Saturday, March 20, 2010

WANITA....


Wanita..

"Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan".

"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya."

"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh."

"Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak- anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya."

"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya."

"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu."

"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan."

"Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya.Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat dimana cinta itu ada."

Read more...

Friday, March 5, 2010

Sahabat Yang Mana Satu???

PEPATAH Melayu pernah menyatakan, “Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.” Pepatah ini membawa makna mendalam dalam erti kata sebenarnya. Tentulah dalam konsep kehidupan orang Melayu sahabat itu penting, selain daripada kekasih yang satu dan setia. Setiap insan di dunia ini memerlukan teman hidup. Sejak sejarah awal Adam lagi perlukan Hawa dalam kehidupannya. Sahabat ialah teman yang wujud sepanjang kehidupan seseorang.

Sejak zaman kanak-kanak hinggalah ke akhir hayat, sahabat penting dalam putaran kehidupan insan. Ada yang menyatakan sahabat lebih penting daripada wang. Jika kita tiada wang dan mempunyai ramai sahabat, mereka tentu boleh menolong. Imam Syafie pernah berkata, “Bersahabat dengan orang yang tidak takut celaan itu sebenarnya lebih tercela.”
Jelaslah dalam memilih sahabat kita mesti berhati-hati serta pandai memilih sahabat yang memberi manfaat dan faedah kepada kita.

Imam Syafie juga menyatakan,
“Tanda persahabatan itu hendaklah menjadi teman terhadap teman sahabatnya dan menjadi musuh terhadap musuh sahabatnya.”

Ada sahabat yang setia dan sentiasa berusaha membawa kebaikan dalam hidup rakannya. Sahabat sebeginilah adalah sahabat sejati. Sementara ada sahabat yang hadir ketika gembira dan membawa ke arah keburukan. Jauhilah sahabat seperti ini. Ramai tidak menyedari kepentingan bersahabat. Ia dianggap sebagai suatu kebetulan yang hadir silih berganti. Sebenarnya kawan dan sahabat ada peranannya sendiri.

Di kalangan remaja, sahabat memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi manusia. Sahabat juga mempengaruhi kehidupan seseorang remaja dan menentukan arah masa depan mereka. Sahabat biasanya datang daripada lingkungan usia hampir sama, alam persekolahan, minat dan masalah yang dihadapi juga serupa. Sahabat juga biasanya mempunyai minat dan kecenderungan yang sama. Biasanya bagi remaja, apabila timbul masalah membabitkan persekolahan dan peribadi, sahabatlah tempat mencurahkan isi hati. Kebiasaannya, masing-masing akan mencurahkan masalah, mengeluarkan pendapat dan menjadikan persahabatan semakin akrab.

Seterusnya, remaja akan cuba menyesuaikan diri dengan cita rasa rakan atau sahabat mereka. Di sinilah terbentuknya peribadi secara tidak langsung. Sahabat karib biasanya mempunyai personaliti hampir sama. Remaja yang bijak dan berpandangan jauh akan memilih sahabat karib di kalangan remaja mempunyai kebolehan lebih daripadanya dalam bidang akademik. Keadaan itu boleh membantu memajukan personaliti atau diri seseorang. Membuang sikap yang tidak disukai dalam melakukan sesuatu yang disenangi kedua-dua pihak akan menjadikan seseorang itu lebih sesuai dalam menjalin persahabatan.



Seorang sahabat baik mestilah sentiasa menjaga adab ketika berbicara dengan sahabatnya, berlemah lembut, berbuat baik, bersifat warak, bersikap benar dan membuat kebaikan kepada sahabat.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Hai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Hujurat, ayat 13)

Menjalin persahabatan baru bermakna membentuk ikatan persaudaraan. Rapatnya hubungan antara rakan memupuk rasa sayang seperti keluarga sendiri. Malah, di kalangan remaja lebih mengambil berat mengenai sahabat berbanding anggota keluarga sendiri terutama yang merantau di tempat orang. Sudah tentulah sahabat menjadi orang paling hampir untuk mencurahkan masalah dan mengadu nasib.

Kajian mendapati persekitaran juga mempengaruhi kesan persahabatan iaitu keadaan fizikal, iklim, sosiobudaya, politik dan interaksi antara manusia serta dengan alam sekitar. Persekitaran termasuk alam sekeliling sebelum dan selepas seseorang itu dilahirkan.

Sesungguhnya agama menggalakkan kita mencari sahabat seberapa ramai yang dapat membantu ketika menghadapi kecemasan atau musibah. Bukan semua sedia membantu terutama jika tidak kenal rapat. Sahabat dan teman berbeza kerana sahabat orang paling akrab dan hubungan ibarat ahli keluarga menyebabkan mereka bersedia membantu pada bila masa sementara teman tidak banyak tahu mengenai kita.

Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan pekerjaan harian selalunya tidak berkesempatan mengenali siapakah teman baik anak mereka. Sering terjadi ibu bapa tidak mengetahui anak mereka terbabit dengan orang tidak sepatutnya hinggalah sesuatu terjadi pada anak mereka.

Ibu bapa perlu ingat salah satu sebab anak menjadi degil dan sering melawan cakap orang tua adalah kerana mereka bosan dengan sikap ibu bapa yang tidak pernah memberi perhatian diharapkan. Sahabat penting dalam kehidupan seseorang tetapi tersalah pilih sahabat akan membawa kehancuran. Pilihlah sahabat yang mempunyai akhlak baik, pembimbing dan kaunselor yang sering memberi nasihat serta perangsang ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.
 Oleh Aminudin Mansor

Read more...

Tuesday, March 2, 2010

Rentetan Isu....


Sambungan rentetan isu...
22 FEBRUARI 2010
Telah diadakan satu mesyuarat tergempar diantara Majlis Tertinggi dengan calon-calon umum Pro-Mahasiswa bagi mencapai persepakatan tersebut. Namun apa yang berlaku, persepakatan tersebut telah ditolak mentah-mentah oleh Majlis Tertinggi atas alasan jawatan yang sedia ada telah dipilih secara majoriti. Akhirnya, calon-calon Pro-Mahasiswa bertindak dengan memulaukan dan meninggalkan mesyuarat tersebut.

Beberapa calon bebas pada mesyuarat tersebut turut menyatakan tidak bersetuju atas lantikan mereka ke dalam Majlis Tertinggi tersebut kerana mereka menang untuk berkhidmat di kawasan fakulti masing-masing berdasarkan manifesto kepada mahasiswa. Mereka juga mencadangkan agar calon-calon umum yang menang diangkat semula ke jawatan MT, kerana lebih sesuai dan relevan dengan posisi mereka.

PENDIRIAN MPPMUM

MPPMUM pada hari ini berpendirian:

1) MPPMUM sekali-kali tidak mengiktiraf 'kabinet kartun' yang telah dibentuk kerana tindakan itu telah membelakangkan kehendak suara mahasiswa majoriti yang telah memilih calon-calon mereka.

2) MPPMUM hari ini mengisytiharkan kabinet yang dipilih oleh mahasiswa untuk membawa suara mahasiswa dan terus memperjuangkan agenda-agenda kebajikan, keadilan dan kesejahteraan kepada semua mahasiswa.

Kami, pimpinan mahasiswa MPPMUM komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa , menghapuskan kezaliman, membanteras penyelewengan, dan memberikan hak keadilan dan kebajikan kepada yang berhak dan memerlukan. Demokrasi kampus harus segera dipulihkan demi melahirkan mahasiswa yang berkualiti, berkepimpinan, intelek dan berguna kepada universiti dan negara kelak.

"memperjuangkan suara mahasiswa demi masa depan dan kecemerlangan universiti"

Read more...

Monday, March 1, 2010

Kronologi Sepanjang Pembentukan Kabinet MPMUM 09/10


PENDAHULUAN
Pilihan raya kampus Universiti Malaya secara rasminya berakhir pada 28 Januari 2010 lepas. Universiti Malaya (UM) tidak terlepas dari berhadapan dengan pelbagaoi isu Pilihan Raya Kampus (PRK), antaranya bantahan mahasiswa terhadap penggunaan sistem e-voting yang membawa kepada penggantungan keputusan pilihan raya kampus selama selama seminggu.

walaupun keputusan secara rasminya telah diumumkan oleh Naib Canselor, Datuk Ghauth Jasmon pada 3 Februari 2010 yang lepas dan telah menyaksikan kumpulan Penggerak Mahasiswa memenangi pilihan raya kampus kali ini, namun isu-isu yang berkaitan denga ketelusan pilihanraya kampus UM masih lagi belum menemui titik kesudahannya.

Majlis Perwakilan Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (MPPMUM) hari ini secara rasminya telah ditubuhkan oleh calon-calon pro-Mahasiswa yang telah memenangi 17 kerusi dalam PRK baru-baru ini. Ia ditubuhkan berikutan pendirian kami tidak mengiktiraf jawatan-jawatan yang telah dilantik melalui mesyuarat bersama wakil-wakil MPMUM pada minggu lepas.

KRONOLOGI ISU

9 FEBRUARI 2010
Kesemua 41 calon-calon yang telah memenangi pilihan raya kampus(PRK) dipanggil bagi bermesyuarat untuk melantik 4 jawatan utama Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM). Antara wakil Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang hadir ialah Encik K Puniamurty, Encik Hashim Abd.Ghani, Puan Nor Hafizah Abdullah, Cik Hasniah Daud dan Encik Rozaini Abdul Rahim.

Pemilihan jawatan-jawatan tersebut dilakukan secara undian rahsia ahli mesyuarat dan akhirnya saudara Khairul Anwar Abu Kasim (calon umum) telah dipilih sebagai YDP, Tee Wooi Keat (calon fakulti kejuruteraan) sebagai NYDP, Rahmah Husna (calon fakulti sains komputer) sebagai Setiausaha dan Koo Wei Juin (calon fakulti sains) sebagai Bendahari. 
Pemegang jawatan-jawatan utama tersebut menyaksikan 3 daripada 4 jawatan Majlis Tertinggi utama dipilih adalah daripada calon fakulti dengan kuasa undian majoriti. Calon-calon Pro-Mahasiswa mempertikaikan kredibiliti serta kerelevenan lantikan tersebut lantaran calon fakulti tidak mewakili suara keseluruhan mahasiswa. Disamping itu juga, Yang Di-Pertua (YDP) telah dipilih daripada calon yang mendapat undian terendah di antara calon-calon umum yang menang.

10 FEBRUARI 2010
Calon-calon Pro-Mahasiswa sekali lagi dipanggil bagi menghadiri mesyuarat perlantikan jawatan-jawatan lain di dalam MPMUM. Namun, Pro-Mahasiswa (Pro-M) telah mengambil keputusan untuk tidak menghadiri sebagai tanda protes dan tidak mengiktiraf lantikan jawatan-jawatan sebelum ini yang didakwa tidak membawa suara majoriti mahasiswa. Hasilnya, calon-calon Pro-Mahasiswa langsung tidak mendapat tempat di dalam jawatan-jawatan utama seperti Majlis Tertinggi, dan hanya dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) di bawah biro.

Sekali lagi calon-calon Pro-Mahasiswa menunjukkan protes dengan tidak mengiktiraf lantikan tersebut. Adakah logik dan wajar, calon-calon umum yang dipilih dan diundi oleh keseluruhan mahasiswa universiti hanya diletakkan sebagai AJK dalam biro? Situasi ini menampakkan lagi kedangkalan serta ketidak-warasan pemimpin-pemimpin mereka. Justeru itu, Pro-Mahasiswa mengisytiharkan bermulalah pembentukan sebuah 'kabinet kartun' MPMUM di Universiti Malaya.

Sebagai jalan profesional terakhir, calon-calon Pro-Mahasiswa tetap juga mahu mengadakan rundingan atas pertimbangan agar tidak membelakangkan suara majoriti mahasiswa yang telah memilih di dalam pilihan raya kampus baru-baru ini.Satu pertemuan sulit telah diadakan antara 2 pemimpin utama dua kumpulan tersebut.

21 FEBRUARI 2010
Satu pertemuan sulit telah diadakan antara YDP MPMUM, saudara Khairul Anwar dengan wakil calon Pro-Mahasiswa, saudara Mohd Fadzil bin Jamal bagi membincangkan perkara tersebut.

Fadzil berunding agar diberikan jawatan yang sesuai dengan jumlah undian serta posisi calon umum yang menang. Sekurang-kurangnya meletakkan calon-calon umum Pro-Mahasiswa yang memenangi 8 dari 9 kerusi umum di Majlis Tertinggi. Antara persetujuan yang dicapai ialah :

1) Beliau (YDP) bersedia memberi beberapa kerusi MT jika kami (kerusi umum yang menang) sudi hadir untuk berunding.
2) Jaminan kerjasama dan kesamarataan untuk semua pihak juga akan diberikan.
3) Meminta kami dan mengharapkan semua untuk mengabaikan sentimen kepartian.

Nantikan rentetan hari berikutnya......

Read more...

Wednesday, February 10, 2010

Muwasafat Tarbiyyah

Muhasabah yang Perlu Dicermati..

Akhir-akhir ini, gerakan Islam khususnya semakin ketandusan keahlian yang diyakini mampu untuk meneruskan kesinambungan gerakan agar terus bernafas. Kualiti dan kuantiti ahli sudah kurang dibicarakan dan dilumati dalam mengkaderkan pelapis. 

Pasca pilihan raya umum terdahulu dan pilihanraya kampus baru-baru ini, sedikit sebanyak meng’arah’kan hala tuju gerakan Islam menjadi lebih ’kepolitikan’ berbanding persoalan-persoalan tarbiyah atau didikan yang dahulunya sering digemakan. Ini juga tanpa disedari turut berlaku dalam gerakan mahasiswa Islam (GMI) di kampus.

Hari ini, gerakan akan berbangga dapat melahirkan ahli yang ramai yang mampu menampung kekosongan gerak kerja Islam. Kuantiti yang berbilang ini kadang-kala membuaikan rasa selesa bagi gerakan.

Demonstrasi, kuliah-kuliah ilmu, setakat ini masih lagi dapat didominasi dan dimobilasi bagi ’menggerun’kan pihak musuh dengan kehadiran ahli-ahli ini. Namun, adakah kuantiti ini selari dengan kualiti yang diperlukan dalam sesebuah gerakan?

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh ahli gerakan: Sejauh mana pemahaman ahli dalam jihad-jihad yang mereka sertai selama ini? Yang sanggup berhadapan dengan risiko-risiko lebih besar lagi? Yang bukan sekadar menjadi front liner dihadapan, bahkan bersedia dilenyek kereta kebal tentera seandainya memerlukan ahli gerakan berbuat sedemikian?

Lalu, beberapa perkara yang disebut muwasafat tarbiyah harus diteliti semula. Gerakan perlu meletakkan standard kader ahli dengan sekurang-kurangnya memenuhi beberapa kriteria-kriteria berikut:

Aqidah yang sejahtera (aqidatun salim) : Kefahaman aqidah islamiyyah yang jelas hendaklah dipasakkan dengan utuh dan jitu seumpama akar pokok yang menjalar jauh ke dalam tanah. Bukan sekadar meneliti tauhid-tauhidnya sahaja, bahkan aqidah perjuangan dipraktikalitikan dalam tindakan mereka.

Ibadah yang sahih (ibadah soheh) : Dalam pada itu, kehidupan mereka terangkum dalam ibadah yang natural dan bersih daripada sebarang unsur bid’ah. Melaksanakan ibadah berpandukan ilmu yang dipelajari. Seluruh ibadah dilaksanakan tanpa memilih-milih sama ada yang sunat mahupun wajib.

Akhlak yang mantap : Seorang ahli gerakan adalah seorang daie yang menjadi contoh terbaik orang disekeliling. Mana mungkin seorang ahli gerakan mengucapkan kata-kata nista dan umpat tanpa sebarang sebab. Mereka juga menjaga adab-adab dalam berjemaah disamping melestarikan ukhwah islamiyyah.

Mampu bekerja : Yang dimaksudkan ini adalah bijak dan berkapasiti pengorbanan yang tinggi dalam menyelesaikan amanah dan tanggungjawab.

Berpengetahuan luas (ilmun wasi’) : Pra-syarat inilah yang semakin dilupakan oleh sekelian ahli gerakan. Dek mengejar tanggungjawab dan amanah yang diberikan sehingga terlupa mengisi ilmu di dada. Silibus-silibus pengkaderan haruslah disemak dan dianalisis semula agar ia benar-benar ilmiah dan semasa. Majalah, surat khabar serta internet perlu diakses dan sensitif agar tidak kosong dadanya daripada ilmu pengetahuan semasa.

Tubuh yang cergas : Ini tidak dapat dinafikan lagi. Kesihatan tubuh perlu dijaga. Kebanyakan ahli gerakan kadangkala mempunyai tabiat makan yang tidak menentu. Walaubagaimanapun, perancangan makan juga perlu disusun untuk melahirkan ahli yang sihat tubuh badannya.

Menguasai diri (mujahadutnnafs) : Ahli gerakan tidak boleh mendabik dada merasakan mereka sudah banyak melakukan kebaikan dek gerak kerja mereka. Kita sedia maklum, ahli gerakan perlu turun ke medan-medan dakwah bersama-sama dengan masyarakat yang pelbagai. Justeru itu, kekuatan jiwa daripada pengaruh yang menggugat harus dipertingkatkan. Di samping amalan-amalan rohani serta solat fardhu yang menjadi pertolongan.

Teratur urusannya (munazzamah) : Kebatilan yang terancang pasti jua akan menang seandainya kebenaran itu tidak tersusun dan berstrategi. Setiap ahli gerakan perlu berusaha mewujudkan planner harian untuk menyusun gerak kerja harian serta tidak mudah lupa dalam menjalankan amanah.

Sangat menghargai masa : Sudah menjadi kelaziman, ahli gerakan sewajarnya menjadikan masa sebagai aspek terpenting dalam hidup. Setiap yang berlalu tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Sentiasa merasakan resah seandainya setiap saat yang bergerak tidak melakukan kerja-kerja Islam.

Bermanfaat kepada orang lain : Aspek inilah yang mahu dilahirkan daripada setiap gerakan Islam. Kehadiran ahli gerakan di mana-mana sahaja sentiasa dirasai dan ketiadaannya sentiasa ditunggu-tunggu. Bukan kerana glamournya, tetapi kerana rembesan tarbiyah dirinya cukup menjadikan orang sekelilingnya merasa tenang bersamanya.

Kita sedar akan realiti. Gerakan tidak mampu melahirkan ahli sesempurna itu. Namun, suatu sistem atau strategi harus dikemaskini kembali supaya matlamat adalah mengarah kepada kualiti ahli yang disebutkan di atas. Barulah gerakan Islam mampu ’menggegarkan’ musuh-musuh yang selama ini memandang enteng dan sebelah mata. -mahasiswakini-

Read more...

Sunday, February 7, 2010

Muslim tanpa semangat dakwah, jihad tiada jati diri

Mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan termasuk perjuangan menegakkan agama Allah. Umat Islam yang tidak pernah memperjuangkan agama hidup dalam keadaan sia-sia, Seorang Muslim yang tidak memiliki semangat dakwah dan jihad bagi memperjuangkan agama, sebenarnya sedang mengalami krisis jati diri dan identiti Muslimnya. Untuk apa semua yang diusahakan, harta dikumpul, ilmu dikuasai, jawatan direbut dan dunia yang berhasil digenggam jika tidak dimanfaatkan untuk agama Allah? 

Seandainya seseorang sudah memiliki segala-galanya kemudian tiba-tiba dia mati tanpa memperjuangkan agama, maka alangkah sedikit bekal dan payahnya kehidupan yang mesti dilalui selepas mati kelak. Sia-sia saja visi dan misi hidupnya di dunia. Saat itu sedarlah ia yang kembali miskin seorang diri di alam barzakh.
Sesungguhnya kejayaan yang hakiki bermula daripada satu niat meninggikan kalimah Allah. Sedangkan apa yang diusahakannya selama ini untuk dunia semata-mata demi kepuasan nafsu belaka.

Kebangkitan Islam sering diperkatakan tetapi realitinya generasi Islam kini sudah mengalami serangan duniawi yang sedikit sebanyak mempengaruhi kejiwaan, pemikiran dan sikap mereka. Mentaliti Muslim yang hilang semangat memperjuangkan agama semakin parah di tengah-tengah umat. Tidak kira golongan mana pun, jika umat meninggalkan dakwah dan jihad di jalan Allah, maka tunggu kehancuran seperti ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Wahai orang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepadamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih suka dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan Dia menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Taubah, ayat 38-39)

Melalui ayat itu, Allah menyatakan punca hilang semangat dakwah dan jihad iaitu kerana manusia terlalu cintakan kehidupan dunia. Bahkan jika boleh, agama pun akan dijual, saudara sesama Muslim dianiaya, jatuh-menjatuhkan, aib- mengaibkan untuk mendapat apa diinginkan oleh hawa nafsu. Jika kejahatan bermaharajalela tetapi semangat dakwah dan jihad semakin kendur tidak mustahil kehancuran umat akan terjadi. Dakwah dan jihad adalah benteng paling kukuh untuk melindungi umat daripada serangan musuh. Sepatutnya ia menjadi idealisme yang wajib ditanam dalam jiwa seluruh generasi Muslim.

Sayangnya, dakwah Islam dan semangat jihad hanya dimiliki golongan tertentu yang berkopiah dan berserban, di masjid dan surau. Itupun jika tepat ruang yang disalurkan. Sedangkan golongan profesional, pemikir, penggubal dasar, penggerak politik, budayawan, seniman, ahli sukan, saintis, peniaga, pendidik Muslim, mereka agak kurang bersemangat mengenai hakikat dakwah dan jihad.

Peranan ulama diharapkan boleh membuka ruang kepada mereka untuk memahami Islam, mencintai dan merasa terpanggil memperjuangkan agama menurut kapasiti ilmu dan kekuatan dimiliki. Umat Islam mesti kembali menanamkan idealisme tegakkan dakwah dan jihad dalam kehidupan. Hapuskan kesilapan lalu dan bertaubat daripada kejahatan nafsu duniawi yang menipu. Kerja dakwah serta strategi jihad mesti disesuaikan dengan situasi dan realiti masyarakat sekarang. 

Media memainkan peranan penting sebagai penyampai kebenaran, hiburan dan seni juga menjadi pilihan orang yang mahukan kelainan dalam sentuhan dakwah, alam maya dalam sistem teknologi maklumat tercanggih yang semakin digilai manusia menjadi alternatif menyampaikan keindahan Islam. Ulama tidak ketinggalan mengkaji pendekatan dan pengurusan dakwah yang sesuai untuk manusia pada zaman siber. Pendekatan fleksibel, mendidik sebelum menghukum, mendengar suara umat dan mengkaji perubahan zaman sebelum memutuskan fatwa diharap membawa kemajuan adalah tugas ulama yang amanah.

Ulama berdiri sebagai pembimbing jalan, pemberi jawapan atas setiap persoalan, doktor yang menyembuh penyakit jiwa masyarakat dan penyampai keindahan Islam yang membangkitkan umatnya supaya mencintai agama. Ulama memerlukan pendedahan ilmu dan wawasan yang lebih global dengan bermuzakarah antara ulama sedunia untuk mempertingkatkan keupayaan dalam mendampingi umat ke jalan yang diredai Allah.
Sesungguhnya dakwah dan jihad adalah panggilan jiwa insan yang mencintai sunnah Rasulullah SAW. Wasiat Baginda SAW sentiasa menjadi ingatan di hati yang bermaksud:

“Sesiapa yang membenci sunnahku bukan termasuk golonganku.” (Hadis Muttafaq Alaih)
Dakwah dan jihad juga adalah kerjaya nabi dan rasul yang diabadikan dalam al-Quran sebagai jalan hidup terbaik di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang beriman. Wahai orang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah seperti Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut yang setia itu berkata: Kamilah penolong agama Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan lain kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang beriman terhadap musuh mereka, lalu mereka menjadi orang yang menang.” (Surah al-Shaff, ayat 11-14)

Seseorang yang bergiat dalam kerja dakwah pasti menghadapi ujian yang boleh mengancam langkahnya. Ujian yang dipikul bersesuaian dengan tahap keimanan masing-masing. Kadangkala hanya dengan sifat diri yang kurang sabar seseorang boleh terjatuh dan tidak dapat bangkit lagi, walaupun ramai di hadapannya orang yang lebih berat lagi menerima penyeksaan dalam mengharungi medan dakwah dan jihad.

Hanya orang terpilih yang tegak berdiri menunggu keputusan Allah, apakah dia layak menerima pertolongan Allah atau tidak, semuanya bergantung niat dalam hati. Siapakah yang reda dengan hinaan dan cacian, fitnah, kebencian bahkan ancaman bunuh diterima kerana menegakkan agama?

Hanya orang yang tegar dan yakin dengan kuasa Allah mampu menghadapi kesusahan di jalan-Nya. Biarlah air mata yang ditumpahkan atas jalan Allah sebagai pemadam api neraka yang menyala dan hati terluka, jasad teraniaya semua itu sebagai bukti kecintaan hamba kepada Allah. Bahkan jika tiada menemui gangguan di jalan dakwah, seseorang patut berwaspada mungkin dia tersalah jalan kerana jalan dakwah itu dapat dikenal melalui seksaan dan tangisannya.

Suatu hari Rasulullah SAW melepas pemergian Muaz Jabal ke Yaman untuk menyebarkan Islam di sana. Rasulullah SAW melihat Muaz menangis. Muaz berkata: “Wahai Rasulullah, aku menangis kerana akan berpisah denganmu. Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu bersedih kerana kesedihan itu daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah (takut) kepada Allah di mana pun kamu berada. Ikutilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskannya dan berbuat baiklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)

Suatu hari Khabbab al-Art menghadap Rasulullah SAW dan mengadukan seksaan yang dideritainya dan sahabat. Rasulullah SAW menghibur Khabbab sambil bersabda yang bermaksud:
“Orang sebelum kalian digali sebuah lubang di atas tanah dan mereka dimasukkan ke dalamnya. Selepas itu diambil gergaji dan diletakkan ke atas kepalanya sehingga jasadnya terbelah dua. Namun hal itu tidak menggoyahkan agamanya. Ada juga yang disikat dengan sikat besi sehingga terlepas daging daripada tulangnya. Tetapi seksaan itu tidak sedikitpun menggoncangkan agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hanya hamba Allah yang berkualiti iman dan amalnya sanggup melangkah di jalan dakwah. Mereka orang terpilih daripada kalangan nabi dan rasul, syuhada dan salihin. Dakwah dan jihad adalah harta warisan paling bernilai ditinggalkan mereka hingga akhir zaman untuk generasi Islam berikutnya.
Tajdid Iman:
- Dr Juanda jaya

Read more...

Friday, February 5, 2010

Mahasiswa Beriman Lahir Pemimpin Pendakwah

Pendekatan agama terap unsur takwa, didik generasi muda lebih berkeyakinan hadapi masa depan.

SUATU perkara yang tidak mungkin dinafikan adalah kemakmuran dan kejayaan yang dinikmati oleh generasi sekarang adalah hasil usaha generasi sebelum ini. Pemimpin yang menerajui negara dan memimpin bangsa pada hari ini adalah golongan mahasiswa yang aktif pada masa dulu. Oleh itu, kita mempunyai slogan yang menyatakan bahawa pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan.

Corak perjalanan sesebuah generasi ditentukan oleh sahsiah pemimpin. Nabi Muhammad SAW yang mendapat bimbingan langsung dari Allah SWT seperti dalam sabdanya: “Addabani rabbi fa ahsana ta’dibi” atau “Tuhanku telah mendidik aku dengan sebaik-baik didikan” melahirkan generasi yang sebaik-baik generasi, iaitu generasi sahabat.

Generasi sahabat pula melahirkan generasi tabi’in, diikuti pula oleh generasi tabi’ tabi’in. Generasi yang berikut adalah hasil didikan generasi sebelum itu. Pemimpin sekarang adalah mahasiswa yang menghidupkan kampus pada masa lalu dengan pelbagai aktiviti. Mereka juga adalah mahasiswa dulu yang menjadi penggerak keintelektualan dan kokurikulum dalam dan luar kampus masing-masing.

Dahulu di Universiti Brunei Darussalam (UBD), satu dialog antarabangsa diadakan antara mahasiswa UBD dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dialog bertemakan peranan mahasiswa dalam dakwah pada era globalisasi bertujuan memperkukuhkan perhubungan antara kedua-dua universiti.

Selain itu, dialog itu bertujuan mendedahkan apa yang patut dilakukan oleh mahasiswa apabila berdepan situasi dakwah pada era yang sangat mencabar sekarang dengan dakwah menjelma mengikut perkembangan semasa, termasuk penggunaan teknologi maklumat. Tidak cukup dengan berucap, dakwah mesti dilaksanakan secara cerdas dan dinamik untuk menghadapi kemajuan sains dan teknologi. Sehubungan itu, pemimpin umat dan pendakwah mesti mengubah taktik agar hidayah Allah sampai kepada umat manusia.

Jika selama ini, kita mengandaikan bahawa da’wah billisan (dakwah dengan lisan), sekarang kita mesti melakukan da’wah bilqalam (dakwah menggunakan pena) dan da’wah bilhal (dakwah secara konteks). Selama ini, pendakwah terpaku pada dakwah yang menggunakan lisan, iaitu pengertian dakwah terbatas kepada ceramah dan pengajian. Kaedah ini tidak salah, tetapi perlu diperluas menjadi dakwah bilqalam dan dakwah bilhal.

Dakwah bilqalam adalah dakwah melalui media massa yang ketika ini sangat berkesan dan mencabar. Jika pendakwah tidak sanggup mengisi media massa, sama ada cetak atau elektronik, media massa akan diisi fahaman lain, hedonisme dan materialisme. Akibatnya, umat bukan dididik dengan lebih baik secara spiritual, tetapi selera dan nafsu duniawi semakin meningkat. Lebih mencabar adalah dakwah secara konteks (da’wah bilhal) ketika umat sekarang menghadapi serangan krisis, sama ada ekonomi, budaya, ideologi yang keadaan ini boleh dikatakan krisis pelbagai dimensi.

UBD yang dalam proses pengantarabangsaan sangat mengalu-alukan program begini. Bahkan dalam hal ehwal keagamaan, UBD merancang menubuhkan unit khas keagamaan seperti yang diperkatakan oleh pemangku Naib Canselor, Dr Junaidi Abd Rahman ketika acara korban UBD yang lepas. Unit ini perlu ditubuhkan untuk menjadi penggerak aktiviti keagamaan. Waktu dialog antarabangsa mahasiswa itu diadakan adalah unik kerana ketika ini, orang sibuk membuat penilaian akhir tahun dan menghadapi tahun baru. Ketika orang bersiap untuk menghadapi perayaan awal tahun, segelintir mahasiswa mengadakan dialog mengenai dakwah yang menunjukkan bahawa mereka termasuk orang yang memerhatikan keadaan umat sekarang.

Kelompok yang dikatakan Nabi Muhammad SAW sebagai sesiapa yang tidak memerhati umat maka ia tidak termasuk dalam golongan umat itu. Kelompok mahasiswa berkenaan seperti tujuh pemuda yang lari dari kehidupan yang penuh hiruk-pikuk pada zaman Raja Decius yang zalim dan sombong. Mereka melarikan diri ke gua untuk beribadat kepada Allah SWT sambil berdoa semoga mereka selamat dan diberi hidayah petunjuk-Nya.

Rabbana Atina min ladunkan rahmatan wa hayyi’ lana min amrina rasyada,” demikian doa mereka yang bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” 
(Surah al-Kahfi: 10).

Mahasiswa beriman menyedari bahawa kehidupan generasi sekarang berada pada zaman pancaroba yang tidak boleh dielakkan lagi. Oleh itu, mereka berharap terhadap generasi akan datang yang akan menjadi pemimpin menjadi lebih baiki seperti yang digambarkan dalam doa pemuda di atas.

Mereka dengan petunjuk Ilahi telah dipersiapkan untuk menjadi generasi akan datang yang ketika itu tidak akan menghadapi keadaan seperti sekarang. Oleh itu, benarlah apa yang dikatakan Amirul Mukminin, Umar ibn al-Khattab bahawa kita mesti mendidik dan mengajar anak dengan keadaan yang akan mereka hadapi dan bukan dengan apa yang kita hadapi sekarang. Kehidupan masa datang berbeza dengan kehidupan sekarang. Jika anak dididik dan diajar dengan didikan dan ajaran sekarang, dikhuatiri mereka tidak sanggup menghadapi cabaran masa depan.

Oleh itu, bagi menghadapi tahun baru usaha mesti dilakukan oleh umat Islam supaya tidak termasuk dalam golongan yang rugi dalam mengharungi kehidupan yang penuh warni-warni. Antara usaha yang patut dilakukan umat pada hari ini adalah bertaubat. Sebenarnya kehidupan seorang Islam yang menuju ke jalan Allah bermula dengan taubat. Tiada sesuatu darjat yang mendahului taubat dan taubat mestilah taubat nasuha yang suci sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang nasuha.” (Surah al-Tahrim: 8)

Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyad al-Salihin, membincangkan mengenai syarat taubat nasuha. Beliau menulis:
Taubat dari segala dosa itu adalah wajib hukumnya.
Jika maksiat itu adalah antara hamba dengan Tuhan, iaitu tidak berkaitan orang lain; ada tiga syarat untuk membuang maksiat daripada dirinya, iaitu menghentikan maksiat, dukacita atau menyesal terhadap perbuatan maksiat yang dilakukan dan berjanji tidak akan kembali kepada maksiat itu lagi. Jika seseorang yang bertaubat tidak memenuhi syarat berkenaan, maka taubatnya tidak sempurna.

Bagaimanapun apabila maksiat itu berkaitan hak orang lain, syarat kesempurnaan taubat adalah empat. Selain tiga syarat di atas, dia perlu membersihkan dirinya dari hak orang itu. Ini bermaksud jika hak itu adalah harta benda atau sebagainya, dia perlu mengembalikannya kepada tuannya.

Jika hak itu adalah tuduhan yang hukumnya dengan hadd atau sebagainya, dia hendaklah menyerahkan dirinya untuk dihukum atau meminta maaf daripada orang yang mempunyai hadd itu. Jika hak itu adalah caci maki atau umpat, maka hendaklah meminta maaf daripada orang yang mempunyai hak itu. ‘Islam’ tulisan bebas Syeikh al-Azhar, Abdul Halim Mahmud, “sangat menganjurkan penganutnya bertaubat sebanyak-banyaknya, kerana taubat adalah anak tangga pertama bagi orang yang ingin mendaki tingkatan mulia kepada Allah Taala.

Taubat dari segala dosa juga adalah wajib kerana akan mengikis segala dosa sebelum ini. Ia akan meletakkan seseorang yang bertaubat setelah menyempurnakannya dengan baik pada tempat yang bersih, suci dan bebas dari dosa. (al-Isra’ wa al-Mi’raj)
Allah Ta’ala berfirman supaya manusia selalu taubat yang bermaksud:
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)

Allah juga membuka pintu taubat nasuha dengan seluas-luasnya dalam firman-Nya yang menggambarkan rahmat dan belas kasih yang maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar: 53)

Dalam hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu sekalian melakukan dosa setiap malam dan siang, dan Akulah Tuhan yang mengampunkan segenap dosa, maka mohonlah pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku mengampunkan kamu sekalian.”
Bertaubat adalah cara membersihkan diri dari kotoran. Islam mengajar kita supaya sentiasa berlindung kepada Allah SWT dengan bertaubat ketika melakukan sesuatu pekerjaan yang berguna seperti berniaga, akad nikah, membina rumah dan ketika perjalanan. Ini bermakna bertaubat boleh diterapkan untuk memulakan tahun baru.

Taubat membolehkan hati bersih dan segala masalah juga akan menjadi bersih. Hati yang bersih juga menghakis kekotoran hidup seseorang. Hati seperti dikatakan tokoh tasawuf, Imam al-Qusyairi, adalah tempat duduk segala makrifat dan ia adalah segumpal daging yang sangat berpengaruh.

Jika hati terpelihara, seluruh anggota akan turut terpelihara. Hati juga adalah tempat musyahadah, iaitui melihat sesuatu dengan mata hati. Adakah kita akan bertaubat apabila meninggalkan 2009 dan memasuki tahun baru, 2010? Insya Allah.

INTI PATI
- Persediaan mahasiswa dalam memainkan peranan sebagai pendakwah pada era globalisasi.
- Penggunaan teknologi maklumat dalam berdakwah mengikut perkembangan semasa.
- Pendekatan dakwah melalui media massa perlu diperluaskan bagi memberi lebih keberkesanan.
- Umat perlu bertaubat dalam menghadapi bagi menghadapi tahun baru supaya tidak termasuk dalam golongan yang rugi dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar.

Ulul Albab:
Oleh Abdurrahman Haqqi

Read more...

Aku Wanita....