Thursday, January 6, 2011

Solat seorang Anak Muda

Tersebutlah kisah di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.
Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita”, kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye”, jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” , sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “Sekadar ingin berkenalan. Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat. Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar di tempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”, jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai. Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

“Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja”, Jawab Syeikh sambil tersenyum.

“Baik, dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahawa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

"Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi, apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira apabila melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya, “Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?” Ahmad menjawab dengan yakin, “Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini.”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engkau benar-benar menunaikan janjimu.”

“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”.

“Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan. Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan.”

“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan, kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar.”

“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan.”

“Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.

“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.

“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“Baguslah begitu. Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

“Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”.

“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh,” jawab Ahmad dengan penuh semangat.

“Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami. Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad. Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah. Lari daripada jalan kebenaran.

Read more...

Tuesday, January 4, 2011

TIPS Kecantikan Alami...

"Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.
Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:
1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. 
Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.
2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). 
Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
3.Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan
Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. 
Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?
4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. 
Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan .a' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (.a') tidak akan mencium bau syurga. .a' adalah satu unsur dari syirik (khafi). 
Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.
5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita.


Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. 


Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Read more...

Monday, January 3, 2011

Strategi Syaitan Menjerumuskan Manusia


Sebelum kita mengetahui strategi syaitan menjerumuskan manusia, ada baiknya terlebih dahulu mengetahui Visi dan Misi syaitan. Visi syaitan adalah memperbudakkan manusia dan Misinya adalah membuatkan manusia lupa kepada Alah SWT.

Antaranya sebabnya adalah;

1. Waswasah
Waswasah ertinya membisikkan keraguan pada manusia ketika melakukan kebaikan atau amal soleh. Saat kumandang azan subuh dan tubuh kita masih dililit selimut, terbit dalam fikiran kita, "Nanti lima minit lagi la". Ini adalah waswasah. Kenyataannya bukan lima minit tapi satu jam, akhirnya Solat Subuh terlambat bahkan tidak solat.

2. Tazyin
Tazyin ertinya membungkus kemaksiatan dengan kenikmatan. Segala yang berbau maksiat biasanya terlihat indah, Misalnya, mengapa orang yang bercinta lebih mesra daripada suami-isteri? Jalan-jalan saat bercinta lebih mengesankan daripada setelah menikah. Ini kerana ada unsur tazyin. Bercinta (dgn larangan) itu maksiat, sementara nikah itu ibadah. Maksiat disulami oleh syaitan sehingga terasa lebih indah, nikmat dan mengesankan. Inilah yang disebut strategi tazyin. 

3.Tamanni
Tamanni ertinya memperdaya manusia dengan khayalan dan angan-angan. Pernahkan terbit niat akan Solat Tahajjud saat merebahkan badan di tempat tidur? Namun pada jam tiga saat loceng berbunyi, kita cepat-cepat mematikannya lalu meneruskan tidur.
Pernahkan kita ingin bertaubat? Namun pada saat maksiat ada di depan mata, kita tetap saja melakukannya. Ironinya ini berlangsung berkali-kali. Inilah yang disebut strategi tamanni. 

4. A'dawah
A'dawah ertinya berusaha menanamkan permusuhan. Syaitan berikhtiar menumbuhkan permusuhan di antara manusia. Biasanya permusuhan berawal dari prasangka buruk (su'uz zhan). Supaya manusia bermusuhan, syaitan biasanya menumbuhkan prasangka buruk.Kerana itu waspadalah kalau kita berprasangka buruk pada orang lain, sesungguhnya kita telah terperangkap di dalam strategi syaitan. 

5. Takwif
Takwif ertinya menakut-nakuti. Pernahkah merasa takut miskin kerana menginfakkan sebagian harta, takut disebut si alim kerana datang ke majlis ilmu? Kalau kita pernah merasakannya, inilah strategi takwif.


6. Shaddun
Shaddun ertinya usaha menghalang manusia menjalankan perintah Allah dengan menggunakan berbagai hambatan. Pernahkah anda merasa malas saat mahu melakukan solat, atau mengantuk saat membaca Al Qur'an meskipun sudah cukup tidur? Ini adalah gejala shaddun dari syaitan. 

7. Wa'dun
Wa'dun ertinya janji palsu. Syaitan berusaha memujuk manusia agar mahu mengikutinya dengan memberikan janji-janji yang menggiurkan. Akhirnya manusia mempercayainya. Misalnya, banyak kejadian seorang wanita menyerahkan dirinya pada si lelaki kerana dijanjikan akan dinikahi, namun setelah hamil si lelaki meninggalkannya begitu sahaja. Dia tidak mahu bertanggung jawab. Inilah contoh wa'dun atau janji palsu dari syaitan. 

8. Kaidun
Kaidun ertinya tipu daya. Syaitan berusaha sekuat tenaga memasang sejumlah perangkap agar manusia terjebak. Pernahkah saat diberi tugas, kita berfikir nanti saja mengerjakannya kerana waktu masih panjang? Ternyata setelah dekat waktunya kita mengerjakannya dengan sambil lewa dan tergesa-gesa sehingga hasilnya tidak optimis atau ada kemunginan pada waktu yang ditentukan kerjanya masih lagi tidak selesai. Strategi ini disebut kaidun. 

9. Nisyan
Nisyan ertinya lupa. Sesungguhnya lupa itu adalah hal yang manusiawi atau fitrah. Lupa memang sesuatu hal yang fitrah, tetapi syaitan berusaha agar manusia menjadikan lupa sebagai alasan untuk menutupi tanggungjawab. Pernahkan kita lupa menunaikan janji? lupa solat? Kalau sesekali itu boleh juga disebut fitrah, tetapi kalau sering dilakukan bererti terjebak dengan strategi nisyan.

Demikian ringkasan tentang strategi syaitan. Semoga kita dapat mencermati dan berusaha agar tidak terjebak strategi syaitan laknatullah (syaitan yang dilaknat Allah)

Read more...

Tuesday, December 14, 2010

Don't Forget!!

SUDAH lumrah manusia sentiasa alpa selagi tidak diberi peringatan yang mengakibatkan hilanglah kenikmatan hidup dan barulah mula mengingati Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) 

SIHAT SEBELUM SAKIT
Ketika sihat, hamba Allah harus mengenang nikmat dikurniakan ke atas dirinya dengan membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan mereka yang terlantar sakit.

Ini pasti membantu kita untuk insaf dan berusaha mengisi masa sihat dengan cara membanyakkan ibadat.

KAYA SEBELUM MISKIN
Pengisiannya ialah menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan, terutama di dalam kehidupan akhirat seperti membantu mereka yang kesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak yatim, orang miskin, menunaikan haji dan berzakat.

LAPANG SEBELUM SEMPIT
Sebahagian besar umat Islam terarah akal mereka kepada kegiatan atau aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata ketika masa lapang.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah SWT, bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas.

MUDA SEBELUM TUA
Umat Islam kini lemah kerana generasi mudanya lebih gemar kepada perkara yang mendatangkan keuntungan duniawi.

Akibatnya, mereka leka dalam mengejar kesenangan hidup tanpa memikirkan kesan di hari tua.

Mereka seolah-olah tidak sedar kudrat yang kuat pada masa muda lebih mampu melakukan perkara mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri selain masyarakat Islam keseluruhannya jika digunakan sebaik-baiknya.

HIDUP SEBELUM MATI
Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah.

Jika didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya.

Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah SWT.

Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.

Justeru, demi memperoleh keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat Islam perlu mengambil peringatan Rasulullah.

Firman Allah SWT: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Read more...

Thursday, December 2, 2010

Hati yang Penuh Cinta

Umum mengetahui bahawa hati merupakan penentu tindakan seseorang sama ada bertindak secara rasional atau tidak.Dalam ayat yang mudah sama ada segala tindakan yang dilakukan itu merupakan satu tindakan yang menjurus ke jalan yang diredhai Allah atau sebaliknya. Hati juga adalah raja dalam kerajaan diri.
Tanyalah diri kita, adakah segala kebaikan yang dilakukan selama ini dikuasai oleh hati yang mengikut telunjuk syaitan atau pun hati yang benar-benar ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah. Betapa sukarnya mendidik hati yang sentiasa menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan ini.

Itulah peperangan yang perlu dilalui oleh setiap mukmin bagi mendapatkan qalbun salim. Sudah pasti setiap mukmin tidak mahu menyimpan hati yang sakit, hati yang dikuasai oleh sifat mazmumah serta begitu sedikit atau tipis sifat mahmudah yang bertandang dalam diri. Begitu juga dengan hati yang mati, hati yang tiada nur, hati yang penuh dengan titik-titik dosa atau noda yang pasti membuatkan manusia itu lupa atau lalai dengan tujuan hidupnya di dunia.

Bagaimana hendak mendapatkan hati yang dilimpahi nur-Nya yang dapat mengubah kehidupan manusia itu sendiri? Bagaimana hendak berdakwah sesama mukmin, begitu juga dengan ahli keluarga sendiri yang kadang-kala terlalu banyak dugaannya berbanding orang lain yang harus dijalani?

Pokok pangkalnya semuanya berpunca dari hati, hati yang cintakan sesama Islam, sesama saudara seagama, kaum keluarga, hati yang ingin mengubah diri, hati yang mencintai kebaikan. Tetapi mampukan kita istiqamah kerana terlalu besar peperangan dengan syaitan ini. Sama ada kita mampu melaluinya atau tidak, itulah kehidupan yang perlu dilalui dan dijalani.

Bagaimana hendak memperoleh hati yang sejahtera ini? Hati yang sejahtera dari syirik, syak, was-was, hati yang sejahtera dari bintik hitam dosa, hati yang sejahtera dari cinta kepada dunia serta hati yang sejahtera dari sifat mazmumah? Adakah hanya memadai dengan solat, dan membaca Al-Quran semata-mata?

Bagaimana pula dengan niat semasa mengerjakan ibadah tersebut? Adakah kerana inginkan pujian manusia? Atau adakah kerana sebab-sebab lain? Pokok pangkalnya bagi memperoleh hati yang sedemikian rupa adalah dengan keikhlasan yang amat tinggi dalam hati kita. Hanya dengan ikhlas melakukan ibadah dan amalan kebajikan dapat membentengi diri dan menjadi pendinding daripada hasutan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW: Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu". Peganglah hadis ini, semoga menjadi dorongan dan pedoman serta panduan kepada kita.

Bagaimana hendak membentuk hati yang sejahtera? Semoga Allah memberi kita kelapangan masa dan peluang bagi mempelajari ilmu berkaitan hati. Muhasabahlah diri kita, jangan memandang hina kepada sesiapa pun walau kepada manusia yang berperangai buruk sekalipun.

Aturlah masa sebaik-baiknya kerana;
Demi masa:Sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. -Surah Al-Ashr.

Jagalah makan dan minum kita dari makan yang haram dan syubhat. Di sekeliling kita, manusia terlalu terdedah dengan makanan-makanan segera. Marilah sama-sama kita mengimarahkan masjid,beristighfar dan bertaubat, memelihara diri daripada dosa, membuang sifat mazmumah, berjihad melawan nafsu,menyuburkan amalan soleh, bersahabat dengan orang soleh, istiqamahkan zikir dan Al-Quran, sentiasa mengingati mati dan paling utama berdoa kerana doa itu senjata mukmin.

Akhir kata, berusahalah kita mendapatkan nur yang gemilang bagi hati. Semoga kita tergolong dalam manusia yang dipilih oleh Allah ke jalanNya. Marilah kita bersama-sama istiqamah dalam segala amalan kita, meskipun kita mendapat cacian orang sekeliling kerana sesungguhnya amalan yang ikhlas pasti dapat membantu kita mendapatkan qalbun salim.
- Artikel iluvislam -

Read more...

Aku Wanita....