Wednesday, October 6, 2010

Jangan Salahkan Mereka

Assalamualaikum. Alhamdulillah masih lagi diberi kesihatan oleh Allah Rabbul ‘izzati. Lama sungguh tidak menulis, taman ini dibiarkan kosong sebarang pengisian sebagaimana hati kita juga kosong tanpa diisi dengan makanan ruhani. Bagaimana perut yang lapar memerlukan makanan seperti nasi, air, sayur, buah dan sebagainya, begitulah juga dengan hati dan akal manusia yang memerlukan makanan ruhani seperti solat, puasa, sedekah, zikir dan sebagainya. di bawah penulis sekadar ingin berkongsi sedikit berkaitan uslub dakwah secara santai. titiplah ilmu tersirat yg sedikit ini.

Tidak cukup sekadar kita melaksanakan perintah Allah yang wajib, malah sebagai hamba yang sangat jauh dari Tuhannya memerlukan satu pengorbanan yang tinggi untuk kita kecapi kebahagiaan di dunia ini. Kadang kala terfikir, mengapa hati ini selalu benar ingin mencintai dunia melebihi akhirat yang terbentang. Maknanya, masih ada lagi dicelah-celah hati manusia ini yang tidak dapat menghadirkan ikhlas di dalam dirinya untuk mencintai Allah.

Menjadi generasi rabbani pada masa akan datang menjadi sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan apabila pengurusan manusia di dunia ini tidak dapat diuruskan dengan baik. Pengurusan individu, pengurusan keluarga, pengurusan masyarakat dan seisinya (Negara). Perkara pokok yang perlu diambil perhatian ialah akar yakni Islam.

Fitrah manusia ialah agamanya, tidak boleh tidak manusia perlu hidup di dalam lingkungan agamanya. Menyedari hal ini, pelbagai isu sosial dan kegawatan sikap manusia hari ini dapat diselamatkan hanya dengan agama. Al-Quran yang dijadikan panduan itu adalah janji-janji Allah yang tidak pernah DIA mungkiri. Malah, kitalah yang menentukan sama ada mahu ikut atau mengabaikan sahaja segala perintah dan janji Allah di dalam kitab agung tersebut.

Seorang muslim itu berperanan dalam menyampaikan kebaikan kepada orang lain, namun kini tidak semua muslim itu mukmin. Juga tidak semua muslim itu menyedari hakikat sebenar diri dan agamanya di sisi Allah Ta’ala. Mereka bangga punya agama tetapi tidak melangsaikan hutang-hutangnya kepada Maha Pencipta.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh sewenang-wenang menuduh atau menyalahkan muslim tersebut sedangkan mereka tidak tahu. Adalah menjadi tanggungjawab kita yang tahu untuk menyedarkan mereka dan seterusnya dapat membantu kita pada hari ini. Jika dilihat kembali, berapa ramai golongan seperti ini membantu dari sudut gerak kerja dakwah. Alhamdulillah dan muslim seperti ini harus didekati dan difahami bukanlah disalahkan tanpa usul periksa.

"Malu Itu Tidak Datang Kecuali Dengan Membawa Kebaikan" (Riwayat Bukhari & Muslim)

0 comments:

Post a Comment

Aku Wanita....