Friday, May 28, 2010

Mudahnya Kehidupan!

Assalamualaikum..Syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Ta'ala kerana masih lagi memberi ruang dan peluang kepada kita untuk menghirup udara yang dikurnia-Nya tanpa sebarang cukai dan bayaran, malah memberi ganjaran Syurga bila mana kita sentiasa taat akan perintah-Nya. Alahamdulillah..
Kali ini, saya masih lagi tidak dapat menyediakan 'air tangan' sendiri memandangkan idea masih tepu tidak mahu berganjak keluar dari kepala ini. Apa pun, saya menggantikannya dengan sedikit tazkirah atau peringatan untuk perkongsian kita bersama. Dipetik daripada iluvislam.com yang saya kira sangat baik untuk diteladani.
Mampukah saya untuk melaksankannya...........?? 
............................................
Sesungguhnya kemudahan akan disertai kesusahan. Itulah janji Tuhan kepada makhluknya yang menjadikan dunia ini berpasang-pasangan. 
Kadang-kadang kita merasakan kehidupan ini menyusahkan, membebankan dan acapkali menyesakkan jiwa. Mengapakah terjadinya hal yang sedemikian? Mungkinkah kerana kita tersasar dari matlamat hidup kita? Sebagai seorang Islam, cuba kita renungkan, apakah matlamat sebenar kita dilahirkan ke dunia ini? Adakah untuk memenuhi keperluan dan kehendak semata-mata? 

Sebelum itu mari kita lihat sejenak apa itu keperluan dan kehendak dunia ini. Keperluan kita sebagai seorang Islam adalah beribadah kepada Allah. Adakah beribadah itu hanya tertumpu kepada rukun Islam yang lima sahaja? Tentu sahaja tidak, rukun Iman, fardhu ain, fardhu kifayah mestilah dilengkapi bagi memenuhi keperluan kita hidup di alam maya ini.  

Sekarang, kita perhatikan pula kehendak dunia. Keperluan dunia memenuhi ruang lingkup nafsu kita. Makanan yang enak, pasangan dan anak pinak, harta dunia dan tidak lupa juga kuasa. Bagaimana kita mahu mengharungi kehidupan dunia dengan menyeimbangkan antara keperluan dan kehendak? Kerana faktor ini, selalu sahaja kehendak mengatasi keperluan. Inilah hakikat yang menyesakkan jiwa dan nafas kita. 

Baiklah. Mari kita teliti cadangan di bawah ini. Bagaimanakah caranya untuk merungkai kesesakan jiwa kita ini. Pertama sekali, tentukan matlamat hidup yang sebenar. Sebagai seorang mukmin, AKHIRAT menjadi matlamat jangkamasa panjang kita semua. Keperluan dunia wajiblah dipenuhi bagi mencapai akhirat. Jika begitu, apakah kita mesti mengenepikan dunia? Tidak, ini amat berat dilakukan kerana dunia merupakan jambatan akhirat. lalu, harus bagaimana menghadapai dunia. 


Sila ikuti saranan seterusnya. Langkah kedua merupakan titik tolak bagaimana kita menghadapi alam fana ini. Kita haruslah meleraikan ikatan kita kepada dunia. Bagaimana caranya? Letakkanlah sahabatku, dunia ini di tangan kita bukannya di hati. Contohnya, kita punya harta yang banyak. Jika harta itu di tangan, kita akan mudah memberi. Jika di hati, hati kita akan mewujudkan perasaan tamak, kedekut, dengki malah iri hati jika harta orang lain lebih banyak daripada harta kita.

Lagi perumpamaan yang mudah. Kita telah sedaya upaya menjaga anak dari kecil hingga dewasa. Didikan agama tidak kurang sedikitpun. Didikan dunia pun kita seimbangkan untuk memudahkan urusan dunianya. Bila dewasa, kita telah hilang di hatinya. Betapa perit hati seorang ibu dan seorang bapa. Mengapa hati kita perit dan sakit? Kerana kita telah mengikat hati kita dengn anak. Sesungguhnya, setelah kita berusaha bersungguh-sungguh, hendaklah kita bertawakal kepada Yang Maha Esa. Bergantunglah kamu kepada Allah swt, bukan kepada anak ya, sahabatku.

Wahai sahabat, mampukah kita meletakkan dunia ini di tangan , tetapi bukan di hati. Berhijrahlah, ini suatu percubaan yang amat berat, susah tetapi amatlah menyenangkan hatimu sekiranya kamu, wahai sahabatku dapat melakukannya. Percayalah, bahawa dalam kesusahan ada kesenangan.

Kamu akan redha dengan apa sahaja takdir yang ditentukan. Kamu akan merasakan betapa mudahnya kehidupan ini. Marilah kita renungkan kata-kata di bawah ini dengan penuh penghayatan.

Jika kamu cinta kepada bunga, bunga akan layu. Jika kamu cinta kepada manusia, manusia akan mati. Cintalah kepada Allah swt, Allah swt akan mencintai kamu selama-lamanya. Tidakkah kamu terfikir bahawa dunia ini hanyalah sementara. Di mana tak satu tempat atau apapun yang kamu boleh gantungkan harapan. Sengaja Allah swt menjadikan ini semua sebagai petunjuk, untuk menunjukkan kepada manusia, hanya Dialah tempat kita bergantung harap kerana Dialah yang kekal abadi.

Read more...

Friday, May 21, 2010

MPMN Gesa tarik Semula Sekatan Terhadap Mahasiswa

Baru-baru ini empat mahasiswa UKM telah dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) kerana dituduh melanggar undang-undang universiti. Arahan itu telah dikeluarkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan setelah mereka ditangkap oleh pihak polis di Hulu Selangor ketika Pilihanraya kecil berlangsung di sana. 

Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) telah membantah keras terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan norma demokrasi yang telah diamalkan di negara kita. Sebagai mahasiswa, mereka berhak berada di mana sahaja dan bebas untuk menyuarakan hak mereka. 

Tindakan yang dikeluarkan oleh pihak universiti itu jelas melanggar hak kebebasan bersuara di negara ini. Pihak Universiti harus sedar mahasiswa ialah aset dan agen perubah kepada kepimpinan negara, ini dilihat sebagai salah satu latihan sebelum menceburkan diri selepas keluar dari menara gading kelak. Jika mahasiswa disekat pemikiran dan perjuangan mereka, sudah pasti negara akan lumpuh dan ‘muflis’ kepimpinan yang berwibawa suatu hari nanti.

Mereka tertuduh juga merupakan mahasiswa jurusan Sains Politik dan semestinya mereka perlu turun kelapangan untuk menyaksikan sendiri suasana politik Malaysia lagi-lagi ketika pilihanraya sedang berlangsung. Ini ialah salah satu praktikal dan latihan bagi mereka selaku mahasiswa jurusan Sains Politik. Mengapa pihak universiti perlu mengenakan tindakan tersebut? Hal ini jelas pihak pentadbiran Universiti menafikan hak kebebasan akademik. Sehubungan itu, MPMN menggesa pihak Universiti menarik balik tindakan yang telah dikenakan ke atas mereka dan memuji tindakan mahasiswa yang mempraktikkan hak demokrasi.

MPMN juga akan terus memperjuangkan kes tersebut dengan segenap rupa dan cara untuk membela dan memperjuangkan hak mereka. Pihak universiti jangan cuba untuk memperbodoh dan menakut-nakutkan mahasiswa dengan tindakan yang telah dikeluarkan. Pihak Universiti seharusnya bertindak lebih profesional dalam kes ini. mereka tertuduh ialah Hilman Idham, Ismail Aminudin, Azlin Shafina adzha dan Woon King Chai. Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Universiti pada 2 dan 3 Jun 2010. pihak MPMN mengharapkan dan menyeru kepada gerakan-gerakan kampus, NGO, ahli politik dan indvidu agar terus membela dan memperjuangkan mahasiswa yang jelas telah dicabuli hak mereka oleh pihak Universiti.


MUHAMMAD SYAFIQ BIN A. AZIZ

Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

Read more...

Monday, May 17, 2010

Remaja Kian Parah!


Assalamu'alaikum wbt.
Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi mengizinkan jasad ini menghirup udara segar dan memperoleh segala nikmat yang dikurnia-Nya. Lama sungguh tidak menjenguk ke 'kanvas' ini, jadi untuk entry kali ini suka untuk saya kongsikan bersama satu artikel saya yang ditulis semasa di IKIM. (Sewaktu Latihan Industri)

Pengenalan

Kebelakangan ini terlalu banyak kes-kes dan kajadian yang berlaku yang sebahagiannya melibatkan remaja. Hal ini semakin hari ia dilihat semakin meruncing dan membimbangkan. Pelbagai jenis salah laku yang dilakukan oleh kalangan remaja ini dan ia memberikan suatu gambaran yang buruk terhadap anak muda remaja Malaysia khususnya. Lagi yang perlu dibimbangi adalah remaja yang melakukan kesalahan ini bukanlah hanya dikalangan anak remaja yang menemui kegagalan hidup bahkan remaja yang mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang.

            Secara umumnya remaja kini kian parah dengan pelbagai gejala sosial yang dilakukan sama ada salah laku jenayah seperti membunuh, merompak, melakukan zina, merempit di jalanan, memeras ugut, melepak dan sebagainya. Rata-rata remaja yang dikatakan ini adalah mereka yang berumur 21 tahun kebawah dan biasanya mereka ini masih lagi bersekolah.

Punca keruntuhan akhlak remaja
            
        Melihat kepada keadaan semasa, keruntuhan akhlak remaja yang semakin parah mempunyai beberapa sebab dan dapat dilihat dari pelbagai sudut. Umumnya mengetahui akan sifat remaja yang seringkali ingin mengetahui dan mencari sesuatu yang baru untuk kehidupan mereka. Malah apa yang mereka ingin cari dan cuba itu kadangkala tidak mendatangkan sebarang manfaat, namun itulah juga yang menjadi kemahuan mereka. Jika sifat ini tidak dibendung, bimbang suatu hari nanti anak muda ini sanggup melakukan apa sahaja yang dirasakan mahu walaupun mendatangkan bahaya kepada dirinya ataupun masyarakat.

            Dari sudut lain pula, kehidupan remaja dilihat sebagai satu tahap kehidupan untuk bersuka ria dan bergembira. Mencari keseronokan hidup merupakan salah satu agenda dalam kehidupan mereka. Begitulah firman Allah SWT yang ada menyatakan bahawa ada dikalangan manusia yang hidup bermatlamatkan makan dan berseronok, inginkan hiasan kehidupan dan kesenangan hidup, melakukan kerosakan dan sebagainya. Hal ini telah Allah rakamkan di dalam al-Quran. Bagi mereka yang tidak keluar daripada ruang ini maka mereka dikalangan orang-orang yang rugi.

            Selain itu, pengaruh rakan sebaya turut menjadi punca utama kepada permasalahan dan keruntuhan akhlak remaja masa kini. Nasihat daripada ibu bapa kadangkala menjadi kabur kerana ajakan rakan sebaya. Oleh sebab itu, pemilihan kawan yang baik itu sangat penting agar diri remaja terhindar daripada perkara-perkara yang terlarang. Krisis remaja adalah apabila mereka tidak diberi pilihan untuk memilih kerana apa yang datang kepada mereka hanyalah satu, tidak ada dua atau tiga. Maka apabila yang datang kepada mereka perkara yang buruk, maka itulah yang akan menjadi pilihan mereka. Lain pula jadinya jika ada dua tiga pilihan untuk golongan remaja ini pilih, tentu kebaikan itu gigih untuk memenangi jiwa para remaja ini.

            Selain daripada itu, permasalahan remaja ini juga timbul disebabkan kemerosotan didikan dan asuhan daripada keluarga. Tidak semua yang berlatar belakangkan hidup yang susah akan melakukan perkara tersebut, ada juga dikalangan remaja yang berlatar belakangkan kehidupan yang mewah, keluarga yang baik dan berpengetahuan turut mempunyai masalah keruntuhan akhlak dan moral sehingga boleh membawa kepada kes-kes jenayah.

            Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting di dalam mendidik dan mengasuh anak-anak sedari kecil. Awal pembentukan keluarga jika sudah ditanam dengan kemewahan dan kesenangan sahaja, tanpa moral disebaliknya akan mengundang masalah kepada sikap anak-anak apabila kian membesar. Begitu juga dengan keluarga yang sibuk mengejar harta kemewahan sehingga mengabaikan perhatian yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak. Hal ini akan menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang panjang untuk mendengar masalah anak-anak, kemahuan anak-anak, berdamping, berkongsi dan sebagainya yang akhirnya membawa kepada haluan masing-masing dalam kehidupannya. Inilah salah satu punca mengapa anak-anak lebih suka mencari ’ketenangan’ di luar atau bersama rakan-rakannya berbanding bercerita dan bersua muka dengan ibu bapanya.

            Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, suasana rumah tangga yang tidak harmoni dan tenteram, keadaan sosio-ekonomi yang sempit serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan akhlak dan moral anak-anak apabila meningkat remaja.

            Pengaruh persekitaran media massa, masyarakat dan budaya turut menjadi punca akan keruntuhan akhlak dikalangan remaja. Remaja umpama lalang yang masih lagi mentah dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar serta sukar untuknya membuat pilihan dan mencari pendirian hidupnya. Tayangan medai massa mengenai perkara yang dilihat sebagai satu imej yang buruk, mungkin sesetengahnya diakatakan untuk memberi pengajaran. Namun apa yang berlaku sebenarnya, kebanyakan anak muda remaja ini lebih suka mencuba dan mendedahkan dirinya untuk mengikut dan meniru aksi yang ditonton. Cara berfikir remaja dengan golongan dewasa berbeza, penilaian yang dibuat juga berbeza, maka dari sudut pandang itulah kita seharusnya memberi sedikit kelebihan kepada remaja untuk menyelami jiwa mereka. Jika mendatangkan keburukan kepada mereka, sepatutnya ia dijauhi dari diberikan kepada mereka.

Penyelesaian masalah

          Bagi golongan yang menggelarkan diri mereka pendakwah atau mereka yang ingin melaksanakan tuntutan Islam supaya mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, pada hari ini dilihat segelintirnya terlalu alergic melihat anak-anak remaja yang bermasalah. Sikap ini seharusnya dibuang jauh daripada pemikiran seorang daie. Mendekati mereka itu sangat perlu manakala menjauhi mereka mesti dilupakan. Sakitnya hati-hati mereka ini kadangkala berpunca daripada kesungguhan para daie yang dilihat tidak optimum dalam penyampaian dakwah mereka.

           Metodologi dakwah yang harus dilakukan untuk menangani masalah remaja kini, antaranya mengadakan program-program luar yang dilihat dapat menarik anak muda sekarang mengikut dorongan mereka. Sebagai contoh, mengadakan pengembaraan, mendaki gunung, jungle tracking, rehlah di pantai dan sebagainya yang harus dekat dengan jiwa mereka yang inginkan keseronokan. Tidak dilupakan setiap satunya disertakan nilai-nilai murni dan juga nilaian Islam.

Perlu diketahui akan hakikat remaja yang tidak suka dikongkong dan dikurung di dalam dewan-dewan program, di bilik-bilik kuliah hanya semata untuk mendengar motivasi, ceramah, kuliah dan sebagainya. Metod dakwah ini sudah lagi tidak relevan untuk dilaksanakan walau dengan pelbagai medium yang digunakan.

Para daie juga mestilah perlu untuk mengikuti dan mengjangkaui medium media massa sedia ada demi kelangsungan dakwah kepada golongan remaja. Tidak menjadi suatu masalah dan bebanan jika daie pada hari ini menggunakan media sebagai salah satu saluran terpenting untuk mereka melaksanakan tuntutan dakwah tersebut. Melihat kepada para daie yang terlalu syadid dengan medium ini menyebabkan dakwah mereka kadangkala tidak sampai dan kurang diterima oleh golongan remaja yang sangat memerlukan khidmat tersebut. 

           Televisyen, radio, website, blog, laman-laman sosial dan sebagainya merupakan salah satu medium yang banyak digunakan oleh golongan remaja masakini. Jika remaja mengatakan bahawa mereka up to-date, maka seorang daie juga harus lebih up to-date untuk mengikat hati-hati mereka dengan keindahan Islam. 

Tugas daie ini untuk meyakinkan mereka akan aqidah yang sohih, akhlak yang mulia, muamalah yang baik, kehidupan Islam yang teratur dan sebagainya. Seronoknya kehidupan mereka di alam remaja begitulah seronoknnya kehidupan mereka jika mengikut aturan Islam.
Selain daripada itu, kehendak golongan remaja ini menyebabkan kesesakan di kalangan para daie. Sinonimnya remaja adalah dengan apa yang hampir dengan mereka. Oleh kerana itu, saranan yang saya berikan adalah golongan remaja harus didekati oleh golongan daie muda. Mereka lebih mengetahui dan jelas dengan kehendak dan kemahuan para remaja kerana langkauan jarak hidup mereka tidak jauh berbeza. Apa yang berbeza hanyalah keinginan untuk Islam itu tidak dioptimumkan oleh para remaja hari ini. 
 
Cara dan metod mereka juga tidak boleh terlalu mengikut yang menjadi kebiasaan para daie dengan memberi ceramah, kuliah, diskusi dan sebagainya. Akan tetapi, cara tersebut bolehlah ditokok dengan suatu nilai tambah yang boleh menjadi ikutan remaja masakini. Kepelbagaian di dalam dakwah ini bakal menarik minat bukan sahaja golongan remaja malah setiap lapisan masyarakat yang melihat kepada apa yang cuba ditonjolkan oleh para daie tersebut. Misalnya boleh dilihat kepada cara berpakaian, cara bercakap, cara berjalan, sikap dan sifat yang ditunjukkan dan sebagainya.

           Kadangkala apa yang ditonjolkan itu lebih lagi menarik minat mereka untuk mengikut dan menurutinya. Sekurang-kurangnya apabila terbit rasa hormat di dalam diri mereka, ini lebih memudahkan daie untuk mendekati dan menyelami jiwa remaja. Sebab itulah, dakwah seorang daie muda itu amat diperlukan untuk menyampaikan risalah dakwah ini. Bukanlah golongan tua atau pendakwah yang sudah dikira berumur ini tidak lagi sesuai dengan remaja namun, saya yakin dan percaya bahawa penerimaan remaja terhadap golongan ini mungkin tidak lagi diberikan dengan sewajarnya atas alasan dan faktor zaman mereka tidak sama dengan zaman remaja masa kini.

Remaja ini samalah seperti anak kecil yang mahu ditatang dan diberi perhatian. Walau bagaimanapun, perhatian dan rasa ambil berat ini seringkali pula dirasakan mengongkong kehidupan mereka. Ibu bapa perlu mempunyai suatu sikap ambil tahu siapa kawan mereka, ke mana mereka pergi, apa program dan aktiviti yang mereka sukai, mendengar masalah, berkongsi cerita dan pandangan, bersua muka walau seketika dan sebagainya merupakan elemen pembantu untuk kita mendekati mereka dan memberi perhatian akan apa yang menjadi kegemaran mereka. 

Oleh itu, perhatian sewajarnya harus diberikan kepada remaja agar mereka berasa diperlukan dan ada kepentingan untuk mereka terus berada dalam kehidupan yang telah diatur dengan al-Quran dan sunnah.

Penerapan nilai-nilai Islam dan moral yang baik dalam kehidupan anak-anak juga membantu peningkatan para remaja untuk melalui lorong yang lurus. Institusi keluarga yang wujud pada hari ini harus memainkan peranan yang sangat penting seawal pembentukan keluarga. Keluarga muslim yang dibentuk ini haruslah ditekankan dengan ajaran dan aturan al-Quran dan as-Sunnah kerana hanya dengannya sebuah keluarga itu memiliki isi rumah yang akan menguntungkan Islam. Anak-anak remaja yang membesar dalam keluarga muslim yang dibentuk ini akan menjadi remaja contoh dan berguna untuk masyarakat dan juga agama. 

Oleh kerana itu, dakwah ini harus dilaksanakan dalam pelbagai medium dan pelbagai cara untuk mengikat hati-hati golongan remaja ini terutamanya dengan kecantikan dan keindahan hidup dengan sistem Islam. Bukan hanya menunggu seseorang yang digelar pendakwah untuk memainkan peranan tersebut akan tetapi setiap daripada kita harus mengambil ruang dan peluang ini untuk memberikan sesuatu yang bermakna kepada anak-anak remaja masakini. Hapuskan kelalaian mereka dan gantikan dengan kesungguhan taqwa kepada Allah SWT.

Read more...

Tuesday, May 4, 2010

Jahiliah moden kian menjadi-jadi..

Isu perlakuan tidak melambangkan tindakan umat bertamadun pada hari ini, boleh disifatkan sebagai tindakan primitif atau serupa pada zaman baginda Rasulullah s.a.w. di kalangan masyarakat 'jahiliah', malah terdapat daripada perbuatan itu sudah sampai peringkat yang mencemaskan banyak pihak.

Seorang motivator Islam, Syeikh Muhammad Qutb (adik Syahid Saiyid Qutb) dalam bukunya 'Jahiliah kurun kedua puluh', ada menegaskan, bahawa masyarakat jahiliah adalah mereka yang tidak memiliki akhlak mulia, budi bahasa, sopan santun atau sifat-sifat yang baik, yang menyembah dunia dan segala bentuk kebendaan, yang lebih tepat lagi tidak berkiblatkan akidah kepada Allah SWT.

Benarlah kenyataan yang pernah disebut oleh Khalifah agung, Sayidina Umar bin al-Khattab: "Sesungguhnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan terhakis satu demi satu, jika masih terdapat di kalangan orang Islam yang tidak mengenal erti jahiliah." 

Maksudnya, apabila wujud di kalangan orang Islam masih terikat dengan amalan jahiliah, akhirnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan keluar daripada dirinya sedikit demi sedikit, maka pada ketika itu dia tidak lagi menjadi manusia Muslim yang terikat dengan hukum-hukum Islam. 

Sebagai contoh, penampilan seorang artis wanita di atas pentas dengan membuat persembahan di hadapan ribuan penonton lelaki, pada ketika dia menyampaikan persembahannya, dalam keadaan bersolek, berwangian, tidak menutup aurat serta tidak memakai tudung kepala, berpakaian ketat, mungkin juga nipis atau jarang, kesemua itu adalah sebahagian daripada amalan jahiliah moden. 

Ia termasuk dalam urusan pentadbiran negara, apabila peraturan, undang-undang serta hukum-hukum Islam yang termaktub dalam al-Quran tidak menjadi sandaran dan rujukan untuk dilaksanakan, para pemimpin lebih rela mengutamakan undang-undang sivil, termasuk yang diceduk daripada fahaman Sekularisme, Kapitalisme dan Sosialisme. 

Maka apabila undang-undang itu menjadi pegangan dalam kehidupan bernegara, maka berlakulah krisis keyakinan terhadap Islam dalam diri orang-orang Islam itu sendiri, sorotan laporan akhbar arus perdana serta siaran berita mengesahkan jahiliah moden itu. 

Terdahulu kedengaran seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu membabi buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah di Damansara Damai menganggotai kumpulan 'Geng labah-labah' yang berorientasikan jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah, terlibat dalam minuman keras, isu mat serta minah rempit yang tidak berkesudahan, budaya lepak yang menggambarkan pelakunya seperti tidak memahami dan mengetahui hala tuju hidup sebagai orang-orang Islam. 

Lebih parah lagi apabila terdapat individu-individu bernama Islam yang membunuh mangsa dan meletupkan batang tubuh mayat bertujuan untuk menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga mangsa yang dirogol, kemudian dibunuh dan seterusnya dibakar. 

Begitu juga terdapat seorang anak yang menetak kepala ibunya sampai mati, seorang ayah yang merogol anak gadisnya (sumbang mahram), perlakuan memberi dan menerima rasuah, terlibat dalam urusan perjudian dan arak secara terang dan jelas, anak-anak luar nikah dicampakkan dalam tong sampah, dibuang di masjid dan bermacam-macam kes lagi. Tidakkah semua tindakan itu dianggap sebagai perlakuan amalan jahiliah moden yang lebih parah daripada jahiliah di zaman Rasulullah s.a.w. 

Justeru, tidak mustahil mereka akan ditimpakan dengan pelbagai musibah seperti yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud: "Umatku ini adalah umat yang disayangi Allah, sepatutnya ia tidak ditimpa azab pada hari Kiamat, tetapi di dunia lagi mereka ditimpakan dengan emapat perkara : Berlaku fitnah-fitnah yang banyak, gempa-gempa bumi, kematian/pembunuhan berlaku di mana-mana dan bala-bala daripada Allah SWT." (Hadis riwayat Sa'id al-Khudri) 

Jelas daripada apa yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w. itu, umat Nabi Muhammad ditimpakan azab, malapetaka, bencana semasa menjalani proses hidup di dunia lagi akibat tidak melakukan apa yang diperintahkan Allah ke atas mereka, kesimpulannya umat hari ini melakukan apa yang ditegah oleh Allah dan meninggalkan apa yang diarahkan oleh Allah ke atas mereka. 

Pada waktu itu, maka layaklah mereka ditimpa dengan pelbagai fitnah seperti terdapat orang Islam yang tidak memunaikan solat, ditimpa bencana alam seperti ribut petir, putting beliung, gempa bumi, banjir kilat, kematian berlaku di mana-mana dengan begitu mudah dan terdedah kepada pelbagai bentuk bala Allah. 

Tujuan semua itu ditimpakan ke atas mereka, agar manusia seluruhnya kembali kepada fitrah asal kejadian mereka yang dicipta daripada tanah, air mani yang busuk lagi hina, supaya meletakkan keyakinan tinggi untuk menjadi hamba Allah dan hanya beribadat kepada-Nya.
-Ustaz Zainudin Hashim-

Read more...

Aku Wanita....