Tuesday, April 20, 2010

7 Tawaran Istimewa dr Syaitan Laknatullah!

Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T atas nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan. Musim peperiksaan sudah kunjung tiba pada hari ini. First Day untuk sesi peperiksaan semester ini. Namun, suka untuk saya berkongsi dengan pembaca mengenai 7 strategi syaitan untuk menjerumus manusia ke lembah nista menurut Ibnu Qayyim al-jauziyah.

PERTAMA: Syaitan menawarkan kekufuran. Manusia dengan kadar keimanan yang tidak stabil sangat mudah terumbang ambing dalam kehidupannya. Peluang inilah yang dimanfaatkan sebaiknya oleh iblis atau syaitan untuk menggoda dan menghasut manusia untuk mengingkari Tuhan. Misalnya jika seseorang manusia itu ditimpa bencana, sakit atau sebarang musibah, lalu orang itu akan mudah berkata bahawa "Tuhan ini tidak adil". Sejak mendengar ucapan itu, syaitan telah mendorong manusia untuk terus mengingkari jalan Tuhan dan para nabi dan rasul-Nya bahkan memesongakn ajaran yang telah dipegang.

KEDUA: Syaitan menawarkan segala hal yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah S.A.W. Misalnya penipuan dalam bisnes, malas menuntut ilmu, tidak mahu solat jemaah, curang dan banyak lagi. Semua hal itu adalah kenikmatan yang ada di dunia tetapi kosong isinya. Nikmat inilah yang tidak mudah kita hindari apalagi oleh generasi muda yang masih dalam pencarian jati diri. Tetapi itu tidak beerti kita tidak boleh menghindarinya kerana al-Quran dan hadith telah memberi seluruh pedoman hidup untuk menggapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

KETIGA: Syaitan menawarkan dosa-dosa kecil. Dalam kehidupan sehari-hari, manusia sangat mudah melakukan dosa-dosa kecil. Misalnya riak, ingin selalu dipuji, ghibah, namimah dan sebagainya. Media cetak atau elektronik juga turut menyuburkan dosa-dosa kecil ini dengan menyajikan sajian berita atau gosip-gosip artis, politik bahkan sesiapapun. Na'udzubillah min zalik.

KEEMPAT: Syaitan menawarkan hal-hal yang melalaikan sehingga manusia terlalai dengan sifat-sifat yang wajib. Ia dipanggil mubah atau boleh ertinya hal yang boleh dilakukan, jika tidak dilakukan tidak mendapat pahala dan tidak juga menjadi dosa. Bagaimana pun, mubah adalah awal kepada perbuatan dosa. Misalnya dalam konteks keluarga, ibu-ibu yang leka berborak sehingga terlupa mendidik anak-anak dan menguruskan rumah tangganya. Kemudian, muncul berbagai masalah rumah tangga. Misalnya anak terlibat dengan gejala kurang sihat seperti dadah dan sebagainya.

KELIMA: Syaitan menawarkan dosa besar seperti syirik, rasuah, zina, derhaka pada orang tua, fitnah, minum arak dan dosa besar yang lain. Dosa-dosa besar ini sesungguhnya dimulakan dengan dosa kecil. Misalnya manusia kufur atau tidak mengingat Tuhan akan cepat terjerumus dengan dosa besar seperti yang disebutkan tadi.

KEENAM: Syaitan menawarkan ibadat yang dianggap utama sehingga ibadat yang sesungguhnya lebih utama sampai dilupakan. Hal ini biasanya berkaitan dengan ibadat kepada Tuhan yang berlebihan sehingga ibadat kepada sesama manusia dan alam tidak ditunaikan. Misalnya kerana sibuk dengan amalan berzikir, maka mereka melupakan amalan zikir sosial seperti membantu kaum dhu'afa, menyelamatkan ekonomi kaum papa, membantu pendidikan dan zikir-zikir sosial yang lain.

KETUJUH: Syaitan membawa bala tentera yang terdiri daripada jin dan pengikut manusia yang lainnya. Contoh manusia pengikut syaitan adalah manusia yang mencaci, saling memfitnah, berjudi, pelacuran, ataupun mengambil dadah sebagai makanannya. Manusia pengikut ajaran syaitan itulah yang akhirnya akan menjadi iblis besar.

Inilah 7 strategi syaitan dalam menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan dan paling menakutkan kita adalah ianya sering berlegar dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, perbanyakkanlah mengingati Tuhan dengan membaca al-Quran, mengingati mati, memohon doa dan perlindungan dari Allah. Marilah kita mulakan dari sekarang sementara akal dan minda kita dalam kewarasan yang kita sendiri kendali. Allahu'alam..

MujahidCinta//GenerasiExtravaganza//

0 comments:

Post a Comment

Aku Wanita....