Friday, September 16, 2011

Akhlak Umpama Bunga

"bajailah akhlaq, pupuklah khuluq..moga akan tersirna seorang insan yang kental iman dan taqwanya...


Bila bercakap tentang sekuntum mawar, bayangan indah, harum akan tergambar di benak kalangan kita. Mawar adalah sekuntum bunga yang bukan sahaja indah dan cantik, bahkan harum pula. Ramai yang sukakan bunga ini. Lelaki atau perempuan semua suka. Cuma kekadang lelaki agak egois untuk mengakuinya. Biasalah... kan guys?! Gimme five!!


Dalam hidup bermasyarakat dan bersahabat, kita jadikanlah diri kita sebagai bunga yang disukai oleh semua orang. Bukan senang untuk mencuri hati semua orang ni. Lain manusia lain sifat dan perangainya, kan? Tapi walau apapun manusia, mereka tetap punyai fitrah yang sama. Mungkin kulit mereka tak sama, atau jam tangan mereka tak serupa, tetapi fitrah mereka sama dan serupa. 


Fitrah manusia sukakan akhlak yang mulia. Akhlak yang mulia umpama bunga mawar yang disukai oleh setiap orang. Lihatnya pun dah sejuk hati, bahkan kasih sayang pula ditebarkan luas-luas untuk dinikmati bersama. Akhlak mulia seperti selalu menghormati orang tua yang lemah, mengasihi kanak-kanak, menghargai kaum perempuan,tidak menyakitkan hati orang lain, bercakap dengan nada yang lembut, murah dengan senyuman dan macam-macam lagi adalah contoh akhlak yang disukai oleh semua manusia walau siapapun mereka. Bukan saja manusia, kucing, kerbau dan lembu susu pun suka kalau kita tidak menyeksa mereka. 


Akhlak dalam Islam mempunyai kedudukan yang tinggi. Akhlak termasuk dalam perkara-perkara yang asas dalam Islam dan tidak dibenarkan berlaku perselisihan pendapat padanya seperti mana persilisihan pendapat yang berlaku dalam cara dan rukun ibadah seharian seperti solat, wudhuk, zakat dan sebagainya. Akhlak diletakkan dalam priority agama dalam ranking yang kedua selepas akidah. 





Bahkan Tuhan sendiri dalam al-Quran, menyatakan bahawa tujuan Rasulullah diutuskan ke pada umat manusia ialah untuk menyempurnakan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat. Memang masyarakat, pada fitrahnya adalah berakhlak mulia, tapi kedatangan Rasulullah adalah sebagai menyempurnakan lagi dan memperkukuhkan lagi nilai akhlak dalam masyarakat. 


Bagaimana akhlak yang baik boleh lahir? Sekuntum bunga yang mekar lahir daripada pohon yang subur dan sihat. Begitulah akhlak mulia, ia lahir daripada tapak IMAN kepada Allah yang kukuh. 


Rasulullah pernah menyatakan bahawa: "Kamu tidak akan masuk syurga jika kamu tidak beriman, dan kamu tidak dikira beriman jika kamu tidak berkasih sayang...." Ini bermaksud ada perkaitan antara IMAN dan akhlak. Jika Iman itu baik, akan lahirlah akhlak yang baik. Jika iman tak baik, akan lahirlah akhlak yang tak baik. Akhlak adalah manifestasi daripada Iman yang teguh pada Allah. 


Iman pada Allah ialah percaya bahawa Allah adalah tuhan dan kita adalah makhluk ciptaanNya. Semua manusia adalah sama di sisi Allah. Dengan mengakui ketuhanan Allah, secara automatik rasa ego, bangga diri, rasa diri hebat, menghina orang lain, merendahkan orang lain akan terhapus dengan sendirinya. Bila rasa-rasa ini terhapus, rasa hormat, rasa kasih, rasa sayang, rasa bangga dengan orang lain akan datang dengan sendirinya. 


Orang yang berakhlak mulia, akan disukai oleh semua orang. Pandai mengambil hati manusia lain sekalipun emosi sendiri terpaksa dikorbankan. Memang sukar untuk menjadikan kita disukai oleh orang. Cakap soal akhlak yang baik adalah senang, tapi bagaimana untuk berakhlak itu adalah sangat susah. 


Ruangan mahmudah, akan menumpukan bagaimana untuk anda mengambil hati orang lain, dan menjaga perhubungan anda sesama manusia dalam pelbagai keadaan. Dalam satu situasi mungkin anda ingin menegur rakan, dalam situasi lain, anda ingin menarik perhatian rakan, situasi lain, anda mahu rakan anda suka pada anda, anda mahu dihormati, anda mahu dihargai, juga mahu menghormati dan menghargai, atau mungkin ada ketika terdapat pertembungan antara kepentingan diri, atau perjuangan dengan menjaga hati sahabat atau masyarakat. 


Persoalan-persoalan sebegini cukup sulit untuk kita hadapi dalam kehidupan. Insya Allah, pada keluaran akan datang kita akan bincangkan satu persatu tentang cara kita berhadapan dengan persoalan ini. 


Sebelum itu, tanamkan iman kepada Allah dengan sepenuh kepercayaan, yakin dengan janji Allah seperti kematian, ujian hidup, akhirat, malaikat, jin dan syaitan. Tanamkan bahawa ketaatan pada Allah adalah kunci akhlak yang mulia, patuhilah peraturan Allah demi menjamin keamanan dan keharmonian yang kita sendiri idamkan. 


Sebagaimana kita ingin menjadi idaman seseorang begitulah orang lain ingin menjadi idaman kita. Sebagai mana kita tidak mahu menjadi kebencian orang, begitulah orang lain tidak mahu menjadi kebencian kita. Sebagai mana kita mahu disayangi, begitulah juga orang lain mahu disayangi. Jika semua mahu disayangi, siapakah yang mahu menyayangi? Jika semua mahu dihormati siapakah yang akan menghormati? 


*"jika tidak dapat apa yang kita suka...belajarlah untuk menyukai apa yang kita dapat.."


Ismi Safiza_hanan.com.my

Read more...

Aku Wanita....