu kepada semangat cinta kepada Allah dalam bentuk “ukhuwah Islamiah”. Oleh itu, saya mengambil peluang mengucapkan tahniah sekiranya benar saudara-saudara sudah berazam begitu, malah saya berharap begitulah hendaknya yang saudara-saudara azamkan dan Allah jualah yang akan memberi taufiknya
kepada saudara saudara sekelian.

7. Bersefahaman: Rukun yang kedua bagi “Peraturan”, atau susunan “Usrah”, ini ialah “Ta-faa-hum” atau “Bersefahaman”: oleh itu, saudara-saudara hendaklah selama-lamanya berpegang dengan “Kebenaran”; iaitu dengan jalan mengerjakan apa-apa yang diperintah Allah dan merentikan apa-apa yang dilarangnya dan saudara-saudara juga hendaklah memeriksa diri sendiri dengan sehalus-halusnya samada saudara saudara benar taat kepada perintah Allah atau pun terlibat ke dalam anna kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, saudara-saudara hendaklah pula nasihat menasihati di antara satu sama lain apabila kelihatan sesuatu “cacat”.

8. Dalam soal nasihat menasihati ini hendaklah saudara yang diberi nasihat itu bersedia serta sanggup menerima nasihat dan saudaranya tadi dengan sukacita dan gembira dan memberi terimakasih atas nasihatnya itu. Saudara yang memberi nasihat itu pula janganlah berubah hati terhadap saudaranya yang “tersilap” tadi walau pun perubahan perasaan hati itu sejarak sehelai rambut sekalipun.

9. Nasihat-nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik dengan tidak memandang rendah terhadap saudara yang dinasihatinya itu. Orang yang memberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia bahkan ia hendaklah memberi nasihat dengan cara tidak melahirkan terang-terangan akan kesilapan saudaranya itu kira-kira selama sebulan dengan tidak pun menceritakan segala kecacatan yang telah pun diperhatinya pada “Ketuanya” (Ketua Usrah). Ia hendaklah menceritakan hal itu kepada “Ketua Usrah” jika ia rasa tidak berdaya memperbaikinya. Dalam apa hal sekalipun, iaitu janganlah sekali-kali merasai tawar hati terhadap saudaranya yang “silap” tadi malah hendaklah ia tetap memberi kasih sayang terus menerus kepadanya sehinggalah Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendakinya.

Read more...

Wednesday, August 25, 2010

Muhasabah Ramadhan..

Muhasabah Ramadhan

Hari raya hari kemenangan,
 Hari kesyukuran dilimpahi kemuliaan,
Di lipatan seni mehnah Illahi,
Ada maksud murni yang lebih hakiki..

Pada nafsu yang dilentur lapar dahaga,
 Pada fikiran disinar wahyu dan sabda,
Pada hati bersih di solat tarawih,
Apakah semuanya telah dimiliki..

Puasa mengajar erti ketabahan,
Menghadap ujian berlandaskan iman,
Puasa perisai yang sangat maknawi,
 Penyinkap hijab antara hamba dengan Illahi..

Puasa sempurna menahan rohani dan rasa,
Puasa sederhana menahan indera dan juga anggota,
Puasa biasa hanya melawan lapar dan dahaga,
Lalu di manakah puasa kita,
Adakah masih di tahap lama..

Lalu muhasabah di hujung Ramadhan,
Sudahkah terbangun jiwa teguh dankukuh,
Atau kolam jiwa masih tercemar keruh,
Bersembilu dosa duri angkara..

Ketika bertahmid, bertakbir, bertasbih,
Terasakah ita hamba Illahi,
Yang hanya mampu mengukir tadbir,
Sedangkan padaNya segala takdir.........

UNIC - Nur Syawal...

Read more...

Friday, August 13, 2010

Kehormatan Penghalang Manusia Berbuat Kejahatan...


KITA tidak boleh takbur dan mencari nama, tetapi kita tidak dilarang berusaha mencari kehormatan dengan memperbaiki budi sendiri. Gila hormat tidak boleh. Tetapi menjadi orang yang terhormat, haruslah menjadi tujuan hidup.
Lantaran jasa baik dan budi yang tinggi, kita harus beroleh kehormatan daripada sesama manusia. Kehormatan serta pandangan orang kepada kita dapat mendorong hati berusaha membuat yang lebih indah dan bagus.
Bagaimanapun, apabila kita melangkah dan berhasil, akan ada saja orang yang dengki. Ada yang sayang dan tidak kurang membenci. Orang yang benci itu, kerana mengakui kemuliaan dan kehormatan yang kita peroleh serta berusaha menghilangkan rasa hormat itu.
Oleh itu, digalakkan untuk sentiasa berusaha meningkatkan budi pekerti tinggi. Kehalusan dan ketinggian budi pekerti akan membuat lebih ramai orang sayang, begitu juga yang bakal membenci kerana iri hati.
Pepatah Arab berbunyi:
“Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya. Jika tidak bersendi, runtuhlah hidup dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Kerana orang yang terhormat itu, kehormatannya itulah yang melarangnya berbuat jahat.”
Lantaran menjaga kehormatan dan serangan yang bertubi-tubi timbullah perjuangan sengit, mempertahankan kehormatan sambil menjaga budi pekerti. Perjuangan itu sulit dan hebat, tetapi jika tidak diteruskan, kita akan menyesal kerana bahagia akan terasa dalam dalam perjuangan tadi.
Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka

Read more...

Tuesday, August 3, 2010

Hindari Diri dari Mengumpat!

MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud,
 
“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

Sabda Rasulullah,
“Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah bermaksud,
 
“Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah, “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab, “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti. Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.

Antaranya ialah:

    * Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

    * Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

    * Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

    * Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

    * Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

    * Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

    * Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

    * Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Read more...

Monday, August 2, 2010

Faktor-faktor Yang Menghancurkan Negara Islam

Di dalam kekuatan hebat dan tanah yang meluas ini, faktor-faktor merungkai mula meresap ke dalam kehidupan umat al Quran ini. Faktor ini membesar dan berkembang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya telah merobek Daulah Islam ini dengan hancurnya pusat kerajaan Islam pada kurun ke 6 Hijrah di tangan Tartar. Sekali lagi ianya berlaku pada kurun 14 Hijrah (Kejatuhan Khalifah Othmaniah). Peristiwa ini meninggalkan kesan yang amat buruk. Umat Islam bertaburan dan negara Islam menjadi negeri-negeri kecil.

Faktor-faktor yang menjadikan demikian:

i) Perpecahan politik, asabiyyah (fanatik), berebut pangkat dan kepemimpinan. Sedangkan Islam telah memberi amaran keras dalam masalah ini. Islam telah mengingatkan supaya menjauhkan diri dari kepimpinan. Islam berulang kali menarik perhatian umatnya bahawa inilah faktor yang merosak dan menghancurkan mana-mana rakyat dan negara. Allah berfirman, maksudnya;

"…dan janganlan kamu bertelagah, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (al Anfal :46). Disamping itu Islam juga sangat berpesan supaya ikhlas kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan dari suka kemasyhuran dan pujian.

ii) Perbezaan pandangan dalam agama dan mazhab, menyeleweng dari agama yang sepatutnya aqidah dan amalan tetapi bertukar menjadi cakap-cakap dan istilah kaku yang mati. Kecuaian terhadap kitab Allah, sunnah Rasulullah saw, jumud dan fanatik terhadap pendapat dan kata-kata seseorang, suka bertengkar dan berdebat sedangkan semua perkara ini ditegah oleh Islam. 

Rasulullah saw bersabda, maksudnya "Tidak sesat sesuatu kaum itu selepas mereka mendapat hidayat kecuali oleh kerana mereka suka bertengkar".

iii) Tenggelam dalam pelbagai kemewahan dan kenikmatan, suka berhiburan dan keseronokan. Ianya berlaku begitu dahsyat pada pemerintah-pemerintah Islam lebih dari apa yang berlaku kepada pemerintah bukan Islam. Padahal mereka telah membaca firman Allah, maksudnya; 

"Dan jika kami hendak membinasakan negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya ketentuan kami dan kemudian kami hancurkan negeri itu sehancurhancurnya".
(al Isra':16)

iv) Peralihan kuasa dan pimpinan kepada bukan Arab; samada kepada Farsi, Dailam (suku Kurd), Mamalik, Turki dll. Kebanyakan mereka ini tidak pernah merasa kemanisan Islam yang sebenar. Hati-hati mereka tidak dapat disinari oleh cahaya al Quran disebabkan kesukaran memahami maksud-maksudnya. Sedangkan mereka telah membaca firman Allah, maksudnya, 

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaan mu orang-orang yang di luar kalangan mu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagi mu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepada mu ayat-ayat (Kami) jika kamu mahu memahaminya". (Al Imran :118)

v) Mengabaikan ilmu-ilmu teknologi dan sains sebaliknya menghabiskan masa dengan teori falsafah dan ilmu-ilmu khayal yang mandul. Sedangkan Islam mengesa mereka supaya mengkaji, menyelidik segala rahsia-rahsia kejadian, meneroka di muka bumi dan berfikir tentang makhluk Allah sebagaimana firman Allah, maksudnya; "Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi".
(Yunus:101).

vi) Sikap pemerintah yang tertipu dengan kekuatan sendiri dan cuai untuk mengkaji perkembangan masyarakat lain sehingga mereka ketinggalan dalam persiapan dan persediaan yang mana akhirnya mereka telah di cakup sekali gus. Al Quran telah memerintahkan mereka supaya sentiasa berwaspada dan jangan lalai. Ia mensifatkan orang-orang yang lalai dan cuai tak ubah seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu. 

Firman Allah, maksudnya; "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak di pergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak di pergunakannnya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat- ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang- orang yang lalai" (al-A'raf:179).

vii) Terpedaya dengan tipu muslihat musuh yang manis di bibir. Mereka merasa kagum dengan carakerja dan kemewahan hidup kuffar musuh. Mereka terburu-buru meniru kuffar tanpa mengira baik buruk. Sedangkan al-Quran sangat menegah muslimin dari meniru atau menyerupai kuffar. Al-Quran terus terang memerintah supaya tidak menyerupai kuffar dan perlunya memelihara ciri-ciri identiti Islam. 

Firman Allah, maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang al Kitab nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman" (aL-Imran:100). Di ayat yang lain, maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu taati orang-orang itu nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran) lalu kamu menjadi orang yang rugi" (aL-Imran:149)

Imam As-syahid Hassan Al-Banna

Read more...

Aku Wanita....