Tuesday, May 3, 2011

Bukan Senang Menjadi Pemimpin

Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah s.a.w. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah. Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah.
Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah? Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah, kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan. Cukup dia menjaga dirinya sahaja.
Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu.
Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu.
Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim daripada baginda.
Tetapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu tafsiran baru yang lebih penting lagi daripada tafsiran yang di atas. Allah temukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s., tetapi Allah tukar peranan masing-masing.
Seolah-olah Allah berkata, "Hai Musa! Engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut." Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut.
Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, "Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja." Berjaya tak?
Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, "Kalau nak aku, jangan banyak cakap, ikut saja. Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita."
Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu.
Nabi Musa tidak tahan, baginda tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan baginda sudah berjanji tidak akan bertanya. Nabi Khidir pun mengingatkan, "Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita."
Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir membunuh seorang budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, baginda bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi baginda diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya.
Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah.
Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul.
Pemimpin sepatutnya bersabar dalam mendidik anak buah. Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat 'ulul azmi' adalah mereka yang paling sabar.
Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia adalah mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan.
Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sedikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sedikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.
Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat. Cuba tengok Nabi Khidir. Atas dasar ilmu baginda layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati baginda tidak layak.
Sebab itu, Nabi Adam waktu dia bertaubat sujud 40 tahun sampai pokok tumbuh besar dikelilingnya, pun tidak dapat gelaran 'Ulul Azmi'. Mengapa? Baginda sujud itu bukan memimpin. Baginda dengan tuhan saja. Dengan tuhan baginda rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah.
Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah baginda mendapat darjat 'Ulul Azmi'.
Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian.
Oleh itu, janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti tidak layak. Bila tidak layak, ia boleh menjadi punca kerosakan yang banyak kepada manusia.

Read more...

Monday, May 2, 2011

Wanita: Di mana Hilangnya Malu? (2)

Sambungan....

Imam Qurthubi rahimahullah menjelaskan hadis di atas dengan pernyataannya:
“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal...”


Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa yang diimpikan dalam hidup juga merupakan satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan. Walau bagaimanapun, sifat malu terbahagi kepada dua iaitu malu yang bersifat kebaikan dan malu yang bersifat kejahatan.


Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.


Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.


Wanita Muslimah atau wanita yang bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden. 
Mementingkan pandangan Allah s.w.t lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak kisahlah jika anda dilabel sebagai tidak moden, kolot dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.


Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki yang menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.


Rasulullah juga pernah mengatakan bahawa malu adalah karektor bagi agama Islam serta mempunyai sifat malu yang sebenar-benarnya tidak akan menyebabkan perkara yang tidak baik.
Memandangkan dunia semakin berkembang dengan segala macam teknologi dan perubahan dari semua aspek, sudah sewajarnya setiap wanita menilai kembali sifat semulajadi atau lahiriah seorang wanita yang suatu waktu dahulu cukup kebal dengan sifat pemalu.


Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Insya-Allah.


Sudah tiba masanya, kumpulan atau golongan yang memperjuangkan hak wanita dan dunia wanita mengubah persepsi mereka terhadap peranan dan diri wanita dalam dunia masa kini. Mengejar kejayaan, kemodenan, kesamarataan taraf, menghindar penindasan dan sebagainya harus diperjuang, tanpa mengikis sifat wanita yang hakiki iaitu pemalu.


Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:


“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)


Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita. Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara.
Petikan: I Luv Islam

Read more...

Wanita: Di mana Hilangnya Malu? (1)

SEORANG wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya mulus, pipinya gebu, bibirnya ‘ulas limau’, alisnya lentik, hidungnya mancung, matanya bundar dan bercahaya. Dadanya juga agak bidang. Lengannya putih jari-jemarinya halus dan runcing. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh beralun sekali-sekala mengikut pergerakan tubuhnya.

Mata-mata yang melihat mula berimaginasi. Imaginasi itu sudah pasti yang indah-indah dan sudah semestinya bukan hal-hal yang baik.

Di satu sudut yang lain, seorang gadis berpakaian sopan dengan bertudung sempurna duduk di tepi taman. Di sisinya seorang lelaki sederhana tinggi yang juga berpakian sopan.Tangan mereka saling bertaut. Kadang, tangan si lelaki juga menjalari tubuh gadis. Mereka tersenyum, ketawa dan kelihatan sungguh bahagia.

Kelihatan juga sekumpulan gadis yang masih berpakaian sekolah. Ketawa berdekah-dekah, saling bertepuk tampar. Sesekali jeritan nyaring memecah suasana. Beberapa orang daripada mereka tidak bertudung. Di jari mereka terselit sebatang rokok. Mereka menghisap rokok.

Agak pedih dengan paparan itu, mata menerawang ke arah lain. Sebuah motosikal dipandu agak laju. Penunggangnya seorang lelaki muda yang lagaknya seperti mat rempit. Pemboncengnya pula seorang gadis. Gadis seksi dengan kelibat punggungnya yang separa bogel sedang erat memeluk pinggang lelaki yang sedang menunggang motosikal. 

Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Apa hukuman untuk mereka yang terlibat dengan perbuatan memalukan itu? Ini merupakan musibah yang memudaratkan maruah wanita iaitu kehilangan rasa malu atau pudarnya sifat malu dalam diri mereka.

Di tengah–tengah masyarakat tidak kira sama ada di bandar atau desa, wanita seperti yang digambarkan di atas boleh ditemui. Kononnya dahulu, gadis atau wanita yang seksi begini hanya boleh ditonton di bandar-bandar besar. 

Namun kini, pemandangan seperti itu sudah menular dan boleh dilihat di mana-mana jua. 

Kampung atau bandar, desa atau pekan, sekolah, universiti, taman, pasar, pusat membeli belah dan sebagainya.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan menconteng arang ke wajah juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebagainya.

Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Tidak hairan, kini wanita mula dipandang sebagai golongan yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Wanita mula memegang pelbagai peranan dalan masyarakat, berkerjaya, bebas melontar pendapat dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan.

Tidak hairan juga komoditi pasaran ekonomi sebahagian besarnya untuk wanita, daripada wanita, dan mengeksploitasi wanita. Hal sebegini banyak dibincangkan bukan sahaja oleh peneliti sosiobudaya malahan golongan wanita sendiri yang mendakwa diri mereka feminis atau pejuang hak wanita.

Mereka memperkata tentang penindasan terhadap wanita, hak sama rata yang harus dinikmati oleh wanita dan pelbagai perkara lagi yang menuntut suatu keadaan di mana wanita boleh menikmati apa yang dinikmati oleh kaum lelaki. Persoalan gender sebegini tidak akan habis sampai bila-bila.

Suatu hal yang kurang diperjuang oleh golongan feminis terutama untuk wanita yang beragama Islam ialah perjuangan mengembalikan wanita kepada lumrah asalnya iaitu memelihara maruah dan melapik diri dengan sifat malu.

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”

Malu atau dalam bahasa Arabnya ‘haya’ berasal daripada perkataan ‘hayat’ yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.

Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)
bersambung.....



Read more...

Sunday, May 1, 2011

SOLEHAH: Menjadi atau Mencari?

Mencari Solehah atau Menjadi Soleh? Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga berhabis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba.
Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat takdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada post kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh! Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab:

“Dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”

“Pandai jaga hati”


Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan ‘baik’ itu yang berbeza.

Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah. Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya.

Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka: 

“Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.” 

“Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati.” 

“Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu.” 
Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu?

Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain. Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah! Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita? 


Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu.

Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh. 


Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita. Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari. 

Read more...

Aku Wanita....