Tuesday, December 29, 2009

.: Sesekali Diuji :.


Apa jua bala bencana singgah menerpa
Menguji jauh mananya sabar kita
Mungkin selama ini kita terlupa
Kita terlalu leka dengan nikmat kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa
Bila kesusahan
Terasa hidup terlalu payah
Berbagai persoalan menerjah
Baru minta petunjuk hidayah
Usah berputus asa
Kerana ada rahmat disebaliknya
Yang tidak kita ketahui
Dalam hidup ini
Teruslah berdoa
Pada Allah
Pengasih…Pemurah dan Penyayang
Kita terlalu leka dengan nikmat…kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa
~ NICE ~

** Selamat Tahun baru dan azam baru kepada semua. Mungkin ini perkataan yang sering kita dengar saban tahun, namun inilah tekad hati kita yang perlu ditanam dalam diri tiap insan. Semangat baru harus dipupuk dan desakan kepada perubahan diri kepada yang lebih baik adalah sangat penting. Oleh itu, marilah sama2 kita memulakan langkah baru dan mengenepikan segala perasaan2 lama yang kadangkala menjatuhkan kita. 

Lawan perasaan yang negatif dan kumpulkan kembali cas2 positif ke dalam hati agar ia akan meresap ke seluruh tubuh badan kita. Tak ada hadiah yang istimewa, jadi saya hadiahkan satu lagu buat tatapan semua. Mudah mudahan, isinya menjadi manfaat buat kita semua...
Salam Jihad!! 

Read more...

Thursday, December 10, 2009

Kematangan Dalam Diri


Kematangan berkait rapat dengan peningkatan umur. Sekurang-kurangnya itulah yang meresap dalam pemikiran dan norma masyarakat. Seolah-olah tidak dapat dipisahkan antara keduanya, sehingga suatu tahap ia menutup pintu bagi generasi baru untuk mencapai sesuatu lebih awal dari umurnya. Mungkin benar bahawa kematangan itu dibentuk oleh masa dan pengalaman yang dilalui, semakin lama, semakin berkembang dan bertambah baik, namun perlu jelas bahawa kematangan merupakan suatu anugerah dari Allah ke atas setiap anak Adam, bagi setiap orang itu berbeza begitu juga bagi satu-satu generasi.  
 
Secara idealnya, satu-satu generasi memerlukan kematangannya secara umum berkembang dengan kemas dan pesat. Ini perlu bagi memastikan tampuk kepimpinan yang ada sudah mempunyai generasi pewaris yang berkemampuan samada lebih baik atau setaraf dengan apa yang ada kini. Di sinilah dapat kita kaitkan unsur kematangan itu dengan matlamat dan cita-cita kita dalam kehidupan. Seandainya kepimpinan sekarang mahukan suatu kejayaan yang lebih hebat lagi, dengan penuh ikhlas ia mengharapkan suatu kemajuan dan perkembangan demi Allah dan RasulNya pada generasi dan umat yang akan datang, maka kita akan melihat mereka bertungkus lumus memberi perhatian yang sewajarnya untuk mendidik generasi di bawah mereka. Itulah yang dapat kita lihat pada Rasulullah s.a.w yang bersungguh-sungguh mendidik para sahabat agar mereka mampu menyambung tugas dakwah kepada Allah s.w.t. sebaik pemergiannya kepada Ilahi.         
Antara faktor yang akan banyak membina kematangan adalah ilmu dan penghayatan terhadapnya.Tidak dapat disangkal lagi betapa ilmu mampu membina manusia dari kemunduran kepada tamadun yang besar dan gah. Ini telah ita saksikan terhadap kemajuan umat Islam pada zaman Abbasiyah dan Uthmaniyyah bahkan juga terhadap ketamadunan barat yang banyak mencedok ilmu-ilmu dari tamadun islam. Dari kegelapan kepada cahaya. Di sinilah pentingnya kita menilai erti ilmu melalui penghayatan. Tiada guna ilmu yang dikendong andai tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Ilmu akan membentuk pemikiran manusia, sedikit demi sedikit ia akan memberikan manusia pengajaran yang berguna. Tapi ini semua hanya bila ia dihayati dan diterjemah dalam realiti. Dengan ilmu, kematangan mampu di arah dan ditolak perkembangannya melebihi mereka yang tidak berilmu, hanya mengharap masa membentuk mereka.
 
Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, perkembangan pemikiran seseorang kini bergantung banyak kepada kesediaan dan pertimbangan dalam menghadapi sesuatu perkara. Memang praktikalnya, kita hanya akan memahami atau mengenali sesuatu perkara bilamana kita melaluinya. Apa sahaja masalah yang melanda merupakan ruang untuk kita memperbaiki diri kita. Sebab itu ia merupakan suatu rahmat bagi orang-orang mukmin tatkala ditimpa musibah, Dalam hadis Nabi s.a.w., sabda baginda yang mafhumnya, “barangsiapa yang Allah mencintai kebaikan baginya, maka Allah menimpakan musibah ke atasnya” Pastinya hanya sekilas pandang dapat kita pelajari bahawa musibah yang menimpa pada kita, pasti ada kebaikan, dari aspek pertimbangan kita dan kesediaan kita dalam menghadapinya akan menunjukkan sejauh mana kita mampu menghadapinya, bagaimana kita menanggapinya. Di sinilah kematangan akan berkembang. Keputusan yang kita ambil boleh samada dipengaruhi oleh emosi dek kerana kurang matangnya kita atau kita mempertimbangkan mengikut ilmu dan pengalaman yang telah kita ada. Bagaimana kita menilai kemampuan, pilihan dan kehendak kita juga akan menunjukkan tahap kematangan kita.
 
Sekali lagi, gemar untuk ditekankan di sini betapa matlamat dan pengakhiran kita akan mempengaruhi perkembangan kematangan kita. Pemuda yang mengenali matlamat hidupnya yang benar, kecenderungan pemikirannya adalah ke arah matlamatnya itu. Sesiapa yang tidak punya matlamat yang benar dan jelas, maka tidak akan terdetik dalam dirinya untuk mencapai pembaikan dan kesempurnaan, dan jika ada, seringkali ia hanyalah hangat-hangat tahi ayam. Sebab itu dalam meletakkan cita-cita, kita perlu praktikal dan nyata. Itu juga datangnya dari pemikiran yang sedar dan matang. Anak-anak kecil akan mengimpikan sesuatu yang diluar jangkauannya, kerana dia masih anak kecil. Dia hanya mengimpikannya, khayalannya lebih kuat kerana cita-citanya tidak meletakkan apa-apa tanggungjawab ke atas bahunya. Orang bijak akan meletakkan matlamat yang besar, tapi langkahnya dan usahanya membawa kepada kejayaan dan dia komited padanya. Andai Allah tujuan dan Rasul ikutan, maka kita akan berjaya, kerana para sahabat, salafusoleh, tabi’ tabi’in semuanya telah membuktikan kepada kita dengan jalan itu.  
 
Akhirnya tibalah ruang untuk berkorban dan berusaha mencapai kematangan yang kita idamkan. Yang akan melahirkan perbuatan yang benar dan ikhlas, kata-kata yang bermanfaat dan hati yang bersih. Bagi pemuda islam, buat kita adalah pengorbanan yang amat besar, iaitu untuk melawan arus kehidupan hedonisme yang amat kuat melekat dalam jiwa pemuda. Memang banyak perkara yang perlu disisihkan. Bibit jahiliyah yang ada perlu dikikis. Kehendak-kehendak picisan al-hawa perlu ditolak dan disalurkan dengan benar. Di sini dengan usaha kita bermujahadah dengan benar dan bersabar akan membentuk kematangan kita dengan lebih baik. Dari aspek displin diri dan kesediaan bersusah-payah dapat kita bentuk.   
 
‘Ala kulli hal, ia berbalik kepada diri kita sendiri. Pintu perubahan ada di mana-mana, tidak perlu menunggu hidayah ‘melanggar’ baru nak terngadah kesilapan yang lalu. Allah telah menjanjikan kepada kita dalam ayat cintaNya yang agung bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri. Ilmu dan penghayatan akan membentuk pemikiran, menjadi asas dalam pembentukan akhlak, kesediaan dan kemampuan pertimbangan akan menjadi petunjuk kepada perkembangan kita. Matlamat kita akan menunjuk hala tuju kita, menjadi destinasi yang bermakna dan pengorbanan kitalah akan membuktikan betapa telah terdidiknya kita atau tidak.
-julaibidsinar-

Read more...

Sunday, November 22, 2009

Special Buat Semua!

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik walaupun ada yang tidak diminta terjadi namun, semua itu datangnya dari Allah Ta’ala… Semua mahasiswa sudah pun menunaikan tanggungjawab di medan peperiksaan namun masih ada medan hakiki yang belum ditunaikan dengan sebaiknya. Selayaknya seorang hamba Allah yang mengerti itu sentiasa berada di medan ujian tiap tahun, tiap bulan, tiap hari, tiap ketika malah tiap detik dan saat yang ada. Itulah kelulusan yang paling didamba selaku hamba-NYA.

Cuti sem pun dah bermula, raya haji pun dah semakin hampir… Namun, cuti2 ni jugak la banyak aktiviti2 yang menuntut mahasiswa turun ke medan, demi matlamat yang satu. Cuma agak terkilan sedikit bila ‘rehlah’ bersama sahabat2 di sini tidak bertemu jodoh ^_^ (xpe2 pasni mesti jadi).

Lepas ni, blog ni pun mungkin dah tak terusik dek kerana kat umah tak ada wireless =).. Nak keluar selalu tak boleh la, tak manis=) so, untuk entri kali ni nak buat sedikit ucapan khas untuk semua…

Terima kasih pada kak Echah Ibrahim kerana sudi ajak keluar tadi, siap belanja makan lagi..alhamdulillah kenyang perut yang dah lama tak terisi ni =)… Datang pulak abang mintak buatkan blog untuk isterinya, makin maju sekarang ni, mereka nak berniaga melalui internet pulak. Tak mengapalah, mana tahu nanti betul2 jadi usahawan kan? Amiinn….adik doakan! Teman2 pun boleh la lawati kat blog saya ni…ada link, SHAMELIN..(join jgn x join)

.:Kembara Daie(JDPI’09):.
Selamat pada sahabat2 dan akak/abg Jabatan Dakwah & Pemb.Insan yang sudah pun selamat sampai ke Sabah di Bawah Bayu petang td. Amboi2, sampai2 je terus Cik Yah YM saya menunjukkan betapa gembiranya mereka dah sampai ke sana =).. Apa pun, moga kalian Berjaya mendidik adik2 di sana…jangan memprogramkan mereka, tapi didiklah seperti yang dah kita pelajari dalam banyak2 subjek dakwah di kelas tu k…Ini la masa dan waktu untuk kalian praktikkan apa yang dah dapat kelas kita hari2…^_^ moga selamat semuanya… Yang jauh2 tu nanti jangan nangis pula sampai Semenanjung malam raya ye…;)

.:Brotherhood Muslim Camping (BRO-MC’09):.
Di doakan semuanya berjalan lancar dan mencapai matlamat untuk melahirkan mata rantai-mata rantai yang sentiasa memperjuangkan Islam di bumi Allah ini. Maafkan saya yang tidak dapat hadir untuk membantu di sana kerana kesihatan ibuku yang menuntut untuk pulang ke kampung lebih awal. Esok dah pulang ke kampung dan esok jugaklah BRO-MC bermula..

Banyak jugak yang terlepas tetapi tak mengapalah, itu juga perjuangan namanya=). Moga penggerak BRO-MC diberi kecekalan dalam mendidik/melatih peserta2 tu nanti.. jangan cepat putus asa dan perlu ingat, “Tiap kesusahan dan kesulitan itu Allah akan berikan kesenangan dan kemudahan diakhirnya nanti” namun hati kita juga perlulah berentakkan kesabaran dan bernyanyikan ingatan pada-NYA.. k, chaiyok2!!

.:Selamat Pengantin Baru!!:.
Musim2 cuti ni biasalah, pelik dan ajaib rasanya jika tidak mendapat sambutan atau undangan perkahwinan. Dari bulan 10 hari tu lagi, setiap kali ada meeting atau perjumpaan yang dibuat tentu saja ada edaran kad jemputan kahwin. Tak kurang juga sahabat2 yang ada melangsungkan pertunangan, tapi jangan lama2 ye..=) Alhamdulillah, itu satu berita yang baik dan didoakan moga dipermudahkan dalam tuntutan ibadah yang dilakukan.

Kesempatan ini dirakamkan buat Ustaz Dzulkhairi + kak Raihanah, Ustaz Halim + Kak Fakhriyyah, Ustaz Afifi + Kak Balqish dan mungkin juga ada yang kurang kenal dan tak disebut namanya..^_^ Di doakan moga kalian dikurniakan kesabaran dan tabah dalam melayari bahtera kehidupan di dunia dan semoga dipertemukan kebahagiaan juga di akhirat kelak (InsyaAllah….) Kehidupan berumah tangga ni umpama ombak dilautan…(ni pesanan dari kakak saya dulu..^_^ ) Apapun, selamat pengantin baru buat bakal2 pengantin..

.:KRISTAL’09:.
Yang ni nak ucap selamat, sambil tolong promosikan ^_^.. Alhamdulillah setelah pelbagai perbincangan dan perancangan yang dibuat awal tahun dulu, program KRISTAL dapat juga disiapkan dalam keadaan yang ‘kritikal’ juga sebab hampir dan dalam waktu exam. Program khas buat adik2 lepasan SPM, STPM, dan STAM. Buat di Kuantan, Pahang insyaAllah dan penyertaan untuk pelajar2 sekitar Kuantan tetapi jika ada yang nak hantar adik2 dia ke program ni sangat dialu2kan… datang la mengambil sebanyak mungkin manfaat dari program ini.

Semoga semua adhoc program (kampus UM terutamanya) janganlah tension2 ye..relax dan teruskan meng follow up sahabat2 kita kat kampus lain. Tidak la rasa syok sendiri rancang2 tapi ada pulak kampus yang tak jalan =)..Doakan juga, moga saya kuat! ^_^..tak tahu la lagi, yg ni pun sempat join ke tidak… tgk gaya, macam kena balik awal…..

.:Yang Belajar & Yang Bekerja:.
Pada yang baru memulakan sem baru seperti adik2 PASUM dan mungkin di mana2 berada diucapkan semoga dipermudahkan tiap2 urusan baik di kuliah, assignment, study dan exam... Pada yang bekerja, teruskan usaha anda dalam melaksanakan ibadah tersebut, moga cekal sentiasa dalam mencari rezeki. Rezeki yang sedikit tetapi ada keberkatan, insyaAllah akan ditambah Allah pada nilai dan rahmat-Nya..Yang penting kena bersabar….=)

.:Fieza & Me……:.
Ucapan paling special….untuk Fieza dan jugak ‘temannya’ (yg menulis ni la)yang akan pulang ke kampung pada esok pagi. Jalan baik2, jaga diri dan didoakan moga selamat sampai ke kampung halaman…. Perjalanan yang jauh tu nak sampai ke Jengka tercinta! ^_^

Akhirnya didoakan semuanya ceria2 selalu dan memanfaatkan tiap detik yang hadir….

Read more...

Friday, November 20, 2009

Marah ???


Bagaimanakah perasaan anda hari ini? Adakah anda rasa marah? Gembira? Murung? Kecewa? Takut? Bersalah? Tersinggung? Hormat? Bertanggungjawab? Bolehkah anda mengenalpasti dengan tepat apa yang anda rasa? Bolehkah anda cari perkataan-perkataan lain untuk mencerminkan apa yang anda rasa? Kini manusai telah cipta lebih daripada 2000 perkataan untuk menerangkan jenis-jenis perasaan yang dialaminya. Kefahaman tentang tiap-tiap perkataan mengenai perasaan iaitu emosi manusia penting untuk mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain.


CARA MENGURUS KEMARAHAN

1. Memahami apa yang mencetusnya serta manfaat jangka pendeknya.

 
Kita perlu memahami dan mengenalpasti pencetus-pencetus yang boleh jadikan kita hilang akal seperti kata-kata tertentu orang, tabiat orang, tidak bertoleransi dan sebagainya. Manfaat atau kebaikan yang boleh didapati daripada pelepasan kemarahan kita ialah mungkin seperti berikut: 

a) Saya rasa lega
b) Orang mendengar saya
c) Rasa seperti diri sebenar lepas marah
d) Jika tidak marah saya akan menangis sahaja
e) Melaui kemarahan orang tahu pendirian mereka
f) Kemarahan menghilangkan perasaan takut
g) Jika saya tak marah orang akan fikir saya lemah

Manfaat-manfaat kemarahan ini adalah jangka pendek sahaja. Sebenarnya ia boleh dicapai melalui cara lain yang lebih asertif. Melepaskan kemarahan membawa berkat yang sementara sahaja. Pada jangka panjang ia akan menjejaskan perhubungan kita. 





2. Belajar menenangkan diri dalam situasi genting.
Bila perasaan marah timbul kita boleh 

 
a) Gantinya dengan aktiviti lain seperti memandang pada benda dan bukan orang, memikir tentang apa yang kita lakukan pada hari ini atau menerangkan suasana bilik kepada diri sendiri atau membilang sampai 10.
b) Mengelakkan melalui atau meninggalkan tempat itu atau minta diri untuk berfikir
c) Menukarkan ritma otak seperti mendengar muzik atau lakukan senaman
d) Guna teknik relaks seperti menarik dan menahan nafas selama 5 saat
e) Kecut dan regangkan otot selama 5 saat    
f) Urut bahagian dada dan perut
g) Ubah cara duduk dan regangkan bahu
h) Berimaginasi tentang pemandangan yang tenang atau yang neutral atau ketawa pada diri sendiri kerana situasi itu

3. Belajar cara atau strategi untuk mengelak kemarahan kelak 



a) Mengenalpasti samada kemarahan kita itu sihat atau tak sihat iaitu membina atau destruktif
b) Elak daripada menggunakan dadah atau alcohol untuk melupakan sesuatu
c) Baca dan menambahkan ilmu tentang pengurusan kemarahan
d) Bincang dengan orang lain yang berjaya menguruskan kemarahan mereka
e) Ubah kepada gaya hidup yang lebih sihat dan kurang stress
f) Sentiasa menahan dan mencabar setiap pemikiran yang membawa kemarahan
g) Sedari tentang kemarahan yang tersembunyi dalam sindiran atau perli
h) Belajar menjadi lebih asertif atau hadiri kursus untuk menambah kemahiran asertif
i) Meneliti segala punca kemarahan dari dahulu
j) Berbincang dengan kaunselor atau pakar psikologi
k) Menghadiri kursus mengurus kemarahan
Mengikut pakar psikologi marah adalah emosi sekunder. Di belakang emosi marah ini terdapat emosi primer seperti keresahan, duka, hampa, kehilangan, takut dan sebagainya yang terbit kerana sesuatu keperluan tidak diselesai atau dicapai. Sebenarnya kemarahan ini menjejaskan peluang kita untuk mencapai sesuatu keperluan itu. Bila kita dapat mengenalpasti keperluan-keperluan ini kita dapat berusaha untuk mencapainya dan dengan itu kemarahan dapat dikawal atau diurus dengan sihat. 

Emosi marah adalah satu fenomena rasional yang berlaku di otak kiri kita. Untuk mengurusnya kita perlu menggunakan kedua-dua bahagian otak, khasnya otak kanan dan bahagian lain otak berkenaan dengan emosi untuk mengecam dan sedar bila perasaan marah muncul. Dengan demikian kita dapat menangani kemarahan dengan cepat dan mengekalkan ketenangan kita.

“Angry people are those who are most afraid” -Robert Anthony-
 “Orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya” -Imam AL Ghazali-

Read more...

Aku Merinduimu ~ devotees~

Tidak dapat kugambarkan
Rindu yang lahir dari hati ini
hanya yang mampu tuk kulafazkan
Aku Merinduimu

Terasa amat jauh diri ini
Kerna kau tiada disisi
Bergenang air mataku
bila terkenangkan wajahmu

Ayah ibu
Dari jauh kupohon restu
Doamu titian kejayaanku
Nasihat darimu kuingat selalu
Tersemat di kalbu

Oh Tuhan
Berkatilah ku dalam mencari ilmu
Dengan RedhaMu
Moga kujejaki tempat yang dituju

Moga ibuku sentiasa diberi kesihatan yang berpanjangan...
Moga abangku juga sembuh dari keadaannya...
Ibu Ayah, nantikan kepulanganku ke sana....

Read more...

Kisah Cinta....

Alhamdulillah exam sudah pun selesai pada hari semalam, penantian kepada keputusan sangat membimbangkan. Apa pun semoga semua bakal memperoleh kejayaan yang cemerlang pada sem ini dan seterusnya. 

Entri kali ni berkisarkan tentang kehidupan keluarga yang bahagia mengemudi pelayaran di muka bumi sebelum dijemput ke alam hakiki. Kisah ini saya ambil dari laman kepunyaan seorang sahabat,sangat tertarik dengan kisah ceritanya dan rugi rasanya jika tidak dikongsi bersama. Moga2 dapat menjadi ingatan bagi sesiapa yang dah terbaca sebelum ni dan menjadi pedoman buat kita semua..

Ceritanya begini…

Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Sisuami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah.

Waktu zohor masuk,abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam. Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu’ dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku’ apabila imam ruku’. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah. .. adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk… ustazah yang meliha terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH..

Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.

Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu.Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu’. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu’ di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir. Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah).

Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi(yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.
Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, “Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa…”. Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan. 



Subhanallah. .. bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya? Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki…

Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman… cuba kita tanya diri kita sendiri…
Berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga ???


Berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yangpandai solat masbuk???
Berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik-adik mereka ???

Berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa ???

Subhanallah. .. Alhamdulillah. .. moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua…

Read more...

Wednesday, November 18, 2009

Di Mana Cantiknya Seorang Wanita?


Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja. Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak. Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.

Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan. Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu. Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam. Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah. 





Anda ingin lebih cantik dan menarik??

# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.

# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.

# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.

# Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.

# Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.

# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.

# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".

# Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.

*petikan dari e-mel yg dikirimkan oleh seorg sahabat to iluvislam.

Read more...

Suara Siswa VS Suara Skype

Alhamdulillah...puas berdoa untuk adik kami sorang ni. Saya bersama beberapa orang rakan (1 kereta) telah bertolak ke angkasapuri pada malam tadi (Selasa) untuk lintas langsung Suara Siswa yang berlangsung selama 1 jam dan ditayangkan di saluran biasa iaitu RTM 1.

Tak ada apa yang nak saya kongsikan di sini sebab saya dengar pun, dah ramai sangat yang komen kat Face Book (FB), mungkin di blog masing2, Friendster dan sebagainya. Jadi apa yang dapat saya simpulkan di sini cuma sedikit perkongsian foto-foto yang kurang sempurna dek kerana ramai sangat yang berebut nak bergambar ^_^ kat pentas suara siswa tu.


 Semasa menunggu di luar studio... 
(sahabat2 syahid pun baru sampai waktu ni..hm pastu terus nk brgmbar ye ^_^ )


  Sebaik saja turun pentas, Syahid dan Sufi (UMP) bertukar2 no phone

Adik2, rakan seperjuangan Syahid (sebatch)
yang hadir memberi sokongan kpd beliau..
Azlina,ruqayyah,hazwani

Akak2 ni pun menyibuk jgk nak bergambar ^_^
(tak jelas, ramai sgt org)


Baru keluar dari studio.. (Rusydan dan Syahid)
Tq Rusydan selamatkan akak dari 'denda' Izzuddin...^_^

Apa pun, diucapkan tahniah kepada Syahid, xpe dik...ini atu permulaan yang cukup baik, kalau nak kata kena improve tu, hari2 pun kita kena improve kan? bagus dah tu.
Cuma mungkin sedikit komentar dari saya sebelum melabuhkan tirai entri ni =)..

Pada saya, panel mungkin sudah bersedia dengan pelbagai lontaran soalan dan 'pekena' moderator pada mereka, namun hujjah dan perbincangan panel di pentas telah dicantas oleh beberapa gangguan (saya kira sebagai gangguan) seperti penggunaan skype dan face Book yang kelihatannya agak kerap pada kali ini.

Ini mungkin pandangan secara peribadi saya untuk suara siswa pada kali ini. Bukanlah tidak ada pandangan penonton dari FB yang diguna sebelum ini tetapi nampaknya kali ini ditambah lagi dengan panggilan yang dibuat melalui Skype. Nampak teknologi itu digunakan dengan semaksimum mungkin, namun pada saya, masa yang hanya 1jam itu sangat mengganggu perbincangan yang sepatutnya lebih didasarkan kepada suara siswa di pentas dan khalayak. Mungkin keterlaluan jika saya katakan seolah2 seperti membuang masa saja menggunakan Skype. Tak salah, tapi jangan terlalu kerap sehingga masa untuk panel sebenar mengeluarkan pandangan dan pendapat diambil begitu saja.

Perbincangan juga nampak kelesuan apabila dari awal2 lagi moderator sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan fanatik 'kenegerian' dan 'bola'. Apakah itu saja skop perbincangan yang dapat dikupas oleh seorang mahasiswa? Seorang moderator memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan arah perbincangan sesuatu forum atau diskusi. Nah! malam ini tidak nampak taring mahasiswa dalam mengemukakan hujjah dan pandangan kerana 'alik2 tang tu jgk'. Tak berkembang sangat..

Sungguhpun begitu, saya mengambil hal ini sebagai satu yang positif. Mungkin pihak penganjur ingin membuat satu perubahan baru dalam suara siswa dan tidak membelakangkan komentar2 yang pasti akan ada bertamu di laman mereka dan menimbang semula apa yang telah berlaku. Bukankah kritik membina itu lebih baik?? Mungkin dengan cara ini prestasi Suara Siswa semakin baik dan akan kembali 'berisi' pada masa2 akan datang.. mudah mudahan....sama2 kita realisasikannya ^_^

Read more...

Monday, November 16, 2009

Ku Damba Redha-MU

Bagaikan hausnya bumi gersang
Yang kering lantaran tidak disirami hujan
Begitu sepinya dan rindu hatiku
Bila cinta-Mu tidak bersemi

Berjalan aku bagai kesesatan
Di tanah Tuhan diriku ditinggalkan
Tiada teman untuk ku mengadukan
Resah hidupku ditimpa sesalan

*Aku dambakan
Dambakan cinta
Cinta sejati yang kekal selamanya
Biarpun pahit perjalanan meraihnya
Demi redha-Mu kuharungi jua

Kerana cinta lahir dari sanubari
Biarpun perit menuju cinta-Mu
Namun sedikit pun tidak menggoyah tekadku
Biar diracun dunia
Tidak kugentar tempuhnya

Rap :
Ya Allah tidak kusedari
Selama ini cinta-Mu tak pernah menyepi
Rahmat kasih sayang-Mu yang tiada bertepi
Setiap hamba-Mu tetap Kau sayangi
Biarpun banyak dosa yang menghimpit diri ini
Janji pada hamba-Mu tak pernah kau mungkiri
Maafkanlah..redhailah..

Ulang *


Aku bersaksi bahwa Kau sesungguhnya
Tuhan Yang Agung Pencipta segalanya
Tempat kubermohon dan berlindung
Dari kehinaan dan kemusnahan
Deevotes

Read more...

Sunday, November 15, 2009

Ada Apa Dalam HATI ??

Kata-kata Ibnu Qayyim :-

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT.

Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT.

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah SWT.

Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNYA.

Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNYA serta qada' dan qadarNYA juga sentiasa sabar sehingga menemuiNYA.

Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNYA dan bermohon kepadaNYA.

Sentiasa berzikir kepadaNYA adalah keikhlasan sebenar kepadaNYA............Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia, ia masih lagi tidak dapat membendung hajat hati si hamba itu.

Read more...

Saturday, November 14, 2009

:: KEPASTIAN ::

Ujian Tuhan kepada semua insan
Adalah kehidupan ini
Yang baik menjadi tuntutan
Yang buruk dijauhkan

Syurga yang dijanjikan
Bukanlah suatu khayalan
Tentang nikmat berpanjangan Ilahi

Neraka yang tercipta
Menghimpun azab derita
Tangisan kesengsaraan insan

Syurga adalah kelazatan
Terbentang buat hamba beriman
Yang kasihkan Tuhannya
Yang kasihkan Rasulnya
Yang kasih agamanya

Neraka tempat kemurkaan
Antara kedurjanaan insan
Yang lupakan Tuhannya
Yang lupakan Rasulnya
Yang lupa agamanya

Siapakah yang lebih mulia
Dari mereka yang tidak lupa
Janji Allah adalah kepastian
Dan nikmat syurga adalah indah

Read more...

Wednesday, November 11, 2009

8 Sifat Pakaian Wanita


2 hari yang lalu, usai usrah di surau kami ada berbincang mengenai pakaian wanita atau lebih sinonim dikatakan tentang aurat wanita. berbual dengan rakan-rakan dari fakulti yang berbeza menuntut untuk saya terus berfikir mengapa ?? mengapa?? dan mengapa??

Teringat pula masa TEM buat tazkirah corner sebelum exam hari tu, bila ustz Zul Amirul kata "pakai tudung ni tak wajib. Mana ada Allah suruh pakai tudung" muslimat sebelah saya tu tercengang-cengang dengar ucapan tu. Dia pandang saya, saya sengih je la.. pelik dia dengar, apasal la PMIUM tak bagi pakai tudung. Setelah mendengar penjelasan ustz Zul bahawa tutup aurat itulah wajib ke atas kita, tak kira bagaimana pakaian kita yang penting MENUTUP dan tutup juga ada batas2 lain yang mesti dijaga. Muslimat tadi pandang saya sambil mengurut dada, akhirnya kami sama-sama ketawa.

Berbalik pada perbualan kami di hadapan surau tadi. Apa yang betul-betul kena batang hidung sendiri adalah bila ditanya.. "apa pandangan akak dengan budak Akademi Pengajian Islam kat kolej ni yang pakai...masyaAllah..." soalan itu disambut dengan senyuman yang tersembunyi rasa pahit, kelat, masam dan macam-macam rasa lagi la yang penting tak ada rasa manis. Yang manis bila adik tu tanya soalan macam tu...(Moga Allah sentiasa pelihara diri dan hatinya)


Perkara ini bukan lagi perkara baru dan 'pelik' dikalangan kita semua. Ada orang di sekolah/kampus pakai tudung labuh/besar, dikampung atau di luar kadang kala tudung pun dah lesap. Berat kot nak bawak balik rumah. Tapi ada juga segelintir yang di rumah memakai dengan pakaian yang baik, namun di kampus masyaAllah! mungkin hanya menjaga nama baik keluarga maka pakaian di rumah mesti nak kena elok.


Sekarang nak salahkan siapa? bila kata mereka, mereka akan kata kita yang tak pernah sampaikan atau ajak. tapi bila kita ajak, malulah, seganlah katanya. dah? nak buat macam mana lagi?? bila tanya golongan-golongan yang kononnya menjadi penyampai pula, katanya mereka la yang salah, orang dah bagitahu tapi tak nak dengar. Kalau ini la situasinya, siapa agak2 nya yang salah lagi? masing-masing pun boleh berfikir akan kebaikan dan kedamaian yang mana lebih baik.. tutup ke buka? hm vote la!
Di sini, ada 8 sifat pakaian wanita yang diambil dari protal muslimah. Walau bagaimanapun, banyak lagi jika dilihat dari pelbagai sudut dan perspektif.


1. Pakaian itu mestilah menutup aurat.

Sabda Rasulullah S.A.W :-

Telah berkata Aisyah .a “ Sesungguhnya, Asma’binti Abu Bakar menemui Nabi saw dengan memakai busana yang nipis ” Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini , sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”
 

2. Pakaian itu tidak terlalu nipis sehingga nampak bayangan tubuh badan dari luar.

“Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah : kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta yang mereng. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga dapat dicium dari jarak yang sangat jauh

 (Riwayat Muslim)

3. Pakaian itu tidak ketat atau sempit , tetapi longgar atau selesa dipakai.Ia menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh yang menggiurkan nafsu lelaki dan ia menutup aspek kehaiwanan dari insan itu.
 
Dalam sebuah riwayat dari Abdullah bin Abi Salamah bahawa Umar Bin Khattab .a menghadiahkan kepada seseorang dengan pakaian nipis buatan Mesir Lama, kemidian berkata , “Jangan dipakaikan kepada isteri-isteri kamu!” Lalu seseorang berkata “ Ya Amirul Mukminin aku telah memakainya untuk isteriku, kemudian memutarkan badannya tetapi tidak kelihatan auratnya .” selanjutnya Umar berkata, “Memanglah auratnya tidak nampak, tetapi bentuk tubuhnya nampak”
 
4. Warna pakaian itu suram atau gelap, seperti warna hitam atau kelabu asap atau perang sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya( terutamanyya pakaian seperti jilbab atau abaya) . Menurut Ibnu Kathir di dalam tafsirnya pakaian wanita-wanita pada zaman Nabi saw ketika mereka keluar rumah berwarna hitam)


5. Pakaian itu tidak sekali-kali disemerbakkan dengan bau-bauan yang harum, demikian juga tubuh badan wanita itu, kerana bau-bauan ini ada pengaruhnya atas nafsu kelamin lelaki yang ajnabi.Perempuan yang memakai bau-bauan ketika keluar rumah sehingga lelaki mencium baunya disifatkan oleh Rasulullah saw sebagai zaniyah, yakni pelacur atau penzina.
“Wanita apabila memakai wangi-wangian , kemudian berjalan melintasi kaum lelaki maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur ”
(Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)


6. Pakaian itu tidak bertashabbuh dengan pakaian lelaki yakni tiada meniru –niru atau menyerupai pakaian lelaki
Telah berkata Ibnu Abbas : “Rasulullah saw telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki”
(Riwayat Bukhari)


7. Pakaian itu tiada bertashabbuh dengan pakaian permpuan-perempuan kafir dan musyrik


8. Pakaian itu bukanlah libasu sh-shuhrah, yakni pakaian untuk bermegah-megah , untuk menunjuk-nunjuk atau bergaya.

Read more...

Matlamat Menghalalkan Cara??

Siri 9

Sulit sekali rasanya aku akan membayangkan bagaimana mungkin kita akan mencapai tujuan mulia dengan menggunakan cara yang salah. Sungguh tujuan yang mulia tidak dapat hidup kecuali dalam hati yang mulia. Lalu bagaimana mungkin hati yang mulia itu akan sanggup menggunakan cara yang salah? Dan lebih jauh dari itu bagaimana mungkin ia menemukan cara yang salah itu?

Ketika kita akan mengharungi telaga berlumpur ketepi sana, pastilah kita akan mencapai pantai dengan berlumuran lumpur pula. Lumpur-lumpur jalanan itu meninggalkan bekas pada kaki kita, dan pada jejak kaki kita. Begitu pula kalau kita menggunakan cara hina, najis-najis itu akan menempel pada ruh kita, akan membekas pada ruh itu dan pada tujuan yang telah kita capai juga.


Sebenarnya cara dalam ukuran ruh, merupakan sebahagian dari tujuan. Dalam alam ruh, tidak ditemukan perbezaan dan pemisahan antara keduanya. Hanya perasaaan manusia sajalah yang tidak akan sanggup menggunakan cara hina untuk mencapai tujuan yang mulia. Dan dengan sendirinya pula ia akan terhindar dari teori “tujuan menghalalkan cara”.


Teori itu merupakan hikmah terbesar bangsa Barat, kerana bangsa Barat itu hidup dengan akalnya, dan dalam keadaan demikianlah ditemukan perbezaan dan pembahagian antara cara dan tujuan.



~teruskan membaca ar-Risalah ila Ukhti Muslimah ^_^

Read more...

Saturday, November 7, 2009

Prinsip Berfikir


Alhamdulillah...ada 4 paper lagi, dan ini salah satu subtopik dari subjek pemb. minda untuk exam minggu depan.. seronok belajar subjek ni..boleh la berkongsi sikit..^_^


Orang-orang yang mahir berfikir, secara mereka sendiri tidak sedari mempunyai prinsip-prinsip berfikir seperti yang disenaraikan di bawah :


1) Sentiasa bersikap membina 
Ramai orang suka berfikir secara negatif. Mereka seronok mencari alasan-alasan untuk membuktikan orang lain salah. Mereka berasa mereka lebih pintar dari orang itu. Orang-orang yang berfikir secara negatif yakin bahawa kecekapan berfikir secara kritikal adalah memadai. Permikiran mereka kekurangan unsur-unsur membina dan menerbitkan idea-idea. Memang benar adakalanya kita perlu pada pemikiran kritikal, tetapi itu tidak selalu. Orang-orang yang mahir berfikir secara negatif tidak berasa malu kerana sikap masyarakat kita sekarang yang lebih memuliakan kemahiran secara kritikal daripada kemahiran berfikir secara membina.


2) Berfikir secara simple
Tabiat suka melihat apa-apa sahaja perkara dengan cara-cara yang sukar dan rumit hanya elok untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain bahawa kita adalah pemikir yang hebat. Tabiat ini datang daripada kebiasaan di sekolah. Entah apa sebabnya, guru-guru percaya salah satu cara mengajar murid supaya pandai berfikir adalah dengan memberi soalan-soalan yang susah. Pemikir yang mahir adalah orang-orang yang dapat berfikir secara simple. Apa-apa yang sukar akan mereka tukar supaya menjadi mudah. Mereka gemar bertanya, "Ada atau tidak cara lain yang lebih senang? "


3) Sentiasa mencari-cari pilihan lain, tanggapan lain dan idea-idea baru
pemikir-pemikir yang tidak mahir sibuk mencari SATU jawapan yang betul dan selepas menemui jawapan itu mereka akan keras mempertahankannya. Pemikir yang mahir sentiasa bertanya, ada ataupun tidak cara-cara lain, tafsiran-tafsiran lain, tindakan-tindakan lain dan pendekatan-pendekatan lain. Sekiranya dia diberitahu bahawa "hanya ada dua kemungkinan" dia segera mencari kemungkinan-kemungkinan lain. Sekiranya dia diberitahu, hanya ada satu penjelasan bagi apa-apa masalah. dia cepat-cepat mencari penjelasan-penjelasan lain. Begitu pula halnya mengenai idea-idea dan tanggapan-tanggapan. Dia bertanya " Ada idea lain tak ?"


4) Tidak suka bertelagah pendapat
kemahiran bertelagah datang daripada hasrat mahu sentiasa betul. Semasa di sekolah dulu, kita dilatih berbahas, kononnya berbahas dapat menajamkan otak mereka. Tetapi berbahas juga melatih mereka mahir mencari salah orang. Bagi menajamkan otak, caranya dengan belajar menajamkan persepsi. Ini lebih berkesan dibuat tanpa bahas dan dengar. Tetapi sekiranya kita sibuk mencari apa  yang hendak kita lawan dan tangkis, telinga kita akan pekak daripada mendengar perkara-perkara berguna itu. Pemikir yang mahir, pandai mendengar bukan yang pandai berdebat sahaja.


5) Memisahkan ego daripada pemikiran
Halangan utama untuk menjadi pemikir yang mahir ialah ego kita. "Aku betuk, dia yang salah". "Pendapat aku yang terbaik." Kita perlu belajar menerima hakikat bahawa kita mungkin salah dan  dan idea orang lain mungkin lebih baik. Tetapi ini lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Kebanyakan orang menderita kerana gejala "gerun-salah" dan "gerun-kalah". Kebanyakan kita akan merasa malu dan jatuh maruah jika idea dan pendapat kita tidak diterima, dan oleh sebab itu kita seringkali keras-kerasan mempertahankan idea kita walaupun ia memang nampak kurang bernas. Pemikir yang mahir, berupaya memisahkan egonya daripada pemikirannya. Mereka dapat menerima bahawa kenyataan mereka mungkin salah dan idea mereka belum tentu yang terbaik.


6) Merendah diri
Sombong, bongkak dan angkuh adalah ciri-ciri orang yang tidak mahir berfikir.Memang, adalah sukar hendak merendahkan diri kepada orang-orang yang penuh prasangka, buta akal, berfikiran sempit dan terbukti salah. Orang-orang itu ramai disekeliling kita. Namun, orang yang mahir berfikir mempunyai sikap merendah diri dalam pemikiran mereka sendiri. Mereka percaya, pemikiran mereka sendiri pun belum tentu betul sepenuhnya.


Jadi, janganlah kita menjadi orang yang selalu nak menang dan menganggap apa yang lahir dan datang dari pemikiran kita sahajalah yang benar dan betul. Nilaian kita adalah kepada bagaimana seseorang itu mengeluarkan idea dan mendengar pula idea dari orang lain sehingga mampu mencambahkan lagi idea yang sedia ada walaupun kadangkala ia nampak begitu ringkas ataupun simple....
Pada sahabat-sahabat JDPI 08/09, good luck! moga kita akan berfikir secara kreatif semasa menjawab exam nanti..^_^
Allahu a'lam..

Read more...

Aku Wanita....