Thursday, December 10, 2009

Kematangan Dalam Diri


Kematangan berkait rapat dengan peningkatan umur. Sekurang-kurangnya itulah yang meresap dalam pemikiran dan norma masyarakat. Seolah-olah tidak dapat dipisahkan antara keduanya, sehingga suatu tahap ia menutup pintu bagi generasi baru untuk mencapai sesuatu lebih awal dari umurnya. Mungkin benar bahawa kematangan itu dibentuk oleh masa dan pengalaman yang dilalui, semakin lama, semakin berkembang dan bertambah baik, namun perlu jelas bahawa kematangan merupakan suatu anugerah dari Allah ke atas setiap anak Adam, bagi setiap orang itu berbeza begitu juga bagi satu-satu generasi.  
 
Secara idealnya, satu-satu generasi memerlukan kematangannya secara umum berkembang dengan kemas dan pesat. Ini perlu bagi memastikan tampuk kepimpinan yang ada sudah mempunyai generasi pewaris yang berkemampuan samada lebih baik atau setaraf dengan apa yang ada kini. Di sinilah dapat kita kaitkan unsur kematangan itu dengan matlamat dan cita-cita kita dalam kehidupan. Seandainya kepimpinan sekarang mahukan suatu kejayaan yang lebih hebat lagi, dengan penuh ikhlas ia mengharapkan suatu kemajuan dan perkembangan demi Allah dan RasulNya pada generasi dan umat yang akan datang, maka kita akan melihat mereka bertungkus lumus memberi perhatian yang sewajarnya untuk mendidik generasi di bawah mereka. Itulah yang dapat kita lihat pada Rasulullah s.a.w yang bersungguh-sungguh mendidik para sahabat agar mereka mampu menyambung tugas dakwah kepada Allah s.w.t. sebaik pemergiannya kepada Ilahi.         
Antara faktor yang akan banyak membina kematangan adalah ilmu dan penghayatan terhadapnya.Tidak dapat disangkal lagi betapa ilmu mampu membina manusia dari kemunduran kepada tamadun yang besar dan gah. Ini telah ita saksikan terhadap kemajuan umat Islam pada zaman Abbasiyah dan Uthmaniyyah bahkan juga terhadap ketamadunan barat yang banyak mencedok ilmu-ilmu dari tamadun islam. Dari kegelapan kepada cahaya. Di sinilah pentingnya kita menilai erti ilmu melalui penghayatan. Tiada guna ilmu yang dikendong andai tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ilmu akan membentuk pemikiran manusia, sedikit demi sedikit ia akan memberikan manusia pengajaran yang berguna. Tapi ini semua hanya bila ia dihayati dan diterjemah dalam realiti. Dengan ilmu, kematangan mampu di arah dan ditolak perkembangannya melebihi mereka yang tidak berilmu, hanya mengharap masa membentuk mereka.
 
Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, perkembangan pemikiran seseorang kini bergantung banyak kepada kesediaan dan pertimbangan dalam menghadapi sesuatu perkara. Memang praktikalnya, kita hanya akan memahami atau mengenali sesuatu perkara bilamana kita melaluinya. Apa sahaja masalah yang melanda merupakan ruang untuk kita memperbaiki diri kita. Sebab itu ia merupakan suatu rahmat bagi orang-orang mukmin tatkala ditimpa musibah, Dalam hadis Nabi s.a.w., sabda baginda yang mafhumnya, “barangsiapa yang Allah mencintai kebaikan baginya, maka Allah menimpakan musibah ke atasnya” Pastinya hanya sekilas pandang dapat kita pelajari bahawa musibah yang menimpa pada kita, pasti ada kebaikan, dari aspek pertimbangan kita dan kesediaan kita dalam menghadapinya akan menunjukkan sejauh mana kita mampu menghadapinya, bagaimana kita menanggapinya. Di sinilah kematangan akan berkembang. Keputusan yang kita ambil boleh samada dipengaruhi oleh emosi dek kerana kurang matangnya kita atau kita mempertimbangkan mengikut ilmu dan pengalaman yang telah kita ada. Bagaimana kita menilai kemampuan, pilihan dan kehendak kita juga akan menunjukkan tahap kematangan kita.
 
Sekali lagi, gemar untuk ditekankan di sini betapa matlamat dan pengakhiran kita akan mempengaruhi perkembangan kematangan kita. Pemuda yang mengenali matlamat hidupnya yang benar, kecenderungan pemikirannya adalah ke arah matlamatnya itu. Sesiapa yang tidak punya matlamat yang benar dan jelas, maka tidak akan terdetik dalam dirinya untuk mencapai pembaikan dan kesempurnaan, dan jika ada, seringkali ia hanyalah hangat-hangat tahi ayam. Sebab itu dalam meletakkan cita-cita, kita perlu praktikal dan nyata. Itu juga datangnya dari pemikiran yang sedar dan matang. Anak-anak kecil akan mengimpikan sesuatu yang diluar jangkauannya, kerana dia masih anak kecil. Dia hanya mengimpikannya, khayalannya lebih kuat kerana cita-citanya tidak meletakkan apa-apa tanggungjawab ke atas bahunya. Orang bijak akan meletakkan matlamat yang besar, tapi langkahnya dan usahanya membawa kepada kejayaan dan dia komited padanya. Andai Allah tujuan dan Rasul ikutan, maka kita akan berjaya, kerana para sahabat, salafusoleh, tabi’ tabi’in semuanya telah membuktikan kepada kita dengan jalan itu.  
 
Akhirnya tibalah ruang untuk berkorban dan berusaha mencapai kematangan yang kita idamkan. Yang akan melahirkan perbuatan yang benar dan ikhlas, kata-kata yang bermanfaat dan hati yang bersih. Bagi pemuda islam, buat kita adalah pengorbanan yang amat besar, iaitu untuk melawan arus kehidupan hedonisme yang amat kuat melekat dalam jiwa pemuda. Memang banyak perkara yang perlu disisihkan. Bibit jahiliyah yang ada perlu dikikis. Kehendak-kehendak picisan al-hawa perlu ditolak dan disalurkan dengan benar. Di sini dengan usaha kita bermujahadah dengan benar dan bersabar akan membentuk kematangan kita dengan lebih baik. Dari aspek displin diri dan kesediaan bersusah-payah dapat kita bentuk.   
 
‘Ala kulli hal, ia berbalik kepada diri kita sendiri. Pintu perubahan ada di mana-mana, tidak perlu menunggu hidayah ‘melanggar’ baru nak terngadah kesilapan yang lalu. Allah telah menjanjikan kepada kita dalam ayat cintaNya yang agung bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri. Ilmu dan penghayatan akan membentuk pemikiran, menjadi asas dalam pembentukan akhlak, kesediaan dan kemampuan pertimbangan akan menjadi petunjuk kepada perkembangan kita. Matlamat kita akan menunjuk hala tuju kita, menjadi destinasi yang bermakna dan pengorbanan kitalah akan membuktikan betapa telah terdidiknya kita atau tidak.
-julaibidsinar-

0 comments:

Post a Comment

Aku Wanita....