Monday, October 18, 2010

Syifa' Binti Abdullah al-Adawiyyah r.a


Namanya Syifa’ binti Abdullah ibn Abd Syams al-Quraisyiyyah al-Adawiyyah. Ada pendapat mengatakan nama sebenarnya Laila binti Abdullah. Beliau adalah isteri kepada Abu Hathmah ibn Huzaifah ibn Ghanim al-Quraisy al-Adawi. Beliau dikurniakan seorang anak bernama Sulaiman bin Abu Hathmah, seorang lelaki yang dihormati sebagai orang yang kuat beragama di kalangan ummat Islam.
 
Kemuliaan
Nama adalah identiti dan pengenalan awal diri. Ia juga adalah sebuah doa dan harapan yang terawal dilakarkan oleh ibu bapa buat seorang anak. Sesuai dengan namanya Syifa’ memiliki kepakaran dalam istirqa’ iaitu suatu kaedah pengubatan dengan cara memberikan dorongan jiwa agar pesakit bermotivasi dan optimis untuk sembuh. Beliau adalah seorang sahabiah yang terkenal dengan kebaikan hatinya dan kepintarannya dan merupakan salah seorang daripada segelintir kau hawa Quraisy yang mahir menulis dan membaca. Beliau tergolong di kalangan sahabat dan sahabiah yang terawal memeluk Islam, ikut serta membaiah Rasulullah s.a.w. bersama sahabiah yang lain dan turut berhijrah ke Madinah. 

Beliau turut memiliki kedudukan yang terhormat di sisi Ummahatul Mukminin, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. As-Syifa’ sentiasa datang menjenguk Ummul Mukminin, Hafsah dan mengajarkannya menulis. Rasulullah s.a.w. telah menyuruh as-Syifa’ mengajarkan Hafsah menulis dan cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah. Diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Syifa’ binti Abdullah bahawa dia berkata: “Rasulullah s.a.w. datang menjengukku dan aku sedang bersama Hafsah. Rasulullah berkata kepadaku, “Ajarkanlah Hafsah cara mengubati penyakit kulit dengan teknik ruqayyah sebagaimana engkau mengajarkannya menulis.”
 
Rasulullah s.a.w. menghormatinya dan bersaliturahim dengannya. Rasulullah s.a.w. juga telah memberinya sebuah rumah di Madinah. As-Syifa’ telah tinggal di rumah tersebut bersama anaknya Sulaiman. 
                                    
Kepakaran dalam Perubatan
Pada zaman jahiliyyah, Syifa’ binti Abdullah mengubati sakit kulit dengan menggunakan ruqayyah. Setelah memeluk Islam, dia telah datang bertemu Rasulullah untuk meminta izin agar dapat meneruskan pekerjaannya itu. Ibnu Qayyum berkata bahawa di zaman jahiliyyah as-Syifa’ menggunakan ruqayyah untuk mengubati penyakit kulit. Ketika turut serta dalam hijrah dan membaiah Nabi s.a.w. dia telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.:
“Ya Rasulullah, pada zaman jahiliyyah aku mengubati penyakit kulit dengan cara ruqayyah dan aku ingin memperlihatkannya kepadamu.”
 
Syifa’ berkata, maksudnya: “Dengan nama Allah, sampai kembali ke asalnya dan tidak membahayakan seseorang pun. Ya Allah, Tuhan sekalian manusia. Hilangkanlah penyakit ini.”
 
Ibnu Qayyum berkata: “Syifa’ binti Abdullah membaca ruqayyah tersebut sebanyak tujuh kali ke atas sebuah dahan gaharu. Kemudian, dia menumbuknya sampai halus pada tempat yang bersih dengan menggunakan batu yang tajam. Setelah itu, dia akan menggoreskannya ke atas penyakit kulit tersebut.”
 
Setelah diizinkan oleh Rasulullah s.a.w. beliau meneruskan pekerjaannya itu.As-syifa’ juga menyertai beberapa peperangan sebagai tentera dan juga pasukan perubatan.
 
Bersama Umar al-Khattab
Syifa’ binti Abdullah mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Umar al-Khattab r.a. sebagaimana mulianya as-Syifa’ di sisi Rasulullah s.a.w. Sayyidina Umar selalu mengutamakan as-Syifa’ dalam hal pandangan. Bahkan, beliau turut memberi kepercayaan kepada as-Syifa’ dengan melantiknya sebagai seorang qadhi di pasar. As-Syifa’ adalah Muslimah pertama memegang jawatan itu. Beliau memikul tugas tersebut dengan penuh amanah dan tegas.
Pada suatu hari, as-Syifa’ elihat sekelompok anak muda berjalan dengan perlahan dan bercakap dengan lambatnya. As-Syifa’ bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah ahli ibadah.” As-Syifa’ membalas: “Demi Allah! Dahulu Umar ibn Khattab berjalan dengan pantas, bercakap dengan lantang dan apabila memukul pasti sangat sakit dan dialah sebenarnya yang disebut sebagai ahli ibadah.”
 
Umar Ibn Khattab sentiasa datang menjenguk as-Syifa’ dan bertanyakan keadaannya, anak dan suaminya. Umar juga kerap membimbing mereka kepada kebaikan kalau keadaan memerlukan. Syifa’ binti Abdullah berkata: “Umar ibn Khattab datang ke rumahku. Dia melihat dua orang lelaki tertidur di rumahku (suami dan anak as-Syifa’). Umar ibn Khattab bertanya: “Ada apa dengan dua orang lelaki ini sehingga mereka tidak solat berjemaah dengan kami?” Aku menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Mereka berdua solat bersama yang lain 
 – ketika itu bulan Ramadhan – mereka terus solat berdua sampai datang waktu Subuh. 
Setelah mereka solat Subuh, mereka tidur. Umar ibn Khattab berkata: “Solat Subuh berjemaah bersama yang lain lebih baik bagiku daripada solat sepanjang malam sampai datang Subuh.” Hal ini menunjukkan pemahaman fiqh Umar yang mendalam dan bimbingan halus daripadanya yang berlandaskan sunnah Rasulullah s.a.w dan anjuran untuk menghadiri solat jemaah. 

As-Syifa’ dan Hadis Rasulullah s.a.w.
As-Syifa’ r.a. juga sempat meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. secara terus dan dari Umar al-Khattab. Adapun yang meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. daripada as-Syifa’ adalah anaknya Sulaiman, kedua cucunya Abu Bakar bin Sulaiman dan Utsman bin Sulaiman, hamba sahayanya Abu Ishaq dan Hafsah Ummul Mukminin.
 
Di antara riwayatnya, bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang sebaik-baik pekerjaan. Baginda menjawab: “Beriman kepada Allah, jihad di jalanNya dan haji yang mabrur.”
As-Syifa’ menghabiskan hayatnya untuk menuntut ilmu, beramal, berzuhud dan beribadah sehingga ajal menjemputnya pada zaman khalifah Umar al-Khattab pada tahun 20H.
Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dari Ilahi. Marilah kita berdoa: “Ya Allah, Tuhan sekalian manusia. Hilangkanlah penyakit ini.”

Read more...

Saturday, October 16, 2010

Nailah Al-Farafisyah

Dia seorang wanita yang cantik dan baik akhlaknya, isteri Khalifah Uthman bin Affan, Nailah Al-Farafisyah. Seorang isteri yang ikhlas, setia dan taat pada suami. Meskipun Nailah bukannya dari golongan wanita Quraisy malah mempunyai ayah yang menganut agama nasrani, namun dia tetap menonjol dari kalangan muslimah ketika itu kerana kelebihan kecantikkan, kebijaksanaan, kefasihan lidah serta kematangan fikirannya.

Nailah hidup di rumah Khalifah Uthman dengan penuh penghormatan. Ketika pengepungan selama 50 hari di rumah Khalifah Uthman, orang yg tidak berengang daripada Khalifah Uthman ialah Nailah. Kaum pemberontak tidak henti-henti melempar rumah Khalifah dengan batu-batu dan panah. Tiga orang telah terbunuh. Meskipun Abdullah telah membuat perjanjian bertulis kepada orang ramai supaya jangan berbuat sesuatu terhadap Khalifah, namun masih ada dua orang yang melanggar perintah itu.

Muhammad bin Abu Bakar yang mengetuai pembelotan itu. Ketika Muhammad dan seorang temannya melepaskan tali pagar rumah Khalifah dan memanjat dengan tali itu,Nailah menjenguk di tingkap sehingga terurai rambutnya yang ikal. Khalifah menegurnya "Nailah, tutuplah rambutmu itu dengan kain tudung, sesungguhnya rambutmu itu lebih besar nilainya padaku daripada nyawaku." Nailah sudah tidak mendengar kata-kata Khalifah, yang penting baginya ketika itu adalah melindungi suaminya. 
Kedua-dua lelaki tersebut telah berada dihadapannya. Lelaki pertama menghayunkan pedangnya pada Khalifah tetapi dengan pantas Nailah menahan dengan tangannya sehingga terputus jari-jari halusnya. Nailah menjerit kesakitan dan memanggil Rabah yang akhirnya membunuh lelaki tersebut. Kemudian datang Muhammad bin Abu Bakar, dia menghayun pedangnya dan Nailah menahannya lagi sehingga terhiris jari-jari tangan yang lain.

Muhammad mencabut janggut Khalifah, memukul kepala dan menikamnya. Dia menyelar tubuh Khalifah dengan pedang sedangkan sewaktu itu beliau masih hidup. Apabila Muhammad Hendak memotong kepala Khalifah, badan Nailah sendiri yang menahannya bersama puteri Syibah. Mereka berdua ditolak lalu di pijak-pijak.

Sesudah pembunuhan itu, tidak seorg pun yang berani datang untuk memandi dan mengebumikan jenazah beliau sehingga Nailah menghantar utusan kepada Jubair bin Hizam dan Huwaitib bin Abd Uzza. Mereka tidak berani mengebumikannya di waktu siang. Akhirnya mereka keluar antara Maghrib dan Isyak untuk menanam jenazah Khalifah. Nailah mendahului dengan membawa lampu kecil untuk menerangi malam.

Berita kematian Khalifah tersebar luas. Dan peristiwa inilah yang mencetus perselisihan antara Saidina Ali dan Muawiyah yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa umat islam. Nailah telah menghantar sepucuk surat kepada Muawiyah yang berbunyi "Jika dua golongan dari kaum itu berperang, hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Dan jika yang satu dari keduanya melanggar perjanjian kepada yang lain, maka perangilah yang melanggar perjanjian itu sehingga mereka kembali kepada Allah." Nailah menghantar surat itu bersama pakaian Khalifah Uthman yang telah koyak dan berlumuran darah. Pada butang bajunya diikat segumpal janggut yang dicabut oleh Muhammad Bin Abu Bakar. Dia turut mengirimkan lima jari yang terpotong.

Walaupun telah beberapa lama kematian suami, kesedihan tetap menyelubungi hatinya. Kesedihan Nailah tidak pernah putus sehinggalah Muawiyah meminangnya. Nailah menolak dan mematah-matahkan giginya sehingga orang lain bertanya, "Mengapakah kamu mematah-matahkan gigi mu yang cantik itu?" Lalu Nailah menjawab, "Aku tidak mahu kesedihanku pada Uthman menjadi pudar sebagaimana pudarnya kain-kain buruk dan aku tidak mahu lelaki lain mengetahui apa yang ada pada diriku, sebagaimana diketahui oleh Uthman".
Sebagai seorang sasterawan dan penyair, Nialah banyak mengubah sajak dan syair yang diabadikan buat suaminya. Dia menolak perkahwinan selepas perginya Saidina Uthman. Dia tetap setia meskipun selepas kematian Khalifah. Dialah wanita yang sanggup mengorbankan apa sahaja untuk perjuangan suaminya.

Read more...

Friday, October 15, 2010

Ummu Habibah

Serikandi Islam..
Ummu Habibah atau nama sebenarnya Ramlah Binti Abu Sufyan. Inilah serikandi islam yang patut dijadikan teladan bagi muslimah zaman sekarang. Bagaimana tidak? orang-orang terdekat dan dicintainya merupakan musuh baginya. Mereka berusaha memurtadkan dan memalingkannya dari jalan kebenaran. Dialah salah seorang ummul mukminin yang banyak diuji keimanannya.

Ramlah Binti Abu Sufyan merupakan puteri kepada seorang pemimpin Quraisy dan orang-orang musyrik hingga penaklukan Mekah. Namun, Ramlah binti Abu Sufyan tetap beriman sekalipun ayahnya memaksa dirinya untuk kafir ketika itu. Abu Sufyan tidak mampu memaksa anaknya ketika itu kerana anaknya menunjukkan pendirian yang kuat dan semangat yang tekad. Ramlah Binti Abu Sufyan rela menanggung beban yang melelahkan dan berat kerana memperjuangkan akidahnya.

Pada mulanya, beliau menikah dengan Ubaidullah bin Jahsy, seorang muslim seperti beliau. Tatkala kekejaman kaum kafir terhadap kaum muslimin, Ramlah berhijrah menuju Habsyah bersama suaminya. Disanalah beliau melahirkan seorang anak perempuan, yang diberi nama Habibah. Dengan nama anaknya inilah beliau digelar dengan Kun` yah Ummu Habibah.

Ummu habibah senantiasa bersabar dalam memikul beban lantaran memperjuangkan dirinya yang dalam keterasingan dan hanya seorang diri, jauh dari keluarga dan kampung halaman. Bahkan terjadi musibah yang tidak dia sangka sebelumnya. 


Beliau bercerita,
"Aku melihat dalam mimpi, suamiku dengan bentuk yang sangat buruk dan menakutkan. Aku pun terperanjat dan bangun, kemudian aku memohon perlindungan kepada Allah SWT dari hal itu. Ternyata tatkala pagi suamiku telah memeluk agama Nasrani. Kuceritakan mimpiku kepadanya, namun ia tidak mengubah pendiriannya."

Suaminya mencuba dengan segala kemampuan untuk memurtadkannya, namun Ummu Habibah tetap istiqamah. Bahkan beliau berusaha mengajak suaminya untuk kembali ke Islam, walaupun ditolak mentah-mentah dan malah suaminya semakin asyik dengan khamr. Hal ini berterusan hingga ia meninggal. Hari-hari berlalu di bumi hijrah, dengan ujian-ujian berat menemani Ummu Habibah. Tetapi dengan keimanan yang dikaruniakan Allah SWT, dirinya mampu menghadapinya.

Suatu malam, dia melihat dalam mimpinya ada yang memanggilnya;
"Wahai ummu mukminin...!"

Beliaupun terperanjat bangun. Beliau menakwilkan mimpi tersebut bahwa Rasulullah SAW kelak akan menikahinya. Setelah selesai masa iddah-nya, tiba-tiba ada seorang budak wanita (jariyah) dari Raja Najasyi yang memberitahukan kepada beliau bahwa Rasulullah SAW telah meminangnya.

Alangkah bahagianya beliau mendengar khabar gembira tersebut. Sehingga beliau berkata;
"Semoga Allah memberikan khabar gembira untukmu"

Kerana terlalu gembira dengan khabar itu, beliau menanggalkan gelang kakinya lalu diberikan kepada budak wanita yang membawakan perkhabaran tersebut. Setelah itu, beliau meminta Khalid bin Sa'id bin Al-‘Ash untuk menjadi wakil baginya menerima lamaran Raja Najasy.

Rasulullah bertemu dengannya pada tahun ke enam atau ke tujuh Hijriyah. Ketika itu Ummu Habibah berumur 40 tahun. Ummu Habibah menempatkan urusan agama pada tempat yang pertama. Beliau utamakan akidahnya daripada keluarga. Beliau menyatakan bahwa kesetiaan beliau adalah tidak berbelah bahagi untuk Allah dan Rasul-Nya bukan untuk seorang pun selain keduanya.

Sumber : www.zahazan.net

Read more...

Thursday, October 14, 2010

Teguran Itu Penting

Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah. Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh
Jerash, Jordan.  
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur. 

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang membutuhkan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak membutuhkan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.
 
Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba  menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat trully dan hidup. 
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
 
Orang yang Ditegur 
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
 
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?. 
 
Yang Paling Penting
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri. Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Read more...

Wednesday, October 6, 2010

Jangan Salahkan Mereka

Assalamualaikum. Alhamdulillah masih lagi diberi kesihatan oleh Allah Rabbul ‘izzati. Lama sungguh tidak menulis, taman ini dibiarkan kosong sebarang pengisian sebagaimana hati kita juga kosong tanpa diisi dengan makanan ruhani. Bagaimana perut yang lapar memerlukan makanan seperti nasi, air, sayur, buah dan sebagainya, begitulah juga dengan hati dan akal manusia yang memerlukan makanan ruhani seperti solat, puasa, sedekah, zikir dan sebagainya. di bawah penulis sekadar ingin berkongsi sedikit berkaitan uslub dakwah secara santai. titiplah ilmu tersirat yg sedikit ini.

Tidak cukup sekadar kita melaksanakan perintah Allah yang wajib, malah sebagai hamba yang sangat jauh dari Tuhannya memerlukan satu pengorbanan yang tinggi untuk kita kecapi kebahagiaan di dunia ini. Kadang kala terfikir, mengapa hati ini selalu benar ingin mencintai dunia melebihi akhirat yang terbentang. Maknanya, masih ada lagi dicelah-celah hati manusia ini yang tidak dapat menghadirkan ikhlas di dalam dirinya untuk mencintai Allah.

Menjadi generasi rabbani pada masa akan datang menjadi sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan apabila pengurusan manusia di dunia ini tidak dapat diuruskan dengan baik. Pengurusan individu, pengurusan keluarga, pengurusan masyarakat dan seisinya (Negara). Perkara pokok yang perlu diambil perhatian ialah akar yakni Islam.

Fitrah manusia ialah agamanya, tidak boleh tidak manusia perlu hidup di dalam lingkungan agamanya. Menyedari hal ini, pelbagai isu sosial dan kegawatan sikap manusia hari ini dapat diselamatkan hanya dengan agama. Al-Quran yang dijadikan panduan itu adalah janji-janji Allah yang tidak pernah DIA mungkiri. Malah, kitalah yang menentukan sama ada mahu ikut atau mengabaikan sahaja segala perintah dan janji Allah di dalam kitab agung tersebut.

Seorang muslim itu berperanan dalam menyampaikan kebaikan kepada orang lain, namun kini tidak semua muslim itu mukmin. Juga tidak semua muslim itu menyedari hakikat sebenar diri dan agamanya di sisi Allah Ta’ala. Mereka bangga punya agama tetapi tidak melangsaikan hutang-hutangnya kepada Maha Pencipta.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh sewenang-wenang menuduh atau menyalahkan muslim tersebut sedangkan mereka tidak tahu. Adalah menjadi tanggungjawab kita yang tahu untuk menyedarkan mereka dan seterusnya dapat membantu kita pada hari ini. Jika dilihat kembali, berapa ramai golongan seperti ini membantu dari sudut gerak kerja dakwah. Alhamdulillah dan muslim seperti ini harus didekati dan difahami bukanlah disalahkan tanpa usul periksa.

"Malu Itu Tidak Datang Kecuali Dengan Membawa Kebaikan" (Riwayat Bukhari & Muslim)

Read more...

Aku Wanita....