Saturday, November 7, 2009

Prinsip Berfikir


Alhamdulillah...ada 4 paper lagi, dan ini salah satu subtopik dari subjek pemb. minda untuk exam minggu depan.. seronok belajar subjek ni..boleh la berkongsi sikit..^_^


Orang-orang yang mahir berfikir, secara mereka sendiri tidak sedari mempunyai prinsip-prinsip berfikir seperti yang disenaraikan di bawah :


1) Sentiasa bersikap membina 
Ramai orang suka berfikir secara negatif. Mereka seronok mencari alasan-alasan untuk membuktikan orang lain salah. Mereka berasa mereka lebih pintar dari orang itu. Orang-orang yang berfikir secara negatif yakin bahawa kecekapan berfikir secara kritikal adalah memadai. Permikiran mereka kekurangan unsur-unsur membina dan menerbitkan idea-idea. Memang benar adakalanya kita perlu pada pemikiran kritikal, tetapi itu tidak selalu. Orang-orang yang mahir berfikir secara negatif tidak berasa malu kerana sikap masyarakat kita sekarang yang lebih memuliakan kemahiran secara kritikal daripada kemahiran berfikir secara membina.


2) Berfikir secara simple
Tabiat suka melihat apa-apa sahaja perkara dengan cara-cara yang sukar dan rumit hanya elok untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain bahawa kita adalah pemikir yang hebat. Tabiat ini datang daripada kebiasaan di sekolah. Entah apa sebabnya, guru-guru percaya salah satu cara mengajar murid supaya pandai berfikir adalah dengan memberi soalan-soalan yang susah. Pemikir yang mahir adalah orang-orang yang dapat berfikir secara simple. Apa-apa yang sukar akan mereka tukar supaya menjadi mudah. Mereka gemar bertanya, "Ada atau tidak cara lain yang lebih senang? "


3) Sentiasa mencari-cari pilihan lain, tanggapan lain dan idea-idea baru
pemikir-pemikir yang tidak mahir sibuk mencari SATU jawapan yang betul dan selepas menemui jawapan itu mereka akan keras mempertahankannya. Pemikir yang mahir sentiasa bertanya, ada ataupun tidak cara-cara lain, tafsiran-tafsiran lain, tindakan-tindakan lain dan pendekatan-pendekatan lain. Sekiranya dia diberitahu bahawa "hanya ada dua kemungkinan" dia segera mencari kemungkinan-kemungkinan lain. Sekiranya dia diberitahu, hanya ada satu penjelasan bagi apa-apa masalah. dia cepat-cepat mencari penjelasan-penjelasan lain. Begitu pula halnya mengenai idea-idea dan tanggapan-tanggapan. Dia bertanya " Ada idea lain tak ?"


4) Tidak suka bertelagah pendapat
kemahiran bertelagah datang daripada hasrat mahu sentiasa betul. Semasa di sekolah dulu, kita dilatih berbahas, kononnya berbahas dapat menajamkan otak mereka. Tetapi berbahas juga melatih mereka mahir mencari salah orang. Bagi menajamkan otak, caranya dengan belajar menajamkan persepsi. Ini lebih berkesan dibuat tanpa bahas dan dengar. Tetapi sekiranya kita sibuk mencari apa  yang hendak kita lawan dan tangkis, telinga kita akan pekak daripada mendengar perkara-perkara berguna itu. Pemikir yang mahir, pandai mendengar bukan yang pandai berdebat sahaja.


5) Memisahkan ego daripada pemikiran
Halangan utama untuk menjadi pemikir yang mahir ialah ego kita. "Aku betuk, dia yang salah". "Pendapat aku yang terbaik." Kita perlu belajar menerima hakikat bahawa kita mungkin salah dan  dan idea orang lain mungkin lebih baik. Tetapi ini lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Kebanyakan orang menderita kerana gejala "gerun-salah" dan "gerun-kalah". Kebanyakan kita akan merasa malu dan jatuh maruah jika idea dan pendapat kita tidak diterima, dan oleh sebab itu kita seringkali keras-kerasan mempertahankan idea kita walaupun ia memang nampak kurang bernas. Pemikir yang mahir, berupaya memisahkan egonya daripada pemikirannya. Mereka dapat menerima bahawa kenyataan mereka mungkin salah dan idea mereka belum tentu yang terbaik.


6) Merendah diri
Sombong, bongkak dan angkuh adalah ciri-ciri orang yang tidak mahir berfikir.Memang, adalah sukar hendak merendahkan diri kepada orang-orang yang penuh prasangka, buta akal, berfikiran sempit dan terbukti salah. Orang-orang itu ramai disekeliling kita. Namun, orang yang mahir berfikir mempunyai sikap merendah diri dalam pemikiran mereka sendiri. Mereka percaya, pemikiran mereka sendiri pun belum tentu betul sepenuhnya.


Jadi, janganlah kita menjadi orang yang selalu nak menang dan menganggap apa yang lahir dan datang dari pemikiran kita sahajalah yang benar dan betul. Nilaian kita adalah kepada bagaimana seseorang itu mengeluarkan idea dan mendengar pula idea dari orang lain sehingga mampu mencambahkan lagi idea yang sedia ada walaupun kadangkala ia nampak begitu ringkas ataupun simple....
Pada sahabat-sahabat JDPI 08/09, good luck! moga kita akan berfikir secara kreatif semasa menjawab exam nanti..^_^
Allahu a'lam..

0 comments:

Post a Comment

Aku Wanita....