Friday, February 5, 2010

Mahasiswa Beriman Lahir Pemimpin Pendakwah

Pendekatan agama terap unsur takwa, didik generasi muda lebih berkeyakinan hadapi masa depan.

SUATU perkara yang tidak mungkin dinafikan adalah kemakmuran dan kejayaan yang dinikmati oleh generasi sekarang adalah hasil usaha generasi sebelum ini. Pemimpin yang menerajui negara dan memimpin bangsa pada hari ini adalah golongan mahasiswa yang aktif pada masa dulu. Oleh itu, kita mempunyai slogan yang menyatakan bahawa pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan.

Corak perjalanan sesebuah generasi ditentukan oleh sahsiah pemimpin. Nabi Muhammad SAW yang mendapat bimbingan langsung dari Allah SWT seperti dalam sabdanya: “Addabani rabbi fa ahsana ta’dibi” atau “Tuhanku telah mendidik aku dengan sebaik-baik didikan” melahirkan generasi yang sebaik-baik generasi, iaitu generasi sahabat.

Generasi sahabat pula melahirkan generasi tabi’in, diikuti pula oleh generasi tabi’ tabi’in. Generasi yang berikut adalah hasil didikan generasi sebelum itu. Pemimpin sekarang adalah mahasiswa yang menghidupkan kampus pada masa lalu dengan pelbagai aktiviti. Mereka juga adalah mahasiswa dulu yang menjadi penggerak keintelektualan dan kokurikulum dalam dan luar kampus masing-masing.

Dahulu di Universiti Brunei Darussalam (UBD), satu dialog antarabangsa diadakan antara mahasiswa UBD dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dialog bertemakan peranan mahasiswa dalam dakwah pada era globalisasi bertujuan memperkukuhkan perhubungan antara kedua-dua universiti.

Selain itu, dialog itu bertujuan mendedahkan apa yang patut dilakukan oleh mahasiswa apabila berdepan situasi dakwah pada era yang sangat mencabar sekarang dengan dakwah menjelma mengikut perkembangan semasa, termasuk penggunaan teknologi maklumat. Tidak cukup dengan berucap, dakwah mesti dilaksanakan secara cerdas dan dinamik untuk menghadapi kemajuan sains dan teknologi. Sehubungan itu, pemimpin umat dan pendakwah mesti mengubah taktik agar hidayah Allah sampai kepada umat manusia.

Jika selama ini, kita mengandaikan bahawa da’wah billisan (dakwah dengan lisan), sekarang kita mesti melakukan da’wah bilqalam (dakwah menggunakan pena) dan da’wah bilhal (dakwah secara konteks). Selama ini, pendakwah terpaku pada dakwah yang menggunakan lisan, iaitu pengertian dakwah terbatas kepada ceramah dan pengajian. Kaedah ini tidak salah, tetapi perlu diperluas menjadi dakwah bilqalam dan dakwah bilhal.

Dakwah bilqalam adalah dakwah melalui media massa yang ketika ini sangat berkesan dan mencabar. Jika pendakwah tidak sanggup mengisi media massa, sama ada cetak atau elektronik, media massa akan diisi fahaman lain, hedonisme dan materialisme. Akibatnya, umat bukan dididik dengan lebih baik secara spiritual, tetapi selera dan nafsu duniawi semakin meningkat. Lebih mencabar adalah dakwah secara konteks (da’wah bilhal) ketika umat sekarang menghadapi serangan krisis, sama ada ekonomi, budaya, ideologi yang keadaan ini boleh dikatakan krisis pelbagai dimensi.

UBD yang dalam proses pengantarabangsaan sangat mengalu-alukan program begini. Bahkan dalam hal ehwal keagamaan, UBD merancang menubuhkan unit khas keagamaan seperti yang diperkatakan oleh pemangku Naib Canselor, Dr Junaidi Abd Rahman ketika acara korban UBD yang lepas. Unit ini perlu ditubuhkan untuk menjadi penggerak aktiviti keagamaan. Waktu dialog antarabangsa mahasiswa itu diadakan adalah unik kerana ketika ini, orang sibuk membuat penilaian akhir tahun dan menghadapi tahun baru. Ketika orang bersiap untuk menghadapi perayaan awal tahun, segelintir mahasiswa mengadakan dialog mengenai dakwah yang menunjukkan bahawa mereka termasuk orang yang memerhatikan keadaan umat sekarang.

Kelompok yang dikatakan Nabi Muhammad SAW sebagai sesiapa yang tidak memerhati umat maka ia tidak termasuk dalam golongan umat itu. Kelompok mahasiswa berkenaan seperti tujuh pemuda yang lari dari kehidupan yang penuh hiruk-pikuk pada zaman Raja Decius yang zalim dan sombong. Mereka melarikan diri ke gua untuk beribadat kepada Allah SWT sambil berdoa semoga mereka selamat dan diberi hidayah petunjuk-Nya.

Rabbana Atina min ladunkan rahmatan wa hayyi’ lana min amrina rasyada,” demikian doa mereka yang bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” 
(Surah al-Kahfi: 10).

Mahasiswa beriman menyedari bahawa kehidupan generasi sekarang berada pada zaman pancaroba yang tidak boleh dielakkan lagi. Oleh itu, mereka berharap terhadap generasi akan datang yang akan menjadi pemimpin menjadi lebih baiki seperti yang digambarkan dalam doa pemuda di atas.

Mereka dengan petunjuk Ilahi telah dipersiapkan untuk menjadi generasi akan datang yang ketika itu tidak akan menghadapi keadaan seperti sekarang. Oleh itu, benarlah apa yang dikatakan Amirul Mukminin, Umar ibn al-Khattab bahawa kita mesti mendidik dan mengajar anak dengan keadaan yang akan mereka hadapi dan bukan dengan apa yang kita hadapi sekarang. Kehidupan masa datang berbeza dengan kehidupan sekarang. Jika anak dididik dan diajar dengan didikan dan ajaran sekarang, dikhuatiri mereka tidak sanggup menghadapi cabaran masa depan.

Oleh itu, bagi menghadapi tahun baru usaha mesti dilakukan oleh umat Islam supaya tidak termasuk dalam golongan yang rugi dalam mengharungi kehidupan yang penuh warni-warni. Antara usaha yang patut dilakukan umat pada hari ini adalah bertaubat. Sebenarnya kehidupan seorang Islam yang menuju ke jalan Allah bermula dengan taubat. Tiada sesuatu darjat yang mendahului taubat dan taubat mestilah taubat nasuha yang suci sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang nasuha.” (Surah al-Tahrim: 8)

Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyad al-Salihin, membincangkan mengenai syarat taubat nasuha. Beliau menulis:
Taubat dari segala dosa itu adalah wajib hukumnya.
Jika maksiat itu adalah antara hamba dengan Tuhan, iaitu tidak berkaitan orang lain; ada tiga syarat untuk membuang maksiat daripada dirinya, iaitu menghentikan maksiat, dukacita atau menyesal terhadap perbuatan maksiat yang dilakukan dan berjanji tidak akan kembali kepada maksiat itu lagi. Jika seseorang yang bertaubat tidak memenuhi syarat berkenaan, maka taubatnya tidak sempurna.

Bagaimanapun apabila maksiat itu berkaitan hak orang lain, syarat kesempurnaan taubat adalah empat. Selain tiga syarat di atas, dia perlu membersihkan dirinya dari hak orang itu. Ini bermaksud jika hak itu adalah harta benda atau sebagainya, dia perlu mengembalikannya kepada tuannya.

Jika hak itu adalah tuduhan yang hukumnya dengan hadd atau sebagainya, dia hendaklah menyerahkan dirinya untuk dihukum atau meminta maaf daripada orang yang mempunyai hadd itu. Jika hak itu adalah caci maki atau umpat, maka hendaklah meminta maaf daripada orang yang mempunyai hak itu. ‘Islam’ tulisan bebas Syeikh al-Azhar, Abdul Halim Mahmud, “sangat menganjurkan penganutnya bertaubat sebanyak-banyaknya, kerana taubat adalah anak tangga pertama bagi orang yang ingin mendaki tingkatan mulia kepada Allah Taala.

Taubat dari segala dosa juga adalah wajib kerana akan mengikis segala dosa sebelum ini. Ia akan meletakkan seseorang yang bertaubat setelah menyempurnakannya dengan baik pada tempat yang bersih, suci dan bebas dari dosa. (al-Isra’ wa al-Mi’raj)
Allah Ta’ala berfirman supaya manusia selalu taubat yang bermaksud:
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)

Allah juga membuka pintu taubat nasuha dengan seluas-luasnya dalam firman-Nya yang menggambarkan rahmat dan belas kasih yang maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar: 53)

Dalam hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu sekalian melakukan dosa setiap malam dan siang, dan Akulah Tuhan yang mengampunkan segenap dosa, maka mohonlah pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku mengampunkan kamu sekalian.”
Bertaubat adalah cara membersihkan diri dari kotoran. Islam mengajar kita supaya sentiasa berlindung kepada Allah SWT dengan bertaubat ketika melakukan sesuatu pekerjaan yang berguna seperti berniaga, akad nikah, membina rumah dan ketika perjalanan. Ini bermakna bertaubat boleh diterapkan untuk memulakan tahun baru.

Taubat membolehkan hati bersih dan segala masalah juga akan menjadi bersih. Hati yang bersih juga menghakis kekotoran hidup seseorang. Hati seperti dikatakan tokoh tasawuf, Imam al-Qusyairi, adalah tempat duduk segala makrifat dan ia adalah segumpal daging yang sangat berpengaruh.

Jika hati terpelihara, seluruh anggota akan turut terpelihara. Hati juga adalah tempat musyahadah, iaitui melihat sesuatu dengan mata hati. Adakah kita akan bertaubat apabila meninggalkan 2009 dan memasuki tahun baru, 2010? Insya Allah.

INTI PATI
- Persediaan mahasiswa dalam memainkan peranan sebagai pendakwah pada era globalisasi.
- Penggunaan teknologi maklumat dalam berdakwah mengikut perkembangan semasa.
- Pendekatan dakwah melalui media massa perlu diperluaskan bagi memberi lebih keberkesanan.
- Umat perlu bertaubat dalam menghadapi bagi menghadapi tahun baru supaya tidak termasuk dalam golongan yang rugi dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar.

Ulul Albab:
Oleh Abdurrahman Haqqi

0 comments:

Post a Comment

Aku Wanita....