Friday, March 26, 2010

Taat & Thabat...

6. Taat


Apa yang Dimaksudkan dengan taat:
Taat ialah akur kepada perintah dan melaksanakan secara sepontan dalam keadaan sukar atau senang, rela atau terpaksa. Ini adalah kerana fasa dakwah ini ada tiga:

Pengenalan (Takrif)
Fasa ini dilaksanakan dengan menyebarkan fikrah Islam kepada masyarakat. Dalam fasa ini dakwah disusun melalui pertubuhan. Peranannya ialah bekerja untuk kebajikan masyarakat. Wahana atau wasilah yang digunakan adakalanya dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar, adakalanya dalam bentuk membina prasarana yang berguna untuk masyarakat dan pelbagai lagi wasilah yang praktikal. Semua cawangan Ikhwan yang wujud pada hari ini berada dalam fasa dakwah ini. Semuanya disusun oleh satu undang-undang asas yang dihuraikan oleh risalah-risalah dan akhbar-akhbar Ikhwan. Dakwah dalam fasa ini bersifat umum.

Dalam fasa ini, jamaah berhubung dengan sesiapa sahaja yang mahu mengambil bahagian dalam kerja-kerja jamaah serta bersedia berjanji memelihara dasar-dasar jamaah. Dalam fasa ini ketaatan penuh tidak diperlukan. Cukup sekadar ia menghormati sistem dan dasar am jamaah.

Pembinaan (Takwin)
Memilih individu-individu yang sesuai untuk memikul tanggungjawab jihad dan mereka kemudiannya digabungkan dalam saf. Dalam fasa ini, dakwah disusun menggunakan kaedah sufi sepenuhnya dalam sudut rohani dan menggunakan kaedah ketenteraan sepenuhnya dalam sudut amali. Slogan bagi kedua-dua sudut ini ialah “perintah dan taat” tanpa ada rasa teragak-agak, bersoal jawab, ragu-ragu dan keberatan. Katibah-katibah Ikhwan merupakan pelaksana kepada fasa dakwah ini. Sebelum ini katibah ini disusun menurut Risalah al-Manhaj dan sekarang risalah ini.

Dakwah dalam fasa ini adalah bersifat khusus. Dakwah hanya berhubung dengan orang yang sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab jihad yang akan berlangsung dalam tempoh yang lama dan menuntut pelbagai tanggungjawab. Tanda pertama kesediaan ini ialah “ketaatan mutlak”.


Pelaksanaan (Tanfiz)
Dakwah dalam fasa ini adalah jihad tanpa kompromi, kerja yang berterusan ke arah mencapai matlamat, ujian dan cubaan yang akan hanya ditempuh dengan sabar oleh mereka yang jujur. Kejayaan dalam fasa ini hanya akan diperolehi melalui “ketaatan mutlak”. Barisan Ikhwan al-Muslimin yang pertama memberikan baiah ialah pada 5 Rabiul Awal 1359.

Apabila anda bergabung dalam katibah ini dan menerima risalah ini serta berikrar dengan baiah ini anda telah berada di tahap kedua dan hampir dengan tahap ketiga. Oleh itu nilailah tanggungjawab yang anda laksanakan. Siapkanlah diri anda untuk memenuhi tanggungjawab ini.


7. Tabah ( Thabat )

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Tabah;
Tabah bermakna seorang akh terus menerus bekerja dan berjihad untuk mencapai matlamat walau sejauhmana tempoh yang ditempuh dan memakan masa bertahun-tahun lamanya, sehingga dia bertemu dengan Allah. Dia akan memperolehi dua kejayaan, sama ada dia mencapai matlamatnya atau dia mencapai syahid di akhir nanti.

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Al-Ahzab: 23)

Bagi kita, masa adalah salah satu penyelesai masalah. Jalan ini memang jauh apatah lagi apabila ia terpaksa melalui pelbagai peringkat dan pelbagai rintangan. Namun demikian ini sahaja jalan yang mampu membawa kita kepada destinasi kita. Ditambah pula dengan ganjaran dan pahalanya yang besar.

Ini kerana kesemua enam wasilah atau wahana kita memerlukan kita membuat persediaan yang rapi, menunggu masa yang sesuai dan merancang pelaksanaan yang teliti. Semua ini bergantung kepada masa.

Mereka bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi! (Al-Isra': 51) 

0 comments:

Post a Comment

Aku Wanita....