Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts

Thursday, December 29, 2011

Kenapa Perlu Pakai Tudung??

“Awak ambik kos pendidikan Islam...”

“tak…”

“Habistu??? Aaaa...mesti ambik kos bahasa arab kan…”

“Tak juga, saya program sains la…”

“saya ingatkan ustazah tadi…”

Hmmm... soalan-soalan sebegini selalu diajukan pada mereka yang bertudung labuh… Asal tudung labuh je ingat ustazah, asal pakai tudung labuh je orang ingat pelajar jurusan agama…

Haishhh… ana bukan ustazah, bukan juga anak ustaz..
ana bertudung labuh sebab ana seorang muslimah!!!
Iye betul biasanya ustazah yang pakai tudung labuh… Tapi tak salahkan ana memakai tudung labuh...

Sebagaimana firmannya :
"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. " (An-Nur : 31)

Ada juga yang menyangka bila seseorang itu bertudung labuh, bermakna alimnya seorang wanita. Hakikatnya tak semua yang bertudung labuh sarat dengan ilmu-ilmu ukhrawi.

"Dahtu kenapa bertudung labuh?"

Awak… Islam menyarankan muslimah untuk bertudung labuh kerana penuh dengan hikmah. Ia bukan sekadar menutupi aurat, tetapi juga melindungi diri. Tudung itu sendiri bisa mendidik si pemakainya…

“Eh tudung pun boleh jadi cikgu???”

Boleh dikatakan begitu… cuba anta wa anti bayangkan, agak-agak ada ke wanita bertudung labuh pergi berpesta, pegi disco? Ya kalau ada pun cuma segelintir yang tak tahu malu… Bila bertudung labuh akan lebih menjaga akhlak, yela… takkan yang bertudung labuh nak terlompat-lompat, terkinja-kinja tengok konsert, menjerit-jerit macam kena hysteria… kan kalau perangai tak jaga, nanti orang mengata, harap je pakai tudung labuh tapi perangai…
Nauzubillah…

Bila jenjalan kat mana-mana jarang lelaki yang berani tegur lebih-lebih, paling tidak pun mereka bagi salam…

“Assalamu’alaikum ustazah… tak jawab dose taw”

Tengok, yang nakal pun tiba-tiba jadi budak baik. Sudah menjadi fitrah, lelaki kan tertarik pada wanita, dengan susuk tubuhnya yang menggoda, jalan lenggang-lenggok, apatah lagi yang lemah imannya. Kadang-kadang lelaki tertarik mendekati wanita bertudung labuh kerana keindahan akhlaknya. Jadi mereka rasakan mereka perlu berubah tetapi dalam masa yang sama mereka ingin mendampingi wanita yang bertudung labuh yang mungkin boleh membantu mereka dengan ilmu yang wanita itu ada.

“Awak… saya nak berubah jadi budak baik, boleh tak awak awak bimbing saya?”

“Kenapa saya”

Sebab saya tengok awak alim je”

“Kenapa??? Sebab saya pakai tudung labuh???"

Awak lelaki kalau benar-benar mahu berubah, awak seharusnya cari yang sama jantina dengan awak. Kerana itu lebih terjaga dan jauh dari fitnah. Ramai lagi lelaki yang jauh lebih alim dari saya…

Iye walaupun saya bertudung labuh, tapi belum tentu ilmu setinggi langit. Bukan saya kedekut ilmu, sombong. Setakat ilmu yang ada bolehla kita share kerana ilmu itu bila saya beri ia makin bertambah. Saya juga masih berusaha mencari sebanyak ilmu yang mungkin. Kerana hanya dengan ilmu mampu mengubah seseorang membawa keluar dari kotak kejahilan. Kerana ilmu itu cahaya, penunjuk jalan. Apatah lagi ilmu yang diamalkan, pasti terpancar nur dari dalam hati. Saya juga perlu dibimbing dan tudung labuh ini bukanlah suatu lambang ketinggian ilmu seseorang. Cuma saya cuba jadi yang terbaik, apa yang saya mampu lakukan, saya kan cuba sedaya upaya mengamalkannya kerana indahnya hidup bersyariat.

Dan tak bermakna yang tudung singkat itu sedikit ilmunya, cuma mungkin masih belum tergerak hatinya untuk berubah kepada yang lebih baik, sama-sama kita doakan..insyaAllah.
sekian..................... ;D

*Semoga Allah memberikan kita keimanan yang teguh dalam menjalani hidup yang penuh dengan cabaran di akhir zaman ini. Iman ada naik dan turunnya. Dan itulah yang kita risaukan, apa yang terjadi pada kita saat iman kita lemah.. Nau'zubillah...

*Teruskan berdoa kepada pencipta kita yang satu, ALLAH SWT...
Sesungguhnya doa itu senjata Mukmin.
-Artikel daripada seorang sahabat-

Read more...

Tuesday, May 3, 2011

Bukan Senang Menjadi Pemimpin

Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah s.a.w. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah. Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah.
Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah? Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah, kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan. Cukup dia menjaga dirinya sahaja.
Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu.
Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu.
Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim daripada baginda.
Tetapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu tafsiran baru yang lebih penting lagi daripada tafsiran yang di atas. Allah temukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s., tetapi Allah tukar peranan masing-masing.
Seolah-olah Allah berkata, "Hai Musa! Engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut." Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut.
Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, "Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja." Berjaya tak?
Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, "Kalau nak aku, jangan banyak cakap, ikut saja. Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita."
Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu.
Nabi Musa tidak tahan, baginda tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan baginda sudah berjanji tidak akan bertanya. Nabi Khidir pun mengingatkan, "Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita."
Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir membunuh seorang budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, baginda bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi baginda diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya.
Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah.
Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul.
Pemimpin sepatutnya bersabar dalam mendidik anak buah. Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat 'ulul azmi' adalah mereka yang paling sabar.
Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia adalah mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan.
Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sedikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sedikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.
Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat. Cuba tengok Nabi Khidir. Atas dasar ilmu baginda layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati baginda tidak layak.
Sebab itu, Nabi Adam waktu dia bertaubat sujud 40 tahun sampai pokok tumbuh besar dikelilingnya, pun tidak dapat gelaran 'Ulul Azmi'. Mengapa? Baginda sujud itu bukan memimpin. Baginda dengan tuhan saja. Dengan tuhan baginda rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah.
Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah baginda mendapat darjat 'Ulul Azmi'.
Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian.
Oleh itu, janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti tidak layak. Bila tidak layak, ia boleh menjadi punca kerosakan yang banyak kepada manusia.

Read more...

Monday, November 22, 2010

Keteguhan Sumayyah

SUMAYYAH BINTI KHAYYAT adalah hamba daripada kaum makhzum. Dia dikahwinkan dengan Yassir oleh majikannya. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki. Pada peringkat awal penyebaran Islam di Mekah, Sumayyah dan suaminya Yasir sudah tua. Kedua-dua anak teruna semakin dewasa. Anak lelaki sumayyah iaitu Ammar sedang meneliti aliran agama islam yang mulah tersebar di bandar mekah secara rahsia. Ammar mendapat tahu agama islam dibawa dan diseru orang seorang lelaki yang bernama Muhammad bin Abdullah. Ammar menyiasat dan menjejaki pengikut-pengikut muhammad dengan berhati-hati, bimbang diketahui oleh orang-orang quraisy yang menjadi musuh utama muhammad. Akhirnya, Ammar tiba di rumah yang menjadi tempat berkumpul muhammad dan orang-orang yang beriman.

Apabila tiba di kawasan rumah itu Ammar terserempak dengan orang yang asing di mekah. Orang itu adalah suhaib yang baru tiba dari negeri rom. Mereka berdua terus berjumpa dengan nabi muhammad dan mendengar dengan lebih dekat ajaran islam daripadanya. Kedua-dua pemuda itu beriman dengan nabi muhammad dan menjadi orang islam. Tanpa berlengah lagi, ammar terus kembali kerumahnya. Sebaik sahaja tiba di rumahnya, dia pun menceritakan pengalaman barunya kepada kedua ibu bapanya dan menerangkan maksud islam. Ammar menyampaikan seruan yang di bawa oleh nabi muhammad bin Abdullah kepada orang-orang di mekah. Seterusnya, ammar mengajak kedua ibu bapanya memeluk islam. 




Sumayyah dan suaminya, Yasir bersetuju memeluk islam. Sumayyah adalah orang ke-7 beriman dengan Nabi Muhammad dan memeluk agama islam pada usia yang tua. Apabila majikan dan kaum Makhzum mengetahui Sumayyah dan ahli keluarganya mengikut agama islam yang di seru Nabi Muhammad, mereka marah dan menganggap seluruh keluarga Sumayyah sebagai orang gila. Apatah lagi Sumayyah dan ahli keluarganya berani menonjolkan diri sebagai orang islam. Mereka tidak merahsiakan keimanan kepada seruan yang di bawa oleh Nabi Muhammad. Majikannya dan kaum Makhzum menganggap ahli keluarga Sumayyah sebagai berani menunjukkan tentangan dan cabaran kepada mereka. Selama ini, mereka melarang dan memberi peringatan bahawa sesiapa sahaja yang menerima ajaran Nabi Muhammad akan menerima balasan.

Penyeksaan

Keluarga sumayyah menerima siksaan yang berat. Mereka sekeluarga di bawa dan diheret keluar dari bandar mekah. Selepas diheret di tengah gurun yang panas, mereka di ikat pada batu ataupun kayu. Mereka ditinggalkan di bawah panas matahari dengan harapan mereka dan pedih dengan seksaan di lakukan keatas mereka. Sumayyah, wanita yang sudah tua juga menerima seksaan seperti orang lelaki. Bagi wanita tua, sudah tentu tubuhnya tidak kuat untuk menerima seksaan yang berat. Namun, iman Sumayyah tetap utuh. Dia bersabar atas segala ujian yang diterima. Dia memperhtahankan imannya walaupun diseksa dengan teruk sekali. Sumayyah yang sabar dan teguh iman menyebabkan orang-orang quraisy rasa tercabar dan malu kerana menyeksa wanita itu. Sumayyah dianggap pejuang wanita Islam yang beriman dan ini menambahkan kemarahan orang-orang quraisy di mekah.

Pada suatu hari, Abu Jahal datang berjumpa Sumayyah dengan tujuan memujuk meninggalkan agama yang dicintainya. Tetapi Sumayyah tidak mudah dipujuk dan jawapan yang diberikan kepada Abu Jahal membuatkan Abu Jahal malu dan merasa egonya dicabar. Abu Jahal hilang pertimbangan, lalu mencabut pedangnya dan menikam Sumayyah. Tikaman itu menyebabkan Sumayyah mati dalam keadaan beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Sumayyah adalah antara orang pertama yang mati syahid bagi menegakkan agama islam. Nabi muhammad yang mendengar kematian Sumayyah berkata kepada Yasir, “Bersabarlah, wahai keluarga Yasir! Sesunguhnya kamu akan dimasukkan kedalam syurga!”

Read more...

Sunday, November 21, 2010

Pengorbanan Zainab al-Ghazali

Ada sebuah kisah menarik yang pernah terjadi di suatu negeri pada tahun 1965. Peristiwa ini, perlulah dijadikan pengajaran terutamanya untuk kaum muslimat. Di waktu itu, hiduplah seorang aktivis muslimah yang menyeru manusia kepada Allah SWT. Namanya Zainab Al-Ghazali.

Dia adalah seorang da'ei wanita yang cukup gigih dalam dakwahnya. Dalam hidup sehariannya, yang ada didalam fikirannya hanyalah bagaimana menyebarkan kebajikan dan membimbing manusia ke jalan yang benar. Dia memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam. Ketajaman kata-katanya dalam berdakwah membuat dia harus berhadapan dengan pemimpin negeri ini yang zalim pada saat itu.

Zainab Al-Ghazali pun telah menjalani fasa-fasa penyiksaan. Meremang bulu roma di saat mendengar kisahnya. Meski demikian, keyakinanannya akan pertolongan Allah swt., kelazatan iman yang dirasakannya, serta tekad yang membaja membuat ia terus bersabar. Pada Ogos 1965, Rumah Zainab Al-Ghazali digeledah oleh beberapa tentara, tanpa ada izin terlebih dahulu.

Tatkala ia meminta diperlihatkan surat penggeledahan, mereka menjawab, "Surat tugas yang mana, hai orang gila! Kami sekarang dalam masa, dimana kami bebas melakukan apa saja yang kami kehendaki terhadap kamu." Tanpa penjelasan lain yang menjadi bukti, mereka terus mengheret Zainab Al-Ghazali keluar rumah dan dibawa dengan kereta. Tanpa pembelaan, muslimah yang tekun beribadah ini terus dimasukkan ke penjara. Namun dia tetap sabar dan mengharap pahala dari Allah swt. atas ujian yang diterimanya itu. Ia dimasukkan ke dalam ruangan penjara bernombor 24. Berikut adalah cerita pengalaman beliau sepanjang berada didalam penjara:


"Sebuah pintu ruangan yang sangat gelap dibuka, lalu aku dimasukkan kedalamnya. Dan ketika ruangan itu telah menelan diriku, aku mengucapkan, "Bismillah As-salamu'alaikum." Kemudian, pintu itu ditutup kembali. Setelah itu, lampu yang sangat terang dinyalakan dengan tiba-tiba. Ini dimaksudkan untuk menyiksa diriku. Ruangan itu dipenuhi oleh beberapa anjing. Aku tidak mengetahui berapa jumlahnya. Aku pejamkan kedua mataku dan aku letakkan kedua tanganku didadaku, kerana ketakutan yang mencekam. Lalu aku dengar suara pintu dikunci dengan rantai dan gembok besar. Anjing-anjing itu terus menyerangku dan mengigit sekujur tubuhku, kepalaku, kedua tanganku, dadaku, punggungku dan di seluruh bagian tubuhku kurasakan tusukkan taring-taring anjing.

Sakit sekali. Tatkala aku mencuba membuka mata untuk melihat, maka dengan segera kupejamkan kembali kerana ketakutan yang sangat. Lalu kuletakkan kedua tanganku di bawah kedua ketiakku, sambil menyebut asma-asma Allah swt. (Asmaul Husna), mulai dari kata, "Ya Allah, Ya Allah..." Satu per satu nama agung Allah kubaca. Sementara anjing-anjing tiada berhenti mengigit tubuhku. Tusukkan taringnya kurasakan di kepalaku, pundakku, punggungku, dadaku, dan disekujur tubuhku.

Saat itu saya berdo'a kepada Allah swt. dengan mengatakan, "Ya Allah sibukkanlah aku dengan (mengingat)-Mu, hingga melupakan selain-Mu. Sibukkanlah aku dengan (mengingat)-Mu, wahai Tuhanku. Wahai zat Yang Maha Esa, wahai zat Yang menjadi tempat bergantung. Bawalah aku dari alam kasar (dunia) ini. Sibukkanlah aku agar tidak mengingat seluruh hal selain-Mu. Sibukkanlah aku dengan (mengingat)-Mu, bawalah aku di hadirat-Mu. Berilah aku ketenangan yang sempurna dari-Mu. Liputilah aku dengan pakaian kecintaan-Mu. Berikanlah kepadaku rezeki mati syahid dijalan-Mu. Karunikanlah kepadaku kecintaan yang tulus kepada-Mu, keridhaan pada (ketentuan)-Mu dan Ya Allah, teguhkanlah diriku, sebagaimana keteguhan yang dimiliki oleh para ahli tauhid ya Allah!"
hate anger fury by ~mihaimiresan
Drag and Drop to Collect


Doa tersebut kuucapkan, sementara binatang-binatang buas itu tidak berhenti menusukkan taringnya disekujur tubuhku. Detik demi detik, minit demi minit dan jam demi jam pun berlalu. Tiba-tiba pintu ruanganku terbuka, lalu aku dikeluarkan dari kamar. Aku membayangkan, bahawa pakaian putih yang kukenakan telah berlumuran darah. Itulah yang saya rasakan dan bayangkan bahwa anjing-anjing itu benar-benar telah mengigitku. Akan tetapi, betapa terkejutnya aku. Seolah-olah pakaianku tidak terkena sesuatu apapun, dan seolah-olah tiada satu pun taring yang menembus tubuhku. Mahasuci Engkau ya, Allah. Sesungguhnya Dia selalu bersamaku dan selalu mengawasiku. Ya Allah, apakah aku ini layak mendapatkan kurnia dan kemuliaan dari-Mu. Ya, Tuhanku bagimu segala puji. Semua itu kuucapkan di dalam hatiku. Para penjaga penjara hairan ketika mengetahui bahawa anjing-anjing tidak merobek-robek tubuhku.

Saya tidak mengetahui mengapa mereka amat hairan menyaksikan hal seperti itu. Bukankah Allah swt. telah berfirman,"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad: 7)

Ini adalah peristiwa nyata yang terjadi semasa kekejaman pemerintahan. Peristiwa itu merupakan pertolongan yang diberikan Allah kepada Zainab Al-Ghazali, wanita muslimah tersebut. Mereka tidak berhenti melakukan penyiksaan kepada wanita muslimah ini. Hari demi hari berganti, bulan demi bulan teru berjalan dan tahun-tahun pun berganti. Namun, Zainab tetap terkurung didalam penjara dan menerima berbagai macam penyiksaan, tanpa kesalahan yang jelas.

Wahai saudaraku muslimah yang mulia, ini adalah realiti yang dialami oleh sebahagian saudarimu seaqidah yang tersebar di berbagai belahan bumi. Meski demikian, Zainab Al-Ghazali tetap bersabar dan mengharap pahala dari Allah, Dzat Yang Maha tinggi dan Maha kuasa. Ia selalu tegar kerana sangat yakin bahawa pertolongan Allah swt. pasti datang. Demikianlah, kekuatan iman itu dapat menimbulkan berbagai hal yang menakjubkan, sulit untuk dicerna oleh pemikiran manusia.

Read more...

Friday, October 29, 2010

Aminah binti Wahab

Seorang wanita berhati mulia, pemimpin para ibu. Seorang ibu yang telah menganugerahkan anak tunggal yang mulia pembawa risalah yang lurus dan kekal, rasul yang bijak pembawa hidayah. Dialah Aminah binti Wahab. Ibu dari Muhammad bin Abdullah yang diutus Allah sebagai rahmat seluruh alam. Cukuplah baginya kemuliaan dan kebanggaan yang tidak dapat dimungkiri, bahawa Allah azza wa jalla memilihnya sebagai ibu seorang rasul mulia dan nabi yang terakhir. Berkatalah Muhammad puteranya tentang nasabnya.

“Allah telah memilih aku dari Kinanah, dan memilih Kinanah dari suku Quraisy bangsa Arab. Aku berasal dari keturunan orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik.”

    Dengarlah sabdanya lagi, “Allah memindahkan aku dari sulbi-sulbi yang baik ke rahim-rahim yang suci secara terpilih dan terdidik. Tiadalah bercabang dua, melainkan aku di bahagian yang terbaik.” Aminah bukan cuma ibu seorang rasul atau nabi, tetapi juga wanita pengukir sejarah. Kerana risalah yang dibawa putera tunggalnya sempurna, benar dan kekal sepanjang zaman.

    Suatu risalah yang bermaslahat bagi ummat manusia. Berkatalah Ibnu Ishaq tentang Aminah binti Wahab ini. “Pada waktu itu ia merupakan gadis yang termulia nasab dan kedudukannya di kalangan suku Quraisy.”

    Menurut penilaian Dr. Bint Syaati tentang Aminah ibu Muhammad iaitu. “Masa kecilnya dimulai dari lingkungan paling mulia, dan asal keturunannya pun paling baik. Ia (Aminah) memiliki kebaikan nasab dan ketinggian asal keturunan yang dibanggakan dalam masyarakat aristokrasi (bangsawan) yang sangat membanggakan kemuliaan nenek moyang dan keturunannya.”
 Aminah binti Wahab merupakan bunga yang indah di kalangan Quraisy serta menjadi puteri dari pemimpin bani Zuhrah. Pergaulannya senantiasa dalam penjagaan dan tertutup dari pandangan mata. Terlindung dari pergaulan bebas sehingga sukar untuk dapat mengetahui jelas penampilannya atau gambaran fizikalnya. Para sejarawan hampir tidak mengetahui kehidupannya kecuali sebagai gadis Quraisy yang paling mulia nasab dan kedudukannya di kalangan Quraisy.
Meski tersembunyi, baunya yang harum semerbak keluar dari rumah bani Zuhrah dan menyebar ke segala penjuru Makkah. Bau harumnya membangkitkan harapan mulia dalam jiwa para pemudanya yang menjauhi wanita-wanita lain yang terpandang dan dibicarakan orang. Patah hati Allah memilih Aminah “Si Bunga Quraisy” sebagai isteri Abdullah bin Abdul Muthalib di antara gadis lain yang cantik dan suci. Ramai gadis yang meminang Abdullah sebagai suaminya seperti Ruqaiyah binti Naufal, Fatimah binti Murr, Laila al Adawiyah, dan masih ramai wanita lain yang telah meminang Abdullah.

    Ibnu Ishaq menuturkan tentang Abdul Muthalib yang membimbing tangan Abdullah anaknya setelah menebusnya dari penyembelihan. Lalu membawanya kepada Wahab bin Abdu Manaf bin Zuhrah - yang waktu itu sebagai pemimpin bani Zuhrah - untuk dikahwinkan dengan Aminah. Abdullah adalah pemuda paling tampan di Makkah. Paling memukau dan paling terkenal di Makkah. Tak hairan, jika ketika ia meminang Aminah, ramai wanita Makkah yang patah hati.” Cahaya yang semula memancar di dahi Abdullah kini berpindah ke Aminah, padahal cahaya itulah yang membuat wanita-wanita Quraisy rela menawarkan diri sebagai calon isteri Abdullah. Setelah berhasil mengahwini Aminah, Abdullah pernah bertanya kepada Ruqaiyah mengapa tidak menawarkan diri lagi sebagai suaminya. Apa jawab Ruqayah,

“Cahaya yang ada padamu dulu telah meninggalkanmu, dan kini aku tidak memerlukanmu lagi.”


    Fatimah binti Murr yang ditanyai juga berkata,
“Hai Abdullah, aku bukan seorang wanita jahat, tetapi kulihat aku melihat cahaya di wajahmu, kerana itu aku ingin memilikimu. Namun Allah tak mengizinkan kecuali memberikannya kepada orang yang dikehendakiNya.”


    Jawaban serupa juga disampaikan oleh Laila al Adawiyah. “Dulu aku melihat cahaya bersinar di antara kedua matamu kerana itu aku mengharapkanmu. Namun engkau menolak. Kini engkau telah mengahwini Aminah, dan cahaya itu telah lenyap darimu.”

    Memang “cahaya” itu telah berpindah dari Abdullah kepada Aminah. Cahaya ini setelah berpindah-pindah dari sulbi-sulbi dan rahim-rahim lalu menetap pada Aminah yang melahirkan Nabi Muhammad SAW. Bagi Muhammad merupakan hasil dari doa Ibrahim bapanya. Kelahirannya sebagai khabar gembira dari Isa saudaranya, dan merupakan hasil mimpi dari Aminah ibunya. Aminah pernah bermimpi seakan-akan sebuah cahaya keluar darinya menyinari istana-istana Syam. Dari suara ghaib ia mendengar, “Engkau sedang mengandung pemimpin ummat.” Masyarakat di Makkah selalu membicarakan, kedatangan nabi yang ditunggu-tunggu sudah semakin dekat. Para pendita Yahudi dan Nasrani, serta peramal-peramal Arab, selalu membicarakannya.

    Dan Allah telah mengabulkan doa Ibrahim as. seperti disebutkan dalam Surah al Baqarah ayat 129. “Ya Tuhan kami. Utuslah bagi mereka seorang rasul dari kalangan mereka.”

    Dan terwujudlah khabar gembira dari Isa as. seperti tersebut dalam Surah as Shaff ayat 6. “Dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang rasul yang akan datang sesudahku, namanya Ahmad (Muhammad). Benar pulalah tentang ramalan mimpi Aminah tentang cahaya yang keluar dari dirinya serta menerangi istana-istana Syam itu.”



    Pemimpin Para Ibu Aminah adalah pemimpin para ibu, kerana ia ibu Nabi Muhammad yang dipilih Allah sebagai rasul pembawa risalah untuk ummat manusia hingga akhir zaman. Muhammadlah penyeru kebenaran dan keadilan serta kebaikan berupa agama Islam.

“Dan barangsiapa memilih agama selain Islam, maka tiadalah diterima (agama itu) darinya. Dan di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Ali Imran: 85)

    Saat menjelang wafatnya, Aminah berkata: “Setiap yang hidup pasti mati, dan setiap yang baru pasti usang. Setiap orang yang tua akan binasa. Aku pun akan wafat tapi sebutanku akan kekal. Aku telah meninggalkan kebaikan dan melahirkan seorang bayi yang suci.”

    Diriwayatkan oleh Aisyah dengan katanya, “Rasulullah SAW memimpin kami dalam melaksanakan haji wada’. Kemudian baginda lalu dekat kubur ibunya sambil menangis sedih. Maka aku pun ikut menangis kerana tangisnya.”

    Betapa harumnya nama Aminah, dan betapa kekalnya namanya nan abadi. Seorang ibu yang luhur dan agung sebagai ibu Muhammad manusia paling utama di dunia, paling sempurna di antara para nabi, dan sebagai rasul yang mulia. Aminah binti Wahab adalah ibu kandung rasul yang mulia. Semoga Allah memberkahinya.

Read more...

Wednesday, October 27, 2010

Kerana Cinta...

Barangsiapa yang ingkar akan diseksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masiytah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sisir Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah agar dengan itu mereka tidak diganggu

Tetapi pada suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyisir rambut salah seorang daripada puteri Firaun,tiba-tiba sisir itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah "Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian alam.

Puteri itu dengan serta merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Dan Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya.

Selain menjadi tukang sisir, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa siasat dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah. Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun.

Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.

Dengan keputusan itu,Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih sambil ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir,Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.

Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anak-anaknya yang masih kecil itu diseksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu sama ada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah,tiba-tiba anak yang masih baik itu berkata-kata dengan ibunya, Masyitah:
"Wahai ibu,marilah kita menyusul ayah,sesungguhnya syurga sedang menanti kita."

Bila mendengar kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah. Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati. Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab seksa yang sangat pedih.

Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga. Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj,baginda telah melalui sebuah maqam. Dan maqam itu sangat wangi dengan bau kasturi.
Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya,maka jawab Jibril a.s :
"Itulah maqam Masyitah,salah seorang wanita penghulu syurga."

Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia. Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah.

Kuatkan imam dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan Islam.InsyaAllah kita akan selamat di dunia dan akhirat.Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah. Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya? Fikir-fikirkan lah....
 
Sumber: Buku Panduan Menjadi Wanita Solehah Terbitan Jahabersa

Read more...

Aku Wanita....