Wednesday, February 10, 2010

Muwasafat Tarbiyyah

Muhasabah yang Perlu Dicermati..

Akhir-akhir ini, gerakan Islam khususnya semakin ketandusan keahlian yang diyakini mampu untuk meneruskan kesinambungan gerakan agar terus bernafas. Kualiti dan kuantiti ahli sudah kurang dibicarakan dan dilumati dalam mengkaderkan pelapis. 

Pasca pilihan raya umum terdahulu dan pilihanraya kampus baru-baru ini, sedikit sebanyak meng’arah’kan hala tuju gerakan Islam menjadi lebih ’kepolitikan’ berbanding persoalan-persoalan tarbiyah atau didikan yang dahulunya sering digemakan. Ini juga tanpa disedari turut berlaku dalam gerakan mahasiswa Islam (GMI) di kampus.

Hari ini, gerakan akan berbangga dapat melahirkan ahli yang ramai yang mampu menampung kekosongan gerak kerja Islam. Kuantiti yang berbilang ini kadang-kala membuaikan rasa selesa bagi gerakan.

Demonstrasi, kuliah-kuliah ilmu, setakat ini masih lagi dapat didominasi dan dimobilasi bagi ’menggerun’kan pihak musuh dengan kehadiran ahli-ahli ini. Namun, adakah kuantiti ini selari dengan kualiti yang diperlukan dalam sesebuah gerakan?

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh ahli gerakan: Sejauh mana pemahaman ahli dalam jihad-jihad yang mereka sertai selama ini? Yang sanggup berhadapan dengan risiko-risiko lebih besar lagi? Yang bukan sekadar menjadi front liner dihadapan, bahkan bersedia dilenyek kereta kebal tentera seandainya memerlukan ahli gerakan berbuat sedemikian?

Lalu, beberapa perkara yang disebut muwasafat tarbiyah harus diteliti semula. Gerakan perlu meletakkan standard kader ahli dengan sekurang-kurangnya memenuhi beberapa kriteria-kriteria berikut:

Aqidah yang sejahtera (aqidatun salim) : Kefahaman aqidah islamiyyah yang jelas hendaklah dipasakkan dengan utuh dan jitu seumpama akar pokok yang menjalar jauh ke dalam tanah. Bukan sekadar meneliti tauhid-tauhidnya sahaja, bahkan aqidah perjuangan dipraktikalitikan dalam tindakan mereka.

Ibadah yang sahih (ibadah soheh) : Dalam pada itu, kehidupan mereka terangkum dalam ibadah yang natural dan bersih daripada sebarang unsur bid’ah. Melaksanakan ibadah berpandukan ilmu yang dipelajari. Seluruh ibadah dilaksanakan tanpa memilih-milih sama ada yang sunat mahupun wajib.

Akhlak yang mantap : Seorang ahli gerakan adalah seorang daie yang menjadi contoh terbaik orang disekeliling. Mana mungkin seorang ahli gerakan mengucapkan kata-kata nista dan umpat tanpa sebarang sebab. Mereka juga menjaga adab-adab dalam berjemaah disamping melestarikan ukhwah islamiyyah.

Mampu bekerja : Yang dimaksudkan ini adalah bijak dan berkapasiti pengorbanan yang tinggi dalam menyelesaikan amanah dan tanggungjawab.

Berpengetahuan luas (ilmun wasi’) : Pra-syarat inilah yang semakin dilupakan oleh sekelian ahli gerakan. Dek mengejar tanggungjawab dan amanah yang diberikan sehingga terlupa mengisi ilmu di dada. Silibus-silibus pengkaderan haruslah disemak dan dianalisis semula agar ia benar-benar ilmiah dan semasa. Majalah, surat khabar serta internet perlu diakses dan sensitif agar tidak kosong dadanya daripada ilmu pengetahuan semasa.

Tubuh yang cergas : Ini tidak dapat dinafikan lagi. Kesihatan tubuh perlu dijaga. Kebanyakan ahli gerakan kadangkala mempunyai tabiat makan yang tidak menentu. Walaubagaimanapun, perancangan makan juga perlu disusun untuk melahirkan ahli yang sihat tubuh badannya.

Menguasai diri (mujahadutnnafs) : Ahli gerakan tidak boleh mendabik dada merasakan mereka sudah banyak melakukan kebaikan dek gerak kerja mereka. Kita sedia maklum, ahli gerakan perlu turun ke medan-medan dakwah bersama-sama dengan masyarakat yang pelbagai. Justeru itu, kekuatan jiwa daripada pengaruh yang menggugat harus dipertingkatkan. Di samping amalan-amalan rohani serta solat fardhu yang menjadi pertolongan.

Teratur urusannya (munazzamah) : Kebatilan yang terancang pasti jua akan menang seandainya kebenaran itu tidak tersusun dan berstrategi. Setiap ahli gerakan perlu berusaha mewujudkan planner harian untuk menyusun gerak kerja harian serta tidak mudah lupa dalam menjalankan amanah.

Sangat menghargai masa : Sudah menjadi kelaziman, ahli gerakan sewajarnya menjadikan masa sebagai aspek terpenting dalam hidup. Setiap yang berlalu tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Sentiasa merasakan resah seandainya setiap saat yang bergerak tidak melakukan kerja-kerja Islam.

Bermanfaat kepada orang lain : Aspek inilah yang mahu dilahirkan daripada setiap gerakan Islam. Kehadiran ahli gerakan di mana-mana sahaja sentiasa dirasai dan ketiadaannya sentiasa ditunggu-tunggu. Bukan kerana glamournya, tetapi kerana rembesan tarbiyah dirinya cukup menjadikan orang sekelilingnya merasa tenang bersamanya.

Kita sedar akan realiti. Gerakan tidak mampu melahirkan ahli sesempurna itu. Namun, suatu sistem atau strategi harus dikemaskini kembali supaya matlamat adalah mengarah kepada kualiti ahli yang disebutkan di atas. Barulah gerakan Islam mampu ’menggegarkan’ musuh-musuh yang selama ini memandang enteng dan sebelah mata. -mahasiswakini-

Read more...

Sunday, February 7, 2010

Muslim tanpa semangat dakwah, jihad tiada jati diri

Mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan termasuk perjuangan menegakkan agama Allah. Umat Islam yang tidak pernah memperjuangkan agama hidup dalam keadaan sia-sia, Seorang Muslim yang tidak memiliki semangat dakwah dan jihad bagi memperjuangkan agama, sebenarnya sedang mengalami krisis jati diri dan identiti Muslimnya. Untuk apa semua yang diusahakan, harta dikumpul, ilmu dikuasai, jawatan direbut dan dunia yang berhasil digenggam jika tidak dimanfaatkan untuk agama Allah? 

Seandainya seseorang sudah memiliki segala-galanya kemudian tiba-tiba dia mati tanpa memperjuangkan agama, maka alangkah sedikit bekal dan payahnya kehidupan yang mesti dilalui selepas mati kelak. Sia-sia saja visi dan misi hidupnya di dunia. Saat itu sedarlah ia yang kembali miskin seorang diri di alam barzakh.
Sesungguhnya kejayaan yang hakiki bermula daripada satu niat meninggikan kalimah Allah. Sedangkan apa yang diusahakannya selama ini untuk dunia semata-mata demi kepuasan nafsu belaka.

Kebangkitan Islam sering diperkatakan tetapi realitinya generasi Islam kini sudah mengalami serangan duniawi yang sedikit sebanyak mempengaruhi kejiwaan, pemikiran dan sikap mereka. Mentaliti Muslim yang hilang semangat memperjuangkan agama semakin parah di tengah-tengah umat. Tidak kira golongan mana pun, jika umat meninggalkan dakwah dan jihad di jalan Allah, maka tunggu kehancuran seperti ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Wahai orang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih suka dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan Dia menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Taubah, ayat 38-39)

Melalui ayat itu, Allah menyatakan punca hilang semangat dakwah dan jihad iaitu kerana manusia terlalu cintakan kehidupan dunia. Bahkan jika boleh, agama pun akan dijual, saudara sesama Muslim dianiaya, jatuh-menjatuhkan, aib- mengaibkan untuk mendapat apa diinginkan oleh hawa nafsu. Jika kejahatan bermaharajalela tetapi semangat dakwah dan jihad semakin kendur tidak mustahil kehancuran umat akan terjadi. Dakwah dan jihad adalah benteng paling kukuh untuk melindungi umat daripada serangan musuh. Sepatutnya ia menjadi idealisme yang wajib ditanam dalam jiwa seluruh generasi Muslim.

Sayangnya, dakwah Islam dan semangat jihad hanya dimiliki golongan tertentu yang berkopiah dan berserban, di masjid dan surau. Itupun jika tepat ruang yang disalurkan. Sedangkan golongan profesional, pemikir, penggubal dasar, penggerak politik, budayawan, seniman, ahli sukan, saintis, peniaga, pendidik Muslim, mereka agak kurang bersemangat mengenai hakikat dakwah dan jihad.

Peranan ulama diharapkan boleh membuka ruang kepada mereka untuk memahami Islam, mencintai dan merasa terpanggil memperjuangkan agama menurut kapasiti ilmu dan kekuatan dimiliki. Umat Islam mesti kembali menanamkan idealisme tegakkan dakwah dan jihad dalam kehidupan. Hapuskan kesilapan lalu dan bertaubat daripada kejahatan nafsu duniawi yang menipu. Kerja dakwah serta strategi jihad mesti disesuaikan dengan situasi dan realiti masyarakat sekarang. 

Media memainkan peranan penting sebagai penyampai kebenaran, hiburan dan seni juga menjadi pilihan orang yang mahukan kelainan dalam sentuhan dakwah, alam maya dalam sistem teknologi maklumat tercanggih yang semakin digilai manusia menjadi alternatif menyampaikan keindahan Islam. Ulama tidak ketinggalan mengkaji pendekatan dan pengurusan dakwah yang sesuai untuk manusia pada zaman siber. Pendekatan fleksibel, mendidik sebelum menghukum, mendengar suara umat dan mengkaji perubahan zaman sebelum memutuskan fatwa diharap membawa kemajuan adalah tugas ulama yang amanah.

Ulama berdiri sebagai pembimbing jalan, pemberi jawapan atas setiap persoalan, doktor yang menyembuh penyakit jiwa masyarakat dan penyampai keindahan Islam yang membangkitkan umatnya supaya mencintai agama. Ulama memerlukan pendedahan ilmu dan wawasan yang lebih global dengan bermuzakarah antara ulama sedunia untuk mempertingkatkan keupayaan dalam mendampingi umat ke jalan yang diredai Allah.
Sesungguhnya dakwah dan jihad adalah panggilan jiwa insan yang mencintai sunnah Rasulullah SAW. Wasiat Baginda SAW sentiasa menjadi ingatan di hati yang bermaksud:

“Sesiapa yang membenci sunnahku bukan termasuk golonganku.” (Hadis Muttafaq Alaih)
Dakwah dan jihad juga adalah kerjaya nabi dan rasul yang diabadikan dalam al-Quran sebagai jalan hidup terbaik di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman. Wahai orang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah seperti Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut yang setia itu berkata: Kamilah penolong agama Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan lain kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang beriman terhadap musuh mereka, lalu mereka menjadi orang yang menang.” (Surah al-Shaff, ayat 11-14)

Seseorang yang bergiat dalam kerja dakwah pasti menghadapi ujian yang boleh mengancam langkahnya. Ujian yang dipikul bersesuaian dengan tahap keimanan masing-masing. Kadangkala hanya dengan sifat diri yang kurang sabar seseorang boleh terjatuh dan tidak dapat bangkit lagi, walaupun ramai di hadapannya orang yang lebih berat lagi menerima penyeksaan dalam mengharungi medan dakwah dan jihad.

Hanya orang terpilih yang tegak berdiri menunggu keputusan Allah, apakah dia layak menerima pertolongan Allah atau tidak, semuanya bergantung niat dalam hati. Siapakah yang reda dengan hinaan dan cacian, fitnah, kebencian bahkan ancaman bunuh diterima kerana menegakkan agama?

Hanya orang yang tegar dan yakin dengan kuasa Allah mampu menghadapi kesusahan di jalan-Nya. Biarlah air mata yang ditumpahkan atas jalan Allah sebagai pemadam api neraka yang menyala dan hati terluka, jasad teraniaya semua itu sebagai bukti kecintaan hamba kepada Allah. Bahkan jika tiada menemui gangguan di jalan dakwah, seseorang patut berwaspada mungkin dia tersalah jalan kerana jalan dakwah itu dapat dikenal melalui seksaan dan tangisannya.

Suatu hari Rasulullah SAW melepas pemergian Muaz Jabal ke Yaman untuk menyebarkan Islam di sana. Rasulullah SAW melihat Muaz menangis. Muaz berkata: “Wahai Rasulullah, aku menangis kerana akan berpisah denganmu. Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu bersedih kerana kesedihan itu daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah (takut) kepada Allah di mana pun kamu berada. Ikutilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya dan berbuat baiklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Suatu hari Khabbab al-Art menghadap Rasulullah SAW dan mengadukan seksaan yang dideritainya dan sahabat. Rasulullah SAW menghibur Khabbab sambil bersabda yang bermaksud:
“Orang sebelum kalian digali sebuah lubang di atas tanah dan mereka dimasukkan ke dalamnya. Selepas itu diambil gergaji dan diletakkan ke atas kepalanya sehingga jasadnya terbelah dua. Namun hal itu tidak menggoyahkan agamanya. Ada juga yang disikat dengan sikat besi sehingga terlepas daging daripada tulangnya. Tetapi seksaan itu tidak sedikitpun menggoncangkan agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hanya hamba Allah yang berkualiti iman dan amalnya sanggup melangkah di jalan dakwah. Mereka orang terpilih daripada kalangan nabi dan rasul, syuhada dan salihin. Dakwah dan jihad adalah harta warisan paling bernilai ditinggalkan mereka hingga akhir zaman untuk generasi Islam berikutnya.
Tajdid Iman:
- Dr Juanda jaya

Read more...

Friday, February 5, 2010

Mahasiswa Beriman Lahir Pemimpin Pendakwah

Pendekatan agama terap unsur takwa, didik generasi muda lebih berkeyakinan hadapi masa depan.

SUATU perkara yang tidak mungkin dinafikan adalah kemakmuran dan kejayaan yang dinikmati oleh generasi sekarang adalah hasil usaha generasi sebelum ini. Pemimpin yang menerajui negara dan memimpin bangsa pada hari ini adalah golongan mahasiswa yang aktif pada masa dulu. Oleh itu, kita mempunyai slogan yang menyatakan bahawa pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan.

Corak perjalanan sesebuah generasi ditentukan oleh sahsiah pemimpin. Nabi Muhammad SAW yang mendapat bimbingan langsung dari Allah SWT seperti dalam sabdanya: “Addabani rabbi fa ahsana ta’dibi” atau “Tuhanku telah mendidik aku dengan sebaik-baik didikan” melahirkan generasi yang sebaik-baik generasi, iaitu generasi sahabat.

Generasi sahabat pula melahirkan generasi tabi’in, diikuti pula oleh generasi tabi’ tabi’in. Generasi yang berikut adalah hasil didikan generasi sebelum itu. Pemimpin sekarang adalah mahasiswa yang menghidupkan kampus pada masa lalu dengan pelbagai aktiviti. Mereka juga adalah mahasiswa dulu yang menjadi penggerak keintelektualan dan kokurikulum dalam dan luar kampus masing-masing.

Dahulu di Universiti Brunei Darussalam (UBD), satu dialog antarabangsa diadakan antara mahasiswa UBD dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dialog bertemakan peranan mahasiswa dalam dakwah pada era globalisasi bertujuan memperkukuhkan perhubungan antara kedua-dua universiti.

Selain itu, dialog itu bertujuan mendedahkan apa yang patut dilakukan oleh mahasiswa apabila berdepan situasi dakwah pada era yang sangat mencabar sekarang dengan dakwah menjelma mengikut perkembangan semasa, termasuk penggunaan teknologi maklumat. Tidak cukup dengan berucap, dakwah mesti dilaksanakan secara cerdas dan dinamik untuk menghadapi kemajuan sains dan teknologi. Sehubungan itu, pemimpin umat dan pendakwah mesti mengubah taktik agar hidayah Allah sampai kepada umat manusia.

Jika selama ini, kita mengandaikan bahawa da’wah billisan (dakwah dengan lisan), sekarang kita mesti melakukan da’wah bilqalam (dakwah menggunakan pena) dan da’wah bilhal (dakwah secara konteks). Selama ini, pendakwah terpaku pada dakwah yang menggunakan lisan, iaitu pengertian dakwah terbatas kepada ceramah dan pengajian. Kaedah ini tidak salah, tetapi perlu diperluas menjadi dakwah bilqalam dan dakwah bilhal.

Dakwah bilqalam adalah dakwah melalui media massa yang ketika ini sangat berkesan dan mencabar. Jika pendakwah tidak sanggup mengisi media massa, sama ada cetak atau elektronik, media massa akan diisi fahaman lain, hedonisme dan materialisme. Akibatnya, umat bukan dididik dengan lebih baik secara spiritual, tetapi selera dan nafsu duniawi semakin meningkat. Lebih mencabar adalah dakwah secara konteks (da’wah bilhal) ketika umat sekarang menghadapi serangan krisis, sama ada ekonomi, budaya, ideologi yang keadaan ini boleh dikatakan krisis pelbagai dimensi.

UBD yang dalam proses pengantarabangsaan sangat mengalu-alukan program begini. Bahkan dalam hal ehwal keagamaan, UBD merancang menubuhkan unit khas keagamaan seperti yang diperkatakan oleh pemangku Naib Canselor, Dr Junaidi Abd Rahman ketika acara korban UBD yang lepas. Unit ini perlu ditubuhkan untuk menjadi penggerak aktiviti keagamaan. Waktu dialog antarabangsa mahasiswa itu diadakan adalah unik kerana ketika ini, orang sibuk membuat penilaian akhir tahun dan menghadapi tahun baru. Ketika orang bersiap untuk menghadapi perayaan awal tahun, segelintir mahasiswa mengadakan dialog mengenai dakwah yang menunjukkan bahawa mereka termasuk orang yang memerhatikan keadaan umat sekarang.

Kelompok yang dikatakan Nabi Muhammad SAW sebagai sesiapa yang tidak memerhati umat maka ia tidak termasuk dalam golongan umat itu. Kelompok mahasiswa berkenaan seperti tujuh pemuda yang lari dari kehidupan yang penuh hiruk-pikuk pada zaman Raja Decius yang zalim dan sombong. Mereka melarikan diri ke gua untuk beribadat kepada Allah SWT sambil berdoa semoga mereka selamat dan diberi hidayah petunjuk-Nya.

Rabbana Atina min ladunkan rahmatan wa hayyi’ lana min amrina rasyada,” demikian doa mereka yang bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” 
(Surah al-Kahfi: 10).

Mahasiswa beriman menyedari bahawa kehidupan generasi sekarang berada pada zaman pancaroba yang tidak boleh dielakkan lagi. Oleh itu, mereka berharap terhadap generasi akan datang yang akan menjadi pemimpin menjadi lebih baiki seperti yang digambarkan dalam doa pemuda di atas.

Mereka dengan petunjuk Ilahi telah dipersiapkan untuk menjadi generasi akan datang yang ketika itu tidak akan menghadapi keadaan seperti sekarang. Oleh itu, benarlah apa yang dikatakan Amirul Mukminin, Umar ibn al-Khattab bahawa kita mesti mendidik dan mengajar anak dengan keadaan yang akan mereka hadapi dan bukan dengan apa yang kita hadapi sekarang. Kehidupan masa datang berbeza dengan kehidupan sekarang. Jika anak dididik dan diajar dengan didikan dan ajaran sekarang, dikhuatiri mereka tidak sanggup menghadapi cabaran masa depan.

Oleh itu, bagi menghadapi tahun baru usaha mesti dilakukan oleh umat Islam supaya tidak termasuk dalam golongan yang rugi dalam mengharungi kehidupan yang penuh warni-warni. Antara usaha yang patut dilakukan umat pada hari ini adalah bertaubat. Sebenarnya kehidupan seorang Islam yang menuju ke jalan Allah bermula dengan taubat. Tiada sesuatu darjat yang mendahului taubat dan taubat mestilah taubat nasuha yang suci sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang nasuha.” (Surah al-Tahrim: 8)

Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyad al-Salihin, membincangkan mengenai syarat taubat nasuha. Beliau menulis:
Taubat dari segala dosa itu adalah wajib hukumnya.
Jika maksiat itu adalah antara hamba dengan Tuhan, iaitu tidak berkaitan orang lain; ada tiga syarat untuk membuang maksiat daripada dirinya, iaitu menghentikan maksiat, dukacita atau menyesal terhadap perbuatan maksiat yang dilakukan dan berjanji tidak akan kembali kepada maksiat itu lagi. Jika seseorang yang bertaubat tidak memenuhi syarat berkenaan, maka taubatnya tidak sempurna.

Bagaimanapun apabila maksiat itu berkaitan hak orang lain, syarat kesempurnaan taubat adalah empat. Selain tiga syarat di atas, dia perlu membersihkan dirinya dari hak orang itu. Ini bermaksud jika hak itu adalah harta benda atau sebagainya, dia perlu mengembalikannya kepada tuannya.

Jika hak itu adalah tuduhan yang hukumnya dengan hadd atau sebagainya, dia hendaklah menyerahkan dirinya untuk dihukum atau meminta maaf daripada orang yang mempunyai hadd itu. Jika hak itu adalah caci maki atau umpat, maka hendaklah meminta maaf daripada orang yang mempunyai hak itu. ‘Islam’ tulisan bebas Syeikh al-Azhar, Abdul Halim Mahmud, “sangat menganjurkan penganutnya bertaubat sebanyak-banyaknya, kerana taubat adalah anak tangga pertama bagi orang yang ingin mendaki tingkatan mulia kepada Allah Taala.

Taubat dari segala dosa juga adalah wajib kerana akan mengikis segala dosa sebelum ini. Ia akan meletakkan seseorang yang bertaubat setelah menyempurnakannya dengan baik pada tempat yang bersih, suci dan bebas dari dosa. (al-Isra’ wa al-Mi’raj)
Allah Ta’ala berfirman supaya manusia selalu taubat yang bermaksud:
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)

Allah juga membuka pintu taubat nasuha dengan seluas-luasnya dalam firman-Nya yang menggambarkan rahmat dan belas kasih yang maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar: 53)

Dalam hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu sekalian melakukan dosa setiap malam dan siang, dan Akulah Tuhan yang mengampunkan segenap dosa, maka mohonlah pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku mengampunkan kamu sekalian.”
Bertaubat adalah cara membersihkan diri dari kotoran. Islam mengajar kita supaya sentiasa berlindung kepada Allah SWT dengan bertaubat ketika melakukan sesuatu pekerjaan yang berguna seperti berniaga, akad nikah, membina rumah dan ketika perjalanan. Ini bermakna bertaubat boleh diterapkan untuk memulakan tahun baru.

Taubat membolehkan hati bersih dan segala masalah juga akan menjadi bersih. Hati yang bersih juga menghakis kekotoran hidup seseorang. Hati seperti dikatakan tokoh tasawuf, Imam al-Qusyairi, adalah tempat duduk segala makrifat dan ia adalah segumpal daging yang sangat berpengaruh.

Jika hati terpelihara, seluruh anggota akan turut terpelihara. Hati juga adalah tempat musyahadah, iaitui melihat sesuatu dengan mata hati. Adakah kita akan bertaubat apabila meninggalkan 2009 dan memasuki tahun baru, 2010? Insya Allah.

INTI PATI
- Persediaan mahasiswa dalam memainkan peranan sebagai pendakwah pada era globalisasi.
- Penggunaan teknologi maklumat dalam berdakwah mengikut perkembangan semasa.
- Pendekatan dakwah melalui media massa perlu diperluaskan bagi memberi lebih keberkesanan.
- Umat perlu bertaubat dalam menghadapi bagi menghadapi tahun baru supaya tidak termasuk dalam golongan yang rugi dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar.

Ulul Albab:
Oleh Abdurrahman Haqqi

Read more...

Wednesday, February 3, 2010

Mahasiswa JUARA!!

Ketandusan demokrasi dalam setiap elemen kehidupan kian parah pada hari ini.Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup praktikal dalam amalan demokrasi beparlimen,dari sekecil-sekecil benda sehinggalah sebesar-besar perkara,semuanya mempunyai undang-undang dan peraturannya yang sendiri.

Menyentuh sejenak atas kekalahan yang telah menimpa PRO-M dalam PRK UM baru-baru ini,amat memeranjatkan seluruh warga kampus yang menyokong penuh kepimpinan PRO-M diteruskan dan membawa agenda perubahan yang cukup realistik untuk digapai.MPPUM yang sempat dirasai calon-calon PRO-M pada sessi 08/09 yang lepas,seolah-olah kiraan sedetik sahaja ianya telah dirampas oleh Penggerak Mahasiswa.

Persoalannya,

Apakah kiranya yang berlaku ini satu ujian dan cabaran buat pendokong PRO-M secara keseluruhannya sebagai tanda amaran dan peringatan yang cukup keras oleh Allah kepada kita semua?.Kita cukup yakin pembawaan kita dalam varsiti UM ini untuk memastikan gelombang sinar islam itu tersebar dan dirasai oleh seluruh agama,bangsa dan negara sekaligus membentuk perpaduan dalam masyarakat majmuk,tanpa menganaktirikan agama dan bangsa yang lain.

Bagi saya,usah kita runsingkan kepala dengan kekalahan ini.Apa yang paling penting adalah,walaupun PRO-M UM kalah ditangan Penggerak Mahasiswa,tetapi secara kasarnya kita masih juara apabila kita masih mampu mempertahankan kerusi-kerusi umum yang dipertandingkan lalu membolot 8/9 kerusi umum.Kita jujur,telus dan senantiasa berdisiplin dalam medan perjuangan meruntuhkan kebatilan dan menegakkan hak hari ini.

Ya...

Diatas kertas...kita membenarkan Penggerak Mahasiswa menang dan juara dengan 21 kerusi secara sendirinya...TETAPI,di medan juang yang sebenar, PRO-M lah juara dan memenangi PRK UM sessi 09/10 ini sekaligus mampu mengekalkan takhta MPPUM untuk kali ini.Siapa kita untuk melawan HEP yang didalamnya TNC HEP sebagai ketuanya serta konco-konco yang rakus ingin menjaga periuk nasi sendiri sehingga membenarkan anak-anaknya dinodai dengan sistem yang bangsat 100% menolak demokrasi kampus dalam PRK UM sesi ini.

Juara itu adalah orang yang adil,jujur,amanah dan senantiasa mengutamakan kebenaran lebih dari hak dan periuk nasi diri sendiri dalam kehidupan mereka.Siapa bilang kuasa mahasiswa itu lemah dan bisa dipijak-pijak kerana keterikatannya dengan AUKU 1971 yang korup lagi menipu mahasiswa yang cerdik hari ini.Jika hari ini mahasiswa mengamuk,maka hancur leburlah,generasi anak muda yang negara harapkan dimasa akan datang.

Islam itu tetap akan tertegak walau PRO-M kalah.Usah bermain dengan rasa,perasaan dan nafsu wahai seluruh pendokong PRO-M sekalian.ayuh tiupkan semboyan raksasa,persiapkan maleteri-maleteri kita semua untuk mengumpul seluruh tenaga dan semangat untuk bangkit dan bersedia semula untuk PRK yang seterusnya.

Hari ini hari mereka,teruskan perjuangan menuntut hak dan keadilan sehingga keputusan bantahan diumumkan sedikit masa lagi.Lakukan post-mortem apa yang telah terjadi.perkuatkan tarbiyah diri,tingkatkan pengurusan dan luhurkan niat dan budimu sejajar dengan visi dan misi jentera-jenteramu.

Ayuh PRO-M!!!!....Kalian adalah juara dalam PRK UM kali ini..
Oleh:
Mohd Sabri Jamaludin
Pendokong PRO-M UM...

Read more...

Monday, February 1, 2010

Keputusan Beku Tanpa Ais!

Maafkan saya untuk entry kali ini, sebarang kronologi berkaitan dengan PRK UM pada 28 januari baru-baru ini bolehlah dirujuk dalam mahasiswakini atau blog promahasiswaum. Saya tidak dapat menceritakan satu persatu atas sebab-sebab tertentu.
Bantahan..
Apapun, di sini saya ingin berkongsi bagaimana pahit jerih mahasiswa yang inginkn kebenaran dan keadilan ditegakkan di dalam kampus sebesar ini. Selesai pengumuman undian oleh ayahanda Naib canselor Khamis lalu, kami diberi peluang untuk membuat bantahan memandangkan banyak perkara yang berlaku sepanjang kempen dilihat sangat tidak adil pada pihak kami.
Bantahan demi bantahan di buat dengan pelbagai bukti yang dikemukakan seperti gambar-gambar, saksi, rakaman video dan sebagainya. Apa yang menyedihkan, semua bantahan yang dibuat ditolak mentah-mentah.
Sehingga jam 10 malam keputusan masih lagi tidak diputuskan. Kononnya penggunaan e-Voting ini akan mempercepatkan keputusan diketahui umum tetapi nyata kenyataan ini sudah lagi tidak valid untuk digunakan. Malah keputusan diminta tangguh pada keesokan harinya. Tetapi apa yang menghairankan, sudah ada media yang menggempar gempurkan akan kemenangan pihak tertentu sedangkan kami tidak pula mendapat sebarang keputusan daripada  mana-mana pihak. Pelik! Mahasiswa mula bangkit supaya tidak terus menerus di tipu!
Rayuan..
Keesokan hari, Jumaat 29 januari 2010 kami mula berkumpul di depan DTC menanti apakah keputusan yang bakal dikeluarkan. Sementara pada jam 10 pagi, rayuan masih dibuka memandangkan semua bukti-bukti bantahan kami ditolak. Menyedihkan lagi apabila setiap dari rayuan itu kami perlu bayar RM 50 untuk 1 rayuan, kilang buat duit kami pun bangkrap, tak tahu nak buat duit kat mana dah..

Penantian kami sehingga hampir jam 11.30 pagi nyata hampa tanpa sebarang berita. Kedengaran di corong-corong telinga kami yang TNC pula telah keluar ikut pintu belakang sangat menyakitkan dan kami menempelak tindakan beliau.
Rapat Umum..
Jam 12 tengah hari rapat umum telah diadakan. Mahasiswa yang berada di perkarangan DTC mula meyusun langkah naik ke canselori untuk bertemu sendiri dengan NC dan TNC. Pelbagai laungan protes yang dikeluarkan oleh mahasiswa. Mereka mendesak agar NC dan TNC turun untuk bertemu sendiri dengan mahasiswa dan member kenyataan berhubung dengan pelbagai kes yang berlaku sepanjang PRK berlangsung.

 

 

Kelihatan Pegawai keselamatan juga sudah tidak dapat berbuat apa-apa apabila mahasiswa mula bangkit bersuara dan mara menyusun langkah menuntut keadilan mereka. Desakan demi desakan yang dibuat oleh mahasiswa menyebabkkan ayahanda NC dan TNC turun juga bertemu kami untuk memberi  penerangan mengenai keputusan PRK dan beberapa insiden yang dirasakan memerlukan penjelasan dari mulut TNC sendiri.
Rundingan & Resolusi..
Ayahanda NC meminta 10 orang wakil pelajar untuk berbincang dan berunding. Hampir 4 jam rundingan, yang mana disambung semula selepas solat Jumaat telah membawa kepada  beberapa resolusi. Antaranya ialah :-
1)      Ayahanda NC membenarkan 1 konsultan di bawa masuk untuk check semula system e-Voting yang dibuat oleh PTM.

2)      NC bersetuju untuk membuat siasatan atas TNC  dan pihak-pihak tertentu mengenai beberapa penyelewengan (RM 5000 dan Hotel Quality) serta sekatan-sekatan yang dilakukan terhadapa beberapa calon Pro-mahasiswa.

3)      Keputusan pada hari Khamis yang lepas dibekukan dan ditangguhkan sehingga selesai siasatan dilakukan. Sebarang kenyataan media mengenai kemenangan pihak-pihak tertentu adalah tidak valid!
Perarakan Aman..
Sekitar jam 5 petang, mahasiswa mengadakan sekali lagi rapat umum di perkarangan DTC dengan laungan semangat dan mereka mengadakan perarakan aman sekitar UM dengan laungan STUDENT POWER!!
 

Antara lain yang kita perolehi dalam rundingan ini ialah sama ada keputusan yang adil dan bersih diterima, tidak kira menang atau kalah atau kita akan mengadakan PRK semula, dan Ayahanda NC juga menerima candangan kita supaya pembuangan undi dilakukan di fakulti masing-masing tidak lagi di kolej kediaman.
Selain cerita sensasi ni, ada yang lebih sensasi apabila ada satu kumpulan yang ikut berkumpul bersama kami. Kami tahu niat mereka adalah untuk mendengar apakah keputusan yang bakal keluar hari ini tapi lain pula jadinya bila mereka ikut serta nak berbalah mulut dengan kami. Ada yang main-main dengan menangkap gambar muslimat kami. Apa pemimpin seumpama inikah yang kita mahukan? Dengan tidak rasa malu datang ke kelompok muslimat, tangkap-tangkap gambar dan sebagainya. Maaf saya katakan, saya sangat jelek melihat perangai mereka ketika itu.
Nasihat saya, apabila kita tidak tahu menahu akan apa  yang berlaku, eloklah bertanya dan jangan sampai memalukan diri sendiri. Kami tidak melawan mana-mana pihak tapi kami melawan sistem yang dilaksanakn. Petang tu bila Kami berarak secara aman, mereka setia menanti kami pulang. Bagus juga tu, tapi kalau ikut serta sekali lagi bagus.. Setakat hari Jumaat lalu, inilah yang berlaku. Detail lagi boleh lihat you tube ^_^..
Kami ragu sistem! Kami juga ragu akan pelaksana!
STUDENT POWER!!

Read more...

Aku Wanita....