Monday, May 17, 2010

Remaja Kian Parah!


Assalamu'alaikum wbt.
Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi mengizinkan jasad ini menghirup udara segar dan memperoleh segala nikmat yang dikurnia-Nya. Lama sungguh tidak menjenguk ke 'kanvas' ini, jadi untuk entry kali ini suka untuk saya kongsikan bersama satu artikel saya yang ditulis semasa di IKIM. (Sewaktu Latihan Industri)

Pengenalan

Kebelakangan ini terlalu banyak kes-kes dan kajadian yang berlaku yang sebahagiannya melibatkan remaja. Hal ini semakin hari ia dilihat semakin meruncing dan membimbangkan. Pelbagai jenis salah laku yang dilakukan oleh kalangan remaja ini dan ia memberikan suatu gambaran yang buruk terhadap anak muda remaja Malaysia khususnya. Lagi yang perlu dibimbangi adalah remaja yang melakukan kesalahan ini bukanlah hanya dikalangan anak remaja yang menemui kegagalan hidup bahkan remaja yang mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang.

            Secara umumnya remaja kini kian parah dengan pelbagai gejala sosial yang dilakukan sama ada salah laku jenayah seperti membunuh, merompak, melakukan zina, merempit di jalanan, memeras ugut, melepak dan sebagainya. Rata-rata remaja yang dikatakan ini adalah mereka yang berumur 21 tahun kebawah dan biasanya mereka ini masih lagi bersekolah.

Punca keruntuhan akhlak remaja
            
        Melihat kepada keadaan semasa, keruntuhan akhlak remaja yang semakin parah mempunyai beberapa sebab dan dapat dilihat dari pelbagai sudut. Umumnya mengetahui akan sifat remaja yang seringkali ingin mengetahui dan mencari sesuatu yang baru untuk kehidupan mereka. Malah apa yang mereka ingin cari dan cuba itu kadangkala tidak mendatangkan sebarang manfaat, namun itulah juga yang menjadi kemahuan mereka. Jika sifat ini tidak dibendung, bimbang suatu hari nanti anak muda ini sanggup melakukan apa sahaja yang dirasakan mahu walaupun mendatangkan bahaya kepada dirinya ataupun masyarakat.

            Dari sudut lain pula, kehidupan remaja dilihat sebagai satu tahap kehidupan untuk bersuka ria dan bergembira. Mencari keseronokan hidup merupakan salah satu agenda dalam kehidupan mereka. Begitulah firman Allah SWT yang ada menyatakan bahawa ada dikalangan manusia yang hidup bermatlamatkan makan dan berseronok, inginkan hiasan kehidupan dan kesenangan hidup, melakukan kerosakan dan sebagainya. Hal ini telah Allah rakamkan di dalam al-Quran. Bagi mereka yang tidak keluar daripada ruang ini maka mereka dikalangan orang-orang yang rugi.

            Selain itu, pengaruh rakan sebaya turut menjadi punca utama kepada permasalahan dan keruntuhan akhlak remaja masa kini. Nasihat daripada ibu bapa kadangkala menjadi kabur kerana ajakan rakan sebaya. Oleh sebab itu, pemilihan kawan yang baik itu sangat penting agar diri remaja terhindar daripada perkara-perkara yang terlarang. Krisis remaja adalah apabila mereka tidak diberi pilihan untuk memilih kerana apa yang datang kepada mereka hanyalah satu, tidak ada dua atau tiga. Maka apabila yang datang kepada mereka perkara yang buruk, maka itulah yang akan menjadi pilihan mereka. Lain pula jadinya jika ada dua tiga pilihan untuk golongan remaja ini pilih, tentu kebaikan itu gigih untuk memenangi jiwa para remaja ini.

            Selain daripada itu, permasalahan remaja ini juga timbul disebabkan kemerosotan didikan dan asuhan daripada keluarga. Tidak semua yang berlatar belakangkan hidup yang susah akan melakukan perkara tersebut, ada juga dikalangan remaja yang berlatar belakangkan kehidupan yang mewah, keluarga yang baik dan berpengetahuan turut mempunyai masalah keruntuhan akhlak dan moral sehingga boleh membawa kepada kes-kes jenayah.

            Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting di dalam mendidik dan mengasuh anak-anak sedari kecil. Awal pembentukan keluarga jika sudah ditanam dengan kemewahan dan kesenangan sahaja, tanpa moral disebaliknya akan mengundang masalah kepada sikap anak-anak apabila kian membesar. Begitu juga dengan keluarga yang sibuk mengejar harta kemewahan sehingga mengabaikan perhatian yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak. Hal ini akan menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang panjang untuk mendengar masalah anak-anak, kemahuan anak-anak, berdamping, berkongsi dan sebagainya yang akhirnya membawa kepada haluan masing-masing dalam kehidupannya. Inilah salah satu punca mengapa anak-anak lebih suka mencari ’ketenangan’ di luar atau bersama rakan-rakannya berbanding bercerita dan bersua muka dengan ibu bapanya.

            Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, suasana rumah tangga yang tidak harmoni dan tenteram, keadaan sosio-ekonomi yang sempit serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan akhlak dan moral anak-anak apabila meningkat remaja.

            Pengaruh persekitaran media massa, masyarakat dan budaya turut menjadi punca akan keruntuhan akhlak dikalangan remaja. Remaja umpama lalang yang masih lagi mentah dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar serta sukar untuknya membuat pilihan dan mencari pendirian hidupnya. Tayangan medai massa mengenai perkara yang dilihat sebagai satu imej yang buruk, mungkin sesetengahnya diakatakan untuk memberi pengajaran. Namun apa yang berlaku sebenarnya, kebanyakan anak muda remaja ini lebih suka mencuba dan mendedahkan dirinya untuk mengikut dan meniru aksi yang ditonton. Cara berfikir remaja dengan golongan dewasa berbeza, penilaian yang dibuat juga berbeza, maka dari sudut pandang itulah kita seharusnya memberi sedikit kelebihan kepada remaja untuk menyelami jiwa mereka. Jika mendatangkan keburukan kepada mereka, sepatutnya ia dijauhi dari diberikan kepada mereka.

Penyelesaian masalah

          Bagi golongan yang menggelarkan diri mereka pendakwah atau mereka yang ingin melaksanakan tuntutan Islam supaya mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, pada hari ini dilihat segelintirnya terlalu alergic melihat anak-anak remaja yang bermasalah. Sikap ini seharusnya dibuang jauh daripada pemikiran seorang daie. Mendekati mereka itu sangat perlu manakala menjauhi mereka mesti dilupakan. Sakitnya hati-hati mereka ini kadangkala berpunca daripada kesungguhan para daie yang dilihat tidak optimum dalam penyampaian dakwah mereka.

           Metodologi dakwah yang harus dilakukan untuk menangani masalah remaja kini, antaranya mengadakan program-program luar yang dilihat dapat menarik anak muda sekarang mengikut dorongan mereka. Sebagai contoh, mengadakan pengembaraan, mendaki gunung, jungle tracking, rehlah di pantai dan sebagainya yang harus dekat dengan jiwa mereka yang inginkan keseronokan. Tidak dilupakan setiap satunya disertakan nilai-nilai murni dan juga nilaian Islam.

Perlu diketahui akan hakikat remaja yang tidak suka dikongkong dan dikurung di dalam dewan-dewan program, di bilik-bilik kuliah hanya semata untuk mendengar motivasi, ceramah, kuliah dan sebagainya. Metod dakwah ini sudah lagi tidak relevan untuk dilaksanakan walau dengan pelbagai medium yang digunakan.

Para daie juga mestilah perlu untuk mengikuti dan mengjangkaui medium media massa sedia ada demi kelangsungan dakwah kepada golongan remaja. Tidak menjadi suatu masalah dan bebanan jika daie pada hari ini menggunakan media sebagai salah satu saluran terpenting untuk mereka melaksanakan tuntutan dakwah tersebut. Melihat kepada para daie yang terlalu syadid dengan medium ini menyebabkan dakwah mereka kadangkala tidak sampai dan kurang diterima oleh golongan remaja yang sangat memerlukan khidmat tersebut. 

           Televisyen, radio, website, blog, laman-laman sosial dan sebagainya merupakan salah satu medium yang banyak digunakan oleh golongan remaja masakini. Jika remaja mengatakan bahawa mereka up to-date, maka seorang daie juga harus lebih up to-date untuk mengikat hati-hati mereka dengan keindahan Islam. 

Tugas daie ini untuk meyakinkan mereka akan aqidah yang sohih, akhlak yang mulia, muamalah yang baik, kehidupan Islam yang teratur dan sebagainya. Seronoknya kehidupan mereka di alam remaja begitulah seronoknnya kehidupan mereka jika mengikut aturan Islam.
Selain daripada itu, kehendak golongan remaja ini menyebabkan kesesakan di kalangan para daie. Sinonimnya remaja adalah dengan apa yang hampir dengan mereka. Oleh kerana itu, saranan yang saya berikan adalah golongan remaja harus didekati oleh golongan daie muda. Mereka lebih mengetahui dan jelas dengan kehendak dan kemahuan para remaja kerana langkauan jarak hidup mereka tidak jauh berbeza. Apa yang berbeza hanyalah keinginan untuk Islam itu tidak dioptimumkan oleh para remaja hari ini. 
 
Cara dan metod mereka juga tidak boleh terlalu mengikut yang menjadi kebiasaan para daie dengan memberi ceramah, kuliah, diskusi dan sebagainya. Akan tetapi, cara tersebut bolehlah ditokok dengan suatu nilai tambah yang boleh menjadi ikutan remaja masakini. Kepelbagaian di dalam dakwah ini bakal menarik minat bukan sahaja golongan remaja malah setiap lapisan masyarakat yang melihat kepada apa yang cuba ditonjolkan oleh para daie tersebut. Misalnya boleh dilihat kepada cara berpakaian, cara bercakap, cara berjalan, sikap dan sifat yang ditunjukkan dan sebagainya.

           Kadangkala apa yang ditonjolkan itu lebih lagi menarik minat mereka untuk mengikut dan menurutinya. Sekurang-kurangnya apabila terbit rasa hormat di dalam diri mereka, ini lebih memudahkan daie untuk mendekati dan menyelami jiwa remaja. Sebab itulah, dakwah seorang daie muda itu amat diperlukan untuk menyampaikan risalah dakwah ini. Bukanlah golongan tua atau pendakwah yang sudah dikira berumur ini tidak lagi sesuai dengan remaja namun, saya yakin dan percaya bahawa penerimaan remaja terhadap golongan ini mungkin tidak lagi diberikan dengan sewajarnya atas alasan dan faktor zaman mereka tidak sama dengan zaman remaja masa kini.

Remaja ini samalah seperti anak kecil yang mahu ditatang dan diberi perhatian. Walau bagaimanapun, perhatian dan rasa ambil berat ini seringkali pula dirasakan mengongkong kehidupan mereka. Ibu bapa perlu mempunyai suatu sikap ambil tahu siapa kawan mereka, ke mana mereka pergi, apa program dan aktiviti yang mereka sukai, mendengar masalah, berkongsi cerita dan pandangan, bersua muka walau seketika dan sebagainya merupakan elemen pembantu untuk kita mendekati mereka dan memberi perhatian akan apa yang menjadi kegemaran mereka. 

Oleh itu, perhatian sewajarnya harus diberikan kepada remaja agar mereka berasa diperlukan dan ada kepentingan untuk mereka terus berada dalam kehidupan yang telah diatur dengan al-Quran dan sunnah.

Penerapan nilai-nilai Islam dan moral yang baik dalam kehidupan anak-anak juga membantu peningkatan para remaja untuk melalui lorong yang lurus. Institusi keluarga yang wujud pada hari ini harus memainkan peranan yang sangat penting seawal pembentukan keluarga. Keluarga muslim yang dibentuk ini haruslah ditekankan dengan ajaran dan aturan al-Quran dan as-Sunnah kerana hanya dengannya sebuah keluarga itu memiliki isi rumah yang akan menguntungkan Islam. Anak-anak remaja yang membesar dalam keluarga muslim yang dibentuk ini akan menjadi remaja contoh dan berguna untuk masyarakat dan juga agama. 

Oleh kerana itu, dakwah ini harus dilaksanakan dalam pelbagai medium dan pelbagai cara untuk mengikat hati-hati golongan remaja ini terutamanya dengan kecantikan dan keindahan hidup dengan sistem Islam. Bukan hanya menunggu seseorang yang digelar pendakwah untuk memainkan peranan tersebut akan tetapi setiap daripada kita harus mengambil ruang dan peluang ini untuk memberikan sesuatu yang bermakna kepada anak-anak remaja masakini. Hapuskan kelalaian mereka dan gantikan dengan kesungguhan taqwa kepada Allah SWT.

1 comments:

Unknown October 1, 2015 at 6:50 PM  

Saya Sangat BerTerima kasih Atas Bantuan Angka Ritual MBAH…Angka MBAH EROK PRANAL Tembus 100%…Saya udah kemana-mana mencari angka yang mantap selalu gak ada hasilnya…sampai- sampai hutang malah menumpuk…tanpa sengaja seorang teman lagi cari nomer jitu di internet…Kok ketemu NomoR MBAH EROK PRANAL..Saya coba beli Paket 4D ternyata Tembus…dan Bagai di sambar Petir..Ternyata Angka Ritual Ghoib MBAH EROK PRANAL…Yang SaYa Minta Tembus 4D…Baru kali ini saya mendapat angka ritual yang benar-benar Mantap…Bagi saudara yang ingin merubah Nasib seperti saya…Anda Bisa CALL/SMS Di Nomer MBAH EROK PRANAL 085 377 797 151.(((Buktikan Aja Sendiri Saudara-Saudari)))

Post a Comment

Aku Wanita....