Tuesday, December 14, 2010

Don't Forget!!

SUDAH lumrah manusia sentiasa alpa selagi tidak diberi peringatan yang mengakibatkan hilanglah kenikmatan hidup dan barulah mula mengingati Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) 

SIHAT SEBELUM SAKIT
Ketika sihat, hamba Allah harus mengenang nikmat dikurniakan ke atas dirinya dengan membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan mereka yang terlantar sakit.

Ini pasti membantu kita untuk insaf dan berusaha mengisi masa sihat dengan cara membanyakkan ibadat.

KAYA SEBELUM MISKIN
Pengisiannya ialah menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan, terutama di dalam kehidupan akhirat seperti membantu mereka yang kesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak yatim, orang miskin, menunaikan haji dan berzakat.

LAPANG SEBELUM SEMPIT
Sebahagian besar umat Islam terarah akal mereka kepada kegiatan atau aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata ketika masa lapang.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah SWT, bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas.

MUDA SEBELUM TUA
Umat Islam kini lemah kerana generasi mudanya lebih gemar kepada perkara yang mendatangkan keuntungan duniawi.

Akibatnya, mereka leka dalam mengejar kesenangan hidup tanpa memikirkan kesan di hari tua.

Mereka seolah-olah tidak sedar kudrat yang kuat pada masa muda lebih mampu melakukan perkara mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri selain masyarakat Islam keseluruhannya jika digunakan sebaik-baiknya.

HIDUP SEBELUM MATI
Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah.

Jika didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya.

Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah SWT.

Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.

Justeru, demi memperoleh keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat Islam perlu mengambil peringatan Rasulullah.

Firman Allah SWT: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

0 comments:

Post a Comment

Aku Wanita....