Wednesday, March 31, 2010

Jom Muhasabah!

Salam Juang buat semua, kali ini entry saya adalah untuk mengajak kita semua sama-sama muhasabah kembali setiap bait mutiara kata di bawah ini. MOga-moga ada kebaikan buat kita semua di dunia dan di akhirat kelak. Jom kita hayati!! (^_^)







Dan yang paling penting untuk kita semua ialah.........(di bawah)


Sekian.....=) selamat maju jaya!

Read more...

Monday, March 29, 2010

Sesekali DiUji....

Agak lama tidak menulis, sorang teman ada jugak bertanya...al maklumlah, baru nak mula bertatih setelah sekian lama tidak memegang pena dengan tujuan yang serius dalam bidang penulisan ni. Apa pun, nasihat sahabat-sahabat supaya saya lebih serius di dalam penulisan sangat dihargai. InsyaAllah, tapi saya perlu ambik masa yang agak panjang kot..^_^


Seperti rakan dan sahabat yang lain, minggu-minggu terakhir ni biasalah bagi kebanyakan student. Masa inilah kalut nak menyiapkan assignment yang masih berbaki dan kajian2 lapangan yang sepatutnya sudah lama dilunaskan pada awal semester dulu. Walaupun saya percaya tidak semuanya begitu tapi saya boleh jamin kebanyakannya begitu… =)..



Dalam kekalutan tu, banyak juga ujian yang Allah beri untuk melihat kesabaran dan bagaimana untuk kita semua mengurus masa dan emosi. Dalam satu minggu, demam menyerang dua kali, tapi alhamdulillah sempat juga keluar bersama group untuk kajian lapangan kami di RS. Hari yang ceria walaupun kurang stamina namun saya gagahkan juga untuk bergelak tawa dengan rakan-rakan yang lain. Siap bawa pemandu lagi, tak larat nak memandu jauh2.

Apa pun, inilah masa Allah hendak manguji akan kesabaran dan kecerdikan hamba-hambaNya. Masa ini jugalah kita akan melihat betapa ramainya yang merungut, yang cepat naik marah, yang moody, yang sudah tidak hiraukan tanggungjawab ummah dan sebagainya. Sedih juga bila memikiran hal yang berlaku ini. Saban tahun perkara yang sama akan berlaku. Penyelesaiannya adalah kesedaran kita untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita tanpa lengah. Moga-moga tangan yang menaip ini dapat pengajaran daripadanya. (^_^)

Bila kita berbicara soal kesabaran ni, sering kita kaitkan dengan Rasulullah yang sungguh tabah dan sabar dalam menempuh tiap ujian dan dugaan daripada Allah Ta’ala walaupun perkara itu kadangkala sangat menyakitkan baginda. Acap kali juga kita ungkapkan sabar itu cantik, namun kurang sekali untuk kita ambil manfaat daripada kecantikan itu. Bukankah itu kecantikan semula jadi yang Allah kurnia?



Moga-moga dengan ini, kita semua sentiasa di bawah rahmat Tuhan disamping sentiasa dikurniakan rasa sabar yang mendalam dan hati yang kuat dalam apa jua keadaan dan situasi diri kita. Hati yg ‘Sakit’ + sabar = Natijah yg baik tanpa kita duga masanya (^_^)

Read more...

Sunday, March 28, 2010

Manafaat Diri...

8. Jatidiri ( Tajarrud )

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Jatidiri
Jatidiri ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda dan anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda kerana gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi.

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Al-Baqarah: 138)

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata. (Al-Mumtahanah: 4)

Bagi saudara yang jujur, manusia terbahagi kepada enam kumpulan:
1. Muslim yang berjihad.
2. Muslim yang berdiam diri.
3. Muslim yang melakukan dosa.
4. Ahli zimmi yang membuat perjanjian.
5. Manusia yang berkecuali.
6. Manusia yang memusuhi.

Bagi setiap kumpulan ini ada hukum yang tersendiri menurut neraca Islam. Pengkelasan ini akan menjadi landasan dalam menilai individu ataupun pertubuhan, sahabat ataupun lawan.

9. Persaudaraan (Ukhuwwah)

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Persaudaraan;
Persaudaraan itu ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.

Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr: 9)

Saudara yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri kerana segala hidupnya bersama mereka. Sedangkan mereka, jika tidak bersamanya akan bersama dengan orang lain. Serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. (Al-Taubah: 71)
Inilah yang sepatutnya kita lakukan.

10. Percaya (Thiqah)


Apa Yang Saya Dimaksudkan Dengan Thiqah;
Seorang tentera menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin hingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat.

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Al-Nisa': 65)

Pimpinan adalah sebahagian daripada dakwah. Dakwah pula tidak akan wujud tanpa pimpinan. Sejauhmana wujud hubungan saling percaya-mempercayai antara pimpinan dan tentera ini akan menentukan kekuatan sistem sesebuah jamaah, kekemasan strateginya, kejayaannya untuk mencapai matlamat dan sejauhmana ia mampu mengatasi segala rintangan dan cabaran.

Maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka. (Mereka selalu berkata: Pendirian kami) mematuhi perintah dan memperkatakan perkataan yang baik (yang diredhai Allah) (Muhammad: 20-21)

Dalam dakwah Ikhwan, seorang pemimpin ibarat seorang ayah dari segi hubungan hati, seorang guru dari segi penyaluran ilmu, seorang syeikh dari segi didikan rohani, seorang ketua dari segi menentukan dasar am dakwah. Dakwah kita menggabungkan semua elemen ini. Kepercayaan kepada pemimpin merupakan asas kepada kejayaan mana-mana gerakan. Oleh itu, setiap akh yang jujur perlu menyoal dirinya soalan-soalan berikut bagi mengetahui sejauhmana kepercayaannya kepada pimpinannya:

1. Adakah dia mengenali siapakah pemimpinnya sebelum ini dan telah mengkaji latar belakangnya?

2. Adakah dia yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya?

3. Adakah dia bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, di samping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik?

4. Adakah dia bersedia untuk merasakan kemungkinan bahawa pendapatnya salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak?

5. Adakah dia bersedia untuk meletakkan kehidupan hariannya di bawah telunjuk dakwah? Adakah pemimpin pada pandangannya berhak menentukan apa yang lebih penting antara kepentingan peribadinya dengan kepentingan dakwah?

Berdasarkan jawapan kepada soalan-soalan ini atau yang seumpama dengannya, seseorang akh akan meyakini sejauhmana hubungannya dengan pimpinan dan sejauhmana dia mempercayai kewibawaannya. Namun hati-hati manusia di tangan Allah dan Dia mentadbir hati-hati ini menurut kehendaknya.

Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal: 63)

Read more...

Friday, March 26, 2010

Taat & Thabat...

6. Taat


Apa yang Dimaksudkan dengan taat:
Taat ialah akur kepada perintah dan melaksanakan secara sepontan dalam keadaan sukar atau senang, rela atau terpaksa. Ini adalah kerana fasa dakwah ini ada tiga:

Pengenalan (Takrif)
Fasa ini dilaksanakan dengan menyebarkan fikrah Islam kepada masyarakat. Dalam fasa ini dakwah disusun melalui pertubuhan. Peranannya ialah bekerja untuk kebajikan masyarakat. Wahana atau wasilah yang digunakan adakalanya dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar, adakalanya dalam bentuk membina prasarana yang berguna untuk masyarakat dan pelbagai lagi wasilah yang praktikal. Semua cawangan Ikhwan yang wujud pada hari ini berada dalam fasa dakwah ini. Semuanya disusun oleh satu undang-undang asas yang dihuraikan oleh risalah-risalah dan akhbar-akhbar Ikhwan. Dakwah dalam fasa ini bersifat umum.

Dalam fasa ini, jamaah berhubung dengan sesiapa sahaja yang mahu mengambil bahagian dalam kerja-kerja jamaah serta bersedia berjanji memelihara dasar-dasar jamaah. Dalam fasa ini ketaatan penuh tidak diperlukan. Cukup sekadar ia menghormati sistem dan dasar am jamaah.

Pembinaan (Takwin)
Memilih individu-individu yang sesuai untuk memikul tanggungjawab jihad dan mereka kemudiannya digabungkan dalam saf. Dalam fasa ini, dakwah disusun menggunakan kaedah sufi sepenuhnya dalam sudut rohani dan menggunakan kaedah ketenteraan sepenuhnya dalam sudut amali. Slogan bagi kedua-dua sudut ini ialah “perintah dan taat” tanpa ada rasa teragak-agak, bersoal jawab, ragu-ragu dan keberatan. Katibah-katibah Ikhwan merupakan pelaksana kepada fasa dakwah ini. Sebelum ini katibah ini disusun menurut Risalah al-Manhaj dan sekarang risalah ini.

Dakwah dalam fasa ini adalah bersifat khusus. Dakwah hanya berhubung dengan orang yang sudah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab jihad yang akan berlangsung dalam tempoh yang lama dan menuntut pelbagai tanggungjawab. Tanda pertama kesediaan ini ialah “ketaatan mutlak”.


Pelaksanaan (Tanfiz)
Dakwah dalam fasa ini adalah jihad tanpa kompromi, kerja yang berterusan ke arah mencapai matlamat, ujian dan cubaan yang akan hanya ditempuh dengan sabar oleh mereka yang jujur. Kejayaan dalam fasa ini hanya akan diperolehi melalui “ketaatan mutlak”. Barisan Ikhwan al-Muslimin yang pertama memberikan baiah ialah pada 5 Rabiul Awal 1359.

Apabila anda bergabung dalam katibah ini dan menerima risalah ini serta berikrar dengan baiah ini anda telah berada di tahap kedua dan hampir dengan tahap ketiga. Oleh itu nilailah tanggungjawab yang anda laksanakan. Siapkanlah diri anda untuk memenuhi tanggungjawab ini.


7. Tabah ( Thabat )

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Tabah;
Tabah bermakna seorang akh terus menerus bekerja dan berjihad untuk mencapai matlamat walau sejauhmana tempoh yang ditempuh dan memakan masa bertahun-tahun lamanya, sehingga dia bertemu dengan Allah. Dia akan memperolehi dua kejayaan, sama ada dia mencapai matlamatnya atau dia mencapai syahid di akhir nanti.

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Al-Ahzab: 23)

Bagi kita, masa adalah salah satu penyelesai masalah. Jalan ini memang jauh apatah lagi apabila ia terpaksa melalui pelbagai peringkat dan pelbagai rintangan. Namun demikian ini sahaja jalan yang mampu membawa kita kepada destinasi kita. Ditambah pula dengan ganjaran dan pahalanya yang besar.

Ini kerana kesemua enam wasilah atau wahana kita memerlukan kita membuat persediaan yang rapi, menunggu masa yang sesuai dan merancang pelaksanaan yang teliti. Semua ini bergantung kepada masa.

Mereka bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi! (Al-Isra': 51) 

Read more...

Thursday, March 25, 2010

Jihad & Pengorbanan..

4. Jihad

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Jihad:
Jihad adalah satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Selain itu jihad juga ialah apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w.:
“Orang yang mati tetapi tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat untuk berperang dia mati dalam keadaan jahiliyah.”

Tahap pertama jihad ialah mengengkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah perang di jalan Allah. Di antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam. Dakwah ini tidak akan bererti tanpa jihad. Sehebat mana dan seluas mana dakwah ini sehebat itulah juga jihad yang diperlukan dan sebesar itu jugalah pengorbanan yang diperlukan untuk menyokong dakwah ini. Namun ganjarannya juga besar untuk mereka yang berusaha.

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. (Al-Haj: 78)
Dengan ini barulah anda faham apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan: “Jihad adalah jalan kami.”

5. Berkorban (Tadhiyyah)

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Berkorban:
Berkorban ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Sesiapa yang tidak mahu berkorban bersama kita dia akan menanggung dosa.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka. (Al-Taubah: 111)
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu… (Al-Taubah: 24)

Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah.. (Al-Taubah: 120)
Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik. (Al-Fath: 16)

Dengan ini anda memahami apakah yang dimaksudkan setiap kali anda melaungkan:
“Mati di jalan Allah adalah cita-cita utama kami.” 

Read more...

Wednesday, March 24, 2010

Ikhlas & faham...

2. Ikhlas

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Ikhlas:
Ikhlas ialah saudara muslim itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta atau kemasyhuran atau kedudukan atau pangkat atau kemajuan atau kemunduran. Ini bermakna dia merupakan pejuang fikrah dan akidah bukan memperjuangkan matlamat dan kepentingan peribadi.

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan. (Al-An‘am: 162-163)

Dengan ini saudara muslim akan memahami maksud apa yang sering dilaungkannya:
“Allah matlamat kami” dan “Allah Maha besar dan segala puji bagi Allah”.


3. Amal (Kerja)

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Amal:
Amal ialah hasil yang diperolehi daripada ilmu dan ikhlas.
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan. (Al-Taubah: 105)

Peringkat kerja yang perlu dilakukan oleh saudara yang jujur ialah:
1. Memperbaiki diri sendiri sehingga dia memiliki tubuh yang kuat, akhlak yang mantap, berpendidikan, mampu berdikari, akidah yang sejahtera, ibadah yang betul, bermujahadah melawan diri, menjaga masa, segala urusannya tersusun dan berguna kepada orang lain. Semua ini wajib bagi saudara semua.

2. Pembinaan keluarga muslim. Mendidik ahli keluarganya supaya menghormati gagasannya. Memelihara setiap adab Islam dalam setiap sudut hidup berumahtangga. Teliti ketika memilih isteri. Didik isteri tentang hak dan tanggungjawabnya. Didik anak dan pengasuh dengan baik dan besarkan mereka berdasarkan prinsip Islam. Ini juga wajib bagi saudara semua.

3. Membimbing masyarakat dengan cara mengembangkan aspek yang baik dalam masyarakat. Menghapuskan segala amalan yang tidak baik di samping menggalakkan amalan yang baik. Menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik. Bertindak segera melakukan kebajikan. Menagih sokongan masyarakat supaya berpihak kepada gagasan Islam. Sentiasa berusaha menyemai budaya masyarakat menurut budaya Islam. Semua ini wajib dilakukan oleh saudara semua dan oleh jamaah sebagai badan pelaksana.

4. Membebaskan tanahair dengan cara mengusir kuasa asing (bukan Islam) daripada menguasai aspek politik atau ekonomi atau moral.

5. Memulihkan kerajaan supaya benar-benar bercirikan Islam. Dengan itu kerajaan ini akan menjalankan peranannya sebagai khadam kepada rakyat atau orang upahan rakyat dan bekerja demi kepentingan rakyat. Kerajaan Islam ialah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam dan melaksanakan segala fardhu Islam dengan tidak berterus terang melanggar perintah Islam. Kerajaan ini sebagai pelaksana hukum dan ajaran Islam.

Namun tidak salah jika kerajaan ini meminta bantuan orang bukan Islam ketika keadaan terdesak tetapi bukan untuk melantik mereka sebagai pemimpin. Kerajaan ini tidak perlu terikat kepada bentuk atau jenis tertentu. Apa yang penting ia mesti bertepatan dengan dasar pemerintahan Islam.

Sifat-sifat kerajaan ini ialah peka dengan tanggungjawab, prihatin dengan nasib rakyat, bertindak adil kepada semua, menjaga harta negara dan berjimat ketika menggunakannya.
Tanggungjawab kerajaan ini ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, memberikan pendidikan kepada rakyat, membina kekuatan negara, menjaga mutu kesihatan, memelihara kepentingan rakyat, membangunkan sumber negara, menjaga keselamatan sumber negara, memantapkan akhlak rakyat dan mengembangkan dakwah.

Hak kerajaan (setelah menunaikan tanggungjawabnya) ini ialah rakyat perlu memberikan kesetiaan dan ketaatan. Kerajaan ini perlu dibantu dengan nyawa dan harta.
Jika kerajaan ini cuai, ia perlu dinasihat dan ditunjuk ajar. Jika tidak ia perlu dipecat dan disingkir. Tidak dibenarkan mentaati makhluk untuk menderhakai Allah.

6. Mewujudkan kembali sebuah negara untuk umat Islam dengan cara memerdekakan semua tanahair umat Islam, menghidupkan semula sejarah kegemilangan mereka, merapatkan jurang budaya mereka dan menyatukan suara mereka sehinggalah muncul kembali khilafah Islam yang telah lama lenyap dan lahir semula perpaduan umat Islam yang dicitakan.

7. Menjadi tonggak dunia ( ustaziatul ‘alam ) dengan cara menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. (Al-Anfal: 39)
Sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya. (Al-Taubah: 32)

Empat peringkat yang terakhir ini wajib dilaksanakan oleh sebuah jamaah dan oleh setiap saudara dengan kedudukan mereka sebagai anggota jamaah. Betapa beratnya tanggungjawab ini dan betapa besarnya peranan ini. Manusia akan melihat semua ini suatu khayalan namun saudara muslim melihatnya sebagai suatu kenyataan. Kita tidak akan berputus asa dan tetap menaruh harapan yang tinggi kepada Allah.

Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf: 21)

Read more...

Tuesday, March 23, 2010

Yang Utama...

Assalamulaikum kepada semua. Pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak 10 perkara utama yang telah  ditulis oleh al-Imam Hassan al-Banna untuk mereka yang bergelar 'penggerak' kepada gerakan Islam. Moga dapat dihayati dan difahami dengan sebaiknya..

1. Faham

Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Faham:
Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:

1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.

2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai.

3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.

4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma'thur.

5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian ( ta'abbud ) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.

6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan..

7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu' hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.

8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.

9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.

10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.
Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. (Aali Imran: 7)

11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.

12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.

13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (Yunus: 63)
Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.

14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk.

15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.

16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.

17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.

18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat.
“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”

19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.

20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu -sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur.

Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya:
“Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.” 
Bersambung...

Read more...

Monday, March 22, 2010

GERAKAN ISLAM (TUNTUTAN DAN PRINSIP)


Dunia Islam pada hari ini sedang menghadapi berbagai-bagai permasalahan yang mengongkongi segenap kehidupan orang-orang Islam. Permasalahan ini berpunca daripada kejahilan serta kelalaian ummat Islam sendiri terhadap agama yang mereka anuti itu. Akibat daripada itu maka timbullah berbagai-bagai fahaman assabiyyah dan sekular. Kepercayaan ini telah merosakkan asas aqidah ummat Islam sehinggalah mereka berpecah belah dan berhasad dengki di antara satu sama lain. 

Keadaan ini telah memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan atau melemahkan mereka semua sehingga mereka sudah tidak terdaya lagi untuk bangun menyuarakan kebenaran Islam. Kekuatan mereka menjadi lemah dan musuh-musuh Islam datang dari segenap penjuru menyerang mereka dan melakukan segala bentuk kekejaman terhadap umat Islam. Islam tidak merelakan semua ini terjadi dan melihat kaum muslimin menyerah kalah dan tunduk berlutut di hadapan musuh-musuh Allah dalam keadaan yang terhina dan memalukan.

Oleh kerana itu Islam telah mewajibkan kepada penganutnya supaya bangkit semula dari kejatuhan yang memalukan itu untuk terus berusaha, beramal dan berkorban apa sahaja untuk membela Islam yang suci ini. Mereka hendaklah terus berjihad pada jalan Allah untuk menegakkan agama Allah dan membangunkan semula Daulah Islamiyyah di atas muka bumi ini.

Banyak terdapat nas-nas yang mengandungi kewajipan meneruskan jihad dan berada di dalam Jamaah, di antaranya adalah sebagaimana berikut :

 1 - Firman Allah Taala di dalam Al Qur’an :
Maksudnya:
" Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu ( pejuang-pejuang ) kepada agama Allah sepertimana pernah diucapkan oleh Isa anak Maryam kepdda pengikut-pengikutnya yang setia : Siapakah pembantu-pembantu aku ke jalan Allah, lalu berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia: Kamilah pembantu-pembantu agama Allah : Maka berimanlah sebahagian daripada Bani Israel dan kufurlah sebahagiannya yang lain, maka Kami memberi pertolongan kepada golongan yang beriman lalu mereka menang dalam pertarungan menentang musuh mereka."

2 - Individu yang telah memilih untuk beramal di dalam Jamaah Islamiyyah wajib berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang mempunyai keimanan yang teguh terhadap amal jama’i dengan segala tuntutannya, sehingga tugas yang penting ini menjadi sebati serta dapat menguasai dirinya. 

Di dalam surah Al Hajj ayat 77 - 78 Allah Taala telah berfirman :
Maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solah) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah ‘amal-’amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu kejalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (Untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama (ikutilah) agama bapa kamu Ibrahim dan Dia menamakan kamu orang-orang lsla semenjak dahulu dan dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang- orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia tentang yang benar dan yang salah. Oleh itu dirikanlah solah dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah pelindungmu, maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan."

3- Setiap individu yang telah menggabungkan dirinya dengan Jamaah Islamiyyah mestilah menyampaikan Islam kepada semua lapisan masyarakat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Mereka ini mesti memperkembangkan idea atau fikrah Islamiyyah kepada ummat manusia agar mereka itu mahu kembali menghayati Islam yang Syumul di dalam segenap kehidupan mereka. Kewajipan ini jelas sebagaiamana yang terdapat di dalam sabda Rasulullah S.A.W., antara lainnya Baginda telah bersabda :

Maksudnya :
" Orang-orang yang hadir pada hari ini hendaklah meyampaikan kepada orang yang tidak hadir."

4 - Penerusan di dalam melaksanakan tuntutan yang maha suci ini adalah menjadi tanggunjawab terhadap ummat Islam seluruhnya. Penerusan ini terus wujud, walaupun golongan yang mengambil tanggungjawab ini ditindas dan ditekan dengan begitu hebat namun mereka terus mara sampailah kepada penghujungnya, iaitu golongan yang terakhir yang memerangi dajjal. Rasulullah S.A.W. telah bersabda, antara lainnya ialah :

Maksudnya :
" Akan terus wujud segolongan dari kalangan ummatku yang terus berjuang secara berterus terang di atas jalan yang benar menentang mereka-mereka yang menyanggahinya, sehinggalah yang terakhir di kalangan mereka memerangi dajjal."

Read more...

Aku Wanita....